Komplen dan merungut buang masa dan tiada manfaat
Nota: Saya akan tukar kategori 'kaizen' kepada 'muhasabah' kerana kaizen lebih dikaitkan kepada peningkatan proses manakala muhasabah pula menjurus kepada penilainan peribadi yang mungkin lebih menepati kandungan posting.
Apabila saham jatuh pada separuh kedua tahun lepas, ramai yang merungut tentang kegawatan ekonomi dan kerugian saham. Ini tidak menghairankan. Tetapi apabila pasaran saham naik secara tiba-tiba, ada pula yang merungut bahawa pasaran telah naik terlalu pantas!
Dalam dunia politik pula, kita dengar rungutan dan rasa tak puas hati terhadap kerajaan kerana dasar yang tidak cekap dan sebagainya. Malah bagi sesetengah penyokong pembangkang, semua yang kerajaan buat salah. Sementara itu, bagi pihak lain pula, mereka asyik merungut tentang pembangkang yang melakukan demonstrasi, menganggu kestabilan dan mencabar status quo.
Di kalangan pekerja pula kita dengar rungutan tentang bos, tentang pekerja lain, tentang sistem tidak cekap, tentang bonus tak cukup, kenaikan gaji tak cukup dan kenaikan pangkat yang tidak adil. Di kalangan pelajar pula kita dengar rungutan tentang sistem pemilihan universiti tidak adil, guru atau pensyarah pilih kasih, pemberian biasiswa tidak adil atau biasiswa tidak cukup dan sebagainya.
Ada sesetengah orang bila cuaca panas dua tiga hari, dia merungut bila agaknya nak hujan, dan bila hujan lebat dua tiga hari dia kata asyik hujan aje, macam mana baju nak kering? Bila kena jerebu makin ramailah yang merungut.
Dalam sukan pula kita lihat penonton merungut pasal pengadil, tentang penjaga garisan, tentang pengurus pasukan dan juga tentang pemain. Bila kalah, ada sahaja yang salah, terutamanya pengurus pasukan, tetapi apabila pengurus baru dilantik, mereka komplen pula pengurus baru ni asyik nak mengelak kekalahan, tapi permainan langsung tak menghiburkan.
Adakah anda termasuk dalam kategori di atas? Seorang yang sukar untuk dipuaskan? Cuba nilai kembali tabiat ini untuk melihat sama ada tabiat ini ada manfaat dari segi 1) Wang Ringgit 2) Ketenangan Fikiran 3) Masa Yang Terluang. Jika ada manfaat, boleh teruskan.
Kadangkala apabila menghadapi masalah, daripada merungut, kita boleh senaraikan segala pilihan yang kita ada dan ambil jalan terbaik. Dalam keadaan tertentu, seperti keadaan cuaca atau pengadil berat sebelah, mungkin kita tidak dapat mengawal keadaan dan tiada pilihan. Sebaliknya kita boleh memberikan reaksi terbaik. Terima hakikat, dan orang putih kata 'move on'. Tak guna asyik berfikir-fikir tentang perkara yang di luar kawalan kita sehingga menjejaskan prestasi dan tumpuan kita pada tempoh yang mendatang.
Kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada. Terlalu banyak merungut bukan sahaja menganggu ketenangan minda tetapi boleh mempengaruhi kesihatan fizikal. Bukan saya yang kata tetapi Dale Carnegie yang kata dalam bukunya How to Stop Worrying and Start Living. Pernah tak dengar lagi Don't Worry Be Happy? Memang mudah untuk dinyanyikan tetapi amat sukar untuk diamalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan