28 Disember, 2010

Mengapa Unjuran Saya Salah?

Pasaran saham makin hangat pada separuh kedua

Pada Julai tahun ini, saya menulis posting mengenai risiko yang dihadapi oleh ekonomi Amerika dan juga dunia, iaitu risiko double dip recession, yang kebarangkaliannya mungkin berlaku agak tinggi pada waktu itu, menurut beberapa pakar ekonomi.

Namun begitu senario tersebut tidak menjadi kenyataan.  Ekonomi AS hanya terumbang-ambing sedikit pada suku kedua tetapi telah mula stabil pada suku ketiga. 

Di samping itu, di Asia ekonomi langsung tidak terjejas walaupun pertumbuhan semakin perlahan. Malah, ekonomi Asia yang menjadi peneraju ekonomi dunia. Ekonomi Malaysia juga walaupun semakin sederhana pertumbuhannya, tetapi hanya merosot sedikit sahaja.


Dipetik daripada BursaStation

Pasaran saham Malaysia juga mencatatkan presasi yang hebat dalam tempoh enam bulan tersebut, dengan kenaikan lebih 15%.  Justeru tindakan saya mengambil pendekatan selamat nyata menyebabkan pulangan yang diperolehi kurang daripada kenaikan pasaran.

Jika saya silap, saya sentiasa menilai di mana kesilapan saya untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku.  Berikut adalah beberapa pengajaran yang saya perolehi:

1.  Kelemahan kecil dalam ekonomi tidak semestinya menjejaskan pasaran, kerana pasaran dipacu keuntungan dan keuntungan di AS, Asia dan Malaysia nampaknya tidak terjejas.

2.  Pasaran hanya bergerak berasaskan element of surprise, dan pada bulan Julai lepas, ramai pakar yang meramalkan pasaran akan jatuh, tetapi apabila sudah ramai yang meramalkan sesuatu perkara, ia tidak lagi menjadi satu kejutan dan ramalan tersebut mungkin sudah priced in to the market.

3.  Dasar kewangan longgar di Amerika menyaksikan jumah dana yang besar sampai ke negara sedang membangun,  kerana di sinilah pertumbuhan paling besar berlaku. Money flow ini telah mencetus kenaikan pasaran.

4.  Market timing adalah sesuatu yang sukar atau mustahil dilakukan. Perkara ini memang ditekankan oleh ramai pelabur tersohor dan juga ahli akademik (Saya sudah tahu tapi masih nak cuba juga!).

5.  Kekuatan China kini sebagai penggerak ekonomi dunia, dan kini lebih penting daripada AS sebagai peneraju Asia.  Sekarang ini apa yang dilakukan oleh Bank Pusat China sama penting dengan apa yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan Amerika.

Berasaskan keadaan ekonomi dan pasaran semasa, risiko kemelesetan berlaku sekali lagi adalah rendah, walaupun masih terdapat masalah di kalangan beberapa negara Eropah.

Jika dilihat di pasaran saham kita pula, masih ada syarikat yang undervalued, terutamanya kerana paas keuntungan yang semakin tinggi pada tahun ini, yang dijangka dapat dikekalkan pada tahun yang mendatang.

Mungkin penurunan akan berlaku sekali-sekala dan kita perlu sentiasa berhati-hati tetapi ramai pakar berpendapat bahawa dekad baru ini ialah dekad Asia, yang akan menerajui pertumbuhan dunia.

22 Disember, 2010

Dana Kos Rendah Prestasi Hebat

Menjimatkan kos tetapi maksimumkan pulangan

Semasa melayari laman web fundsupermart.com, saya terbaca tentang dana-dana yang ditawarkan pada yuran jualan terdiskaun hanya 1%.  Memang bukan kesilapan taip, anda boleh beli dana dengan kos1% sahaja, menerusi tawaran istimewa yang dibuat di laman tersebut.  Biasanya caj 2% dikenakan.






Dana tersebut ialah Kenanga Syariah Growth Fund dan Pru Dana Al-Ilham yang masing-masing mencatatkan pulangan sebanyak 116% dan 105% untuk tempoh 5 tahun!

Kenanga Syariah Growth Fund

Dana ini merupakan sebuah dana ekuiti agresif yang memberikan pulangan yang cemerlang setakat ini dan jauh mengatasi indeks syariah penanda arasnya.  Antara saham pegangannya yang membawa keuntungan besar termasuk Faber Group, QL Resources, KFC, Kossan Rubber dan KPJ Healthcare.

Prestasi pulangan dana adalah seperti berikut:

1 thn  2 thn  3 thn   5 thn
31%   69%  29%   116%

PruDana Al-Ilham

Dana ini merupakan dana pertumbuhan agresif yang juga memberikan pulangan yang tinggi dan telah mengatasi indeks penanda arasnya.  Pegangan yang agak besar saham dalam sektor perladangan membolehkannya mengambil kesempatan daripada kenaikan harga komoditi kebelakangan ini.

Prestasi pulangan dana adalah seperti berikut:

1 thn  2 thn  3 thn   5 thn
21%   70%  13%   105%

Apabila membandingkan dengan dana yang dijual oleh ejen unit amanah dengan yuran 5%, kita perlu ambil kira 4% ini dalam pulangan keseluruhan. Ini bermakna dana yang dijual ejen perlu mengatasi dana ini sebanyak 4% supaya pelabur mendapat pulangan yang sama

Perkara yang ingin ditekankan di sini ialah jangan hadkan pembelian anda kepada satu saluran sahaja hanya kerana anda selesa dengan saluran tersebut.  Perlu diingat bahawa perbezaan kos dalam keadaan biasa ialah 3% dan jika ada tawaran sebegini, perbezaannya ialah 4%.

Jika anda melabur RM10,000 anda jimat RM300 - RM400, sedangkan ada dana kos jualan rendah ini yang mencatatkan prestasi sama hebat (atau lebih cemerlang) berbanding dana-dana mahal yang biasa anda beli daripada saluran lazim.

Ramai yang sudah biasa dengan 'online trading' saham, mungkin sudah tiba masanya untuk turut mempertimbangkan pembelian unit amanah secara online sebagai saluran alternatif.

Nota:  Prestasi masa lepas bukan petunjuk prestasi masa depan.  Tiada jaminan bahawa pengurus kedua-dua dana ini boleh terus mencatatkan prestasi cemerlang seperti yang dicatatkan pada 5 tahun lalu.

19 Disember, 2010

Apex Healthcare: Pegangan Jangka Panjang

Saham sudah naik lebih dua kali ganda tetapi masih berpotensi



Bagi mereka yang berminat dalam saham yang dipegang untuk jangka panjang, pada pendapat saya Apex Healthcare ialah calon yang agak mantap.

Apex Healthcare ialah sebuah syarikat yang terutamanya terlibat dalam pengilangan, pemasaran dan pengedaran produk farmaseutikal di Malaysia dan Singapura. Syarikat mengilang ubat yang sudah habis tempoh patennya, selain mengedarkan beberapa jenama ubat yang terkenal (llihat laman web syarikat

Untuk tahun kewangan 2010, syarikat ini telah mencatatkan Pendapatan Sesaham (EPS) 21 sen sehingga suku ketiga dan berasaskan prestasi tersebut, diunjurkan mencatat EPS 28 sen untuk seluruh tahun.  Pada harga saham purata minggu lepas RM2.60, Apex Healthcare mempunyai P/E 9.3.  Manakala E/P atau pulangan unjuran pada harga tersebut ialah 0.28/2.60 = 10.77%.

Antara kekuatan Apex termasuk:
  1. Rekod keuntungan 10 tahun yang mantap (klik untuk laporan tahunan)
  2. Pengurusan yang cekap
  3. Hutang jangka panjang yang rendah.
  4. Aliran tunai yang kukuh
  5. Perniagaan yang agak kalis kemelesetan (kalau ekonomi gawat pun orang kena makan ubat)
Berikut adalah carta Apex Healthcare

Dipetik daripda Bursa Station


Kita dapat lihat bahawa harganya telah naik dengan mendadak dalam tempoh setahun setengah lepas, tetapi kenaikan ini ada asasnya kerana keuntungan telah meningkat dengan begitu ketara.  Berikut adalah rekod keuntungannya (EPS) dalam tempoh 5 tahun lepas (sen):

2005  2006  2007  2008 2009
16.0 | 16.5 | 20.1 | 19.7 | 29.5 

Aset ketara bersih (NTA) buat masa ini ialah RM1.81. Pada tahun ini, seperti yang saya nyatakan, EPS diunjurkan 28 sen.  Tetapi tahap ini selepas mengambil kira terbitan bonus 1 untuk 4 yang telah dilaksanakan tahun ini, yang menambah bilangan saham syarikat.  Jika pengiraan dibuat berasaskan bilangan saham tahun lepas, EPS adalah kira-kira 20% lebih tinggi.  Dividen yang dibayar tahun lepas ialah 7 sen sesaham.

Pendek kata, syarikat dijangka mencatatkan prestasi sangat baik pada 2010. Memang  kita tidak mungkin melihat kenaikan mendadak yang sama seperti yang kita lihat dalam tempoh setahun setengah lepas tetapi jika prestasi mantap ini diteruskan, syarikat berpotensi menambahkan lagi keuntungan dan seterusnya menaikkan harga saham.

Tetapi kita juga perlu sentiasa berwaspada tentang keadaan ekonomi umum dan sama ada suasana ekonomi akan membolehkan syarikat untuk menambah keuntungan pada tahun depan.  Justeru, pelabur boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk mendapatkan saham ini pada harga yang lebih murah sekiranya meramalkan indeks komposit akan mengalami penurunan sedikit daripada tahap tinggi sekarang atau  mendapatkannya sekarang jika meramalkan syarikat akan terus menambah untung pada tahun depan.

Walau apa pun, buat penilaian sendiri terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada syarikat sesuai dimasukkan dalam portfolio anda.

15 Disember, 2010

Mengira Pulangan Permulaan dan Unjuran

Terbalikkan kiraan P/E untuk mendapatkan kadar pulangan

Nisbah P/E atau P/E Ratio ialah nisbah terkenal yang sering menjadi salah satu kayu pengukur bagi pelabur sebelum membeli sesuatu saham. P/E dikira dengan membahagikan harga dengan pendapatan sesaham.

Sebagai contoh, kita ambil harga semasa dan pendapatan sesaham (EPS) tahun terdahulu dan EPS unjuran  bagi Ajiya Berhad:

Harga Semasa: 2.02
EPS: 2009:  31.84 sen 
EPS Unjuran 2010:  30.00 sen

Nisbah P/E Sejarah (Historical P/E) --  RM2.02/32 sen  =  6.3
Nsibah P/E Unjuran (Forward P/E)  -- RM2.02/30 sen   = 6.7

Tetapi kita boleh terbalikkan pengiraan untuk mendapatkan kadar pulangan

Pulangan Permulaan 2009 (Initial Rate Of Return) -- 32 sen/RM2.02 = 15.84%
Pulangan Unjuran 2010 (Projected Rate of Return) -- 30 sen/RM2.02 = 14.85%

Ini bermakna jika kita membeli Ajiya pada harga semasa, itulah kadar pulangan permulaan dan juga kadar pulangan unjuran bagi saham Ajiya kepada kita, berasaskan harga yang kita beli.  Lebih mahal harga kita beli, lebih rendah kadar pulangan yang diterima, manakala lebih murah harga yang kita beli, lebih tinggi kadar pulangan yang diterima.

Memang benar bahawa secara teknikalnya, kita hanya menerima dividen sahaja dan bukan semua pulangan yang dijana oleh syarikat. Namun begitu untung tertahan yang disimpan oleh syarikat lazimnya akan meningkatkan sama ada:

1.  Nilai aset bersih syarikat
2.  Keupayaan syarikat menjana untung lebih tinggi pada tahun depan

atau kedua-duanya sekali.

Jadi sebab itulah menurut kaedah yang digunakan oleh Warren Buffet, kita boleh mengira pendapatan sesaham dan bukan sahaja dividen sebagai pulangan yang diterima.  Namun andaian tidak boleh diguna pakai sekiranya sekiranya untung tertahan digunakan untuk
  1. Melakukan perbelanjaan modal besar yang bukan untuk menambah keutungan, tetapi hanya mengekalkan keuntungan syarikat;
  2. Disimpan dalam bank dan pulangannya begitu rendah sehingga lebih rendah daripada kadar pulangan daripada operasi syarikat;
  3. Disalah gunakan sehingga tidak membawa faedah dari segi peningkatan aset atau keupayaan menjana untung tambahan.
Secara ringkasnya, jika P/E adalah 5, kadar pulangan adalah 20%,  P/E adalah 10, bermakna kadar pulangan ialah 10% manakala jika P/E adalah 20, maka kadar pulangan adalah 5%.

Pengiraan ini adalah satu cara untuk melihat kadar pulangan awal yang anda perolehi daripada pelaburan anda.  Contohnya, jika kadar pulangan awal anda ialah 10% dan syarikat diunjurkan akan terus meningkatkan untung pada tahun-tahun akan datang, ini bermakna anda telah membeli pada harga yang agak menarik.

Walaupun, pada asasnya P/E dan P/E terbalik menilai perkara yang sama dari perspektif berbeza, pada pendapat saya pengiraan P/E terbalik ini memberikan gambaran lebih jelas kepada pelabur tentang nilai yang mereka perolehi daripada pelaburan mereka.

10 Disember, 2010

Kedudukan Terkini Ekonomi dan Pasaran

Pertumbuhan semakin sederhana tetapi tetap kukuh

Setelah satu setengah bulan tidak update blog dengan artikel berkaitan  saham atau perniagaan kerana berada di luar negara, saya kembali menulis dengan memberikan tinjauan keseluruhan tentang ekonomi dan pasaran.


Pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin sederhana pada suku ketiga, iaitu pertumbuhan 5.3% berbanding 8.9% pada suku kedua.  Namun begitu, pasaran saham semakin meningkat dan telah mencecah tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu pada paras lebih 1530 mata.

Walaupun pertumbuhan ekonomi semakin rendah, ia tetap dalam keadaan positif yang kukuh.  Mungkin pertumbuhan berada di bawah trend untuk tempoh dua suku akan datang tetapi tidak mungkin berlaku kemelesetan, walaupun terdapat krisis yang agak besar beberapa negara Eropah.

KDNK Malaysia telah kembali ke tahap lebih kurang normal, selepas pertumbuhan yang agak besar pada awal 2010 yang menyusuli kemelesetan pada 2008/2009.  Penyederhanaan ini satu perkara biasa selepas 'rebound' kukuh selepas gawat.

Walaupun pasaran saham telah mencecah paras yang tertinggi, ia turun sedikit tempoh hari disebabkan kebimbangan tentang krisis di Eropah.

Dari segi ramalan Research House, banyak juga yang berpendapat bahawa pasaran Malaysia akan mencecah tahap lebih !,600 pada tahun depan.

Di peringkat syarikat, saya dapati keputusan suku ketiga banyak syarikat masih kukuh dan menguntungkan tetapi pada tahap yang lebih sederhana berbanding pada separuh pertama tahun, melainkan syarikat berasaskan komoditi.

Dalam keadaan semasa, pemilihan saham amat penting berbanding setahun lepas kerana pada waktu itu, kebanyakan saham yang kita pilih pasti akan naik, sedangkan dalam keadaan semasa, peningkatkan mungkin hanya diihat di kalangan syarikat yang:

1. Mencatat untung tinggi.
2.  Ada berita 'corporate exercise' atau penggabungan dan pemerolehan
3.  Mendapat kontrak besar
4.  Harga outputnya naik disebabkan bekalan dan permintaan pasaran

Risiko

Walau apa pun, kita perlu sentiasa prihatin terhadap risiko terhadap ekonomi dan pasaran terutamanya kerana pasaran berada hampir di paras 'all time high'.

Risiko kepada ekonomi termasuk
1. Kemungkinan krisis di Eropah semakin menular.
2. Kehilangan keyakinan menyebabkan wang hangat yang sibuk memasuki Asia mula keluar
3. Pecahnya ''bubble' dalam pasaran hartanah Asia yang masih hangat disebabkan faedah rendah

Rata-rata ramai pakar dan peserta pasaran agak 'bullish' atau positif bahawa pasaran akan terus naik. Bagaimanapun secara peribadi, saya tetap berhati-hati dan sentiasa berwaspada terhadap risiko yang wujud.

Walau apa pun, pada pendapat saya dalam keadaan semasa, pemilihan saham yang betul adalah tersangat penting.

03 Disember, 2010

Teruskan Usaha atau Berhenti Separuh Jalan?

 Kebanyakan 'juara' berhenti perkara yang patut dihentikan dan berusaha gigih dalam perkara yang berpotensi membawa kejayaan untuk mencapai status 'terbaik di dunia'

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Beberapa bulan lalu saya telah membaca buku 'The Dip' oleh Seth Godin. Dalam buku ini, beliau mendakwa bahawa untuk mencapai kejayaan, seseorang individu atau perniagaan perlu melalui satu fasa yang digelarnya 'The Dip' atau kemorosotan / prestasi mendatar sebelum akhirnya mencapai kejayaan.

Selain itu, mereka yang berjaya biasanya tahu bila untuk 'quit' atau berhenti dalam aktiviti yang tidak berfaedah atau yang telah menemui jalan mati. Golongan ini sentiasa berhenti melakukan perkara tidak berfaedah untuk mencapai kejayaan besar dalam perkara yang penting bagi mereka.

Akhir sekali, untuk mencapai kejayaan, individu hendaklah berusaha menjadi 'The Best in the World" atau terbaik di dunia dalam bidang mereka, kerana yang terbaik di dunia biasanya mendapat ganjaran/yuran/gaji yang jauh lebih besar daripada mereka yang dianggap 'average' atau biasa sahaja.

Sebagai contoh gaji CEO jauh lebih tinggi daripada pengurus besar manakala gaji yang diterima oleh Ronaldo jauh lebih tinggi (sehingga 100%) daripada pemain utama biasa, walaupun jika perbezaan prestasinya hanya 20 hingga 30%.

Malangnya untuk mencapai status "The Best in the World", banyak yang perlu dikorbankan termasuk berhenti pelbagai aktiviti lain yang tidak membawa manfaat untuk mencapai matlamat tersebut.

Selain itu, mereka yang cuba menjadi yang terbaik juga perlu melalui satu fasa yang dinamakan 'The Dip' di mana kita perlu tetap berusaha walaupun prestasi mendatar sehinggalah kita mencapai 'tipping point' atau satu takat di mana kejayaan besar akan menyusul.

Perkara ini dapat dilihat apabila kita memulakan perniagaan baru atau belajar kemahiran baru seperti bermain alat muzik, belajar bahasa baru atau aktiviti sukan baru. Peringkat permulaan amat menyeronokkan.

Tetapi akan sampai satu peringkat di mana peningkatan sukar dicapai dengan mudah lagi. Inilah fasa yang dinamakan 'The Dip'. Pada waktu inilah ramai yang akan berhenti. Jika anda sanggup berusaha keras dan mencari jalan memecah kebuntuan dan terus maju ke hadapan, ganjaran yang diterima apabila keluar daripada fasa ini adalah amat lumayan, kerana ramai yang lain telah berhenti.

Satu lagi perkara, 'The Best in the World' yang dimaksudkan bukanlah semestinya satu bidang luas yang membabitkan seluruh dunia. Anda boleh memilih bidang khusus di lokasi tertentu di mana anda adalah yang terbaik.

Sebagai contoh, matlamat saya ialah menjadi penulis kewangan Bahasa Melayu terbaik di dunia. Anda boleh lihat sini bahawa pesaing saya bukanlah penulis dari seluruh dunia, cuma mereka yang pakar dalam bidang kewangan dan pandai menulis dalam Bahasa Melayu. Justeru pesaing saya tidaklah ramai sangat, tetapi perkhidmatan ini masih diperlukan. Anda juga boleh memilih satu bidang dan menjadi pakar dalam satu cabang kecil bidang tersebut atau kombinasi dua bidang.

Kesimpulan daripada buku ini ialah:

1. Untuk mencapai kejayaan, anda akan melalui fasa sukar yang dinamakan 'The Dip' di mana kemajuan atau peningkatan sukar dicapai.

2. Untuk mencapai kejayaan dalam aktiviti yang paling bermakna bagi anda, hentikan segala kegiatan lain yang mengalihkan tumpuan dan masa anda daripada aktiviti yang paling penting.

3. Jika anda terus berusaha dan memecah kebuntuan dan seterusnya menjadi antara yang 'terbaik di dunia', ganjaran yang menanti anda amat lumayan.

29 November, 2010

Tabungan Bulanan: Simpan atau Labur?

Cara anda memanfaatkan tabungan bulanan bergantung
kepada kesanggupan anda menanggung risiko


(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Saya pernah membincangkan tentang konsep 'Pay Yourself First' dan 'Automatic Savings' dalam posting lama saya. Saya menjelaskan bahawa pakar perancangan kewangan menggalakkan anda menyimpan dahulu peratus tertentu daripada gaji anda (sekurang-kurangnya 10%) sebelum membuat sebarang perbelanjaan lain.

Selain itu, saya juga menyebut bahawa ada pakar, termasuk David Bach, penulis buku The Automatic Millionnaire yang mencadangkan agar anda membuat tabungan secara automatik, iaitu menerusi arahan tetap dari akaun semasa kepada instrumen simpanan atau pelaburan anda.

Persoalan bagi orang ramai ialah adakah tabungan automatik ini patut disimpan atau dilaburkan?

Pada pandangan saya, produk simpanan ialah produk yang tetap nilainya, iaitu jika anda menyimpan RM10,000 anda akan mendapat balik sekurang-kurangnya jumlah itu, ditambah keuntungan yang diperolehi daripada produk tersebut.

Antara produk yang saya kategorikan sebagai simpanan termasuk

1. Akaun simpanan di Bank/Bank Islam
2. Akaun simpanan tetap/pelaburan di Bank/Bank Islam
3. Tabung Haji
4. ASW/ASB/ASD/AS1M

Walaupun ada di antara produk di atas merupakan produk pelaburan (seperti ASB), wang pokok pelabur adalah hampir terjamin dan nilainya tidak berubah-ubah.

Produk dalam kategori pelaburan termasuklah:

1. Kebanyakan produk unit amanah
2. Akaun simpanan emas
3. Segala instrumen dan saham yang dijual di pasaran saham

Bagi sesetengah orang, mereka akan simpan hanya jumlah tunai kecemasan antara 3 hingga 6 bulan gaji dalam instrumen simpanan dan selepas jumlah itu, tabungan mereka akan dilaburkan.

Sesetengah orang lain pula tidak mahu melabur dan mahukan keselamatan dengan menabung semuanya dalam produk simpanan.

Jika anda berjumpa ejen unit amanah, mereka sudah tentulah akan menggalakkan anda menabung dengan menggunakan produk mereka.

Secara peribadi saya lebih suka simpan 10% pertama dalam produk simpanan. Jika lebih daripada itu, maka boleh gunakan untuk melabur.

Walaupun yakin dapat melabur dengan bijak dan walaupun saya seorang yang sanggup menanggung risiko, perkara pertama yang saya utamakan ialah keselamatan kewangan.

Terpulang kepada anda tentang nisbah yang paling sesuai bagi anda, tetapi saya syorkan jangan terlalu agresif melabur sehinggalah anda membina tahap simpanan yang selesa terlebih dahulu.

24 November, 2010

Meninjau Petunjuk Ekonomi Penting

Petunjuk ekonomi tentukan suasana perniagaan

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Bagi saya keadaan ekonomi amat penting dalam menentukan suasana perniagaan sesebuah negara. Jika anda bekerja dalam syarikat atau melabur dalam syarikat, anda sudah tentu prihatin tentang suasana perniagaan.

Petunjuk ekonomi paling penting sudah semestinya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP). Jika anda pernah belajar ekonomi, anda sudah tahu apakah komponennya. Jika tidak, anda boleh membuat pencarian di Internet untuk melihat bagaimana ia dikira.

Secara ringkasnya, KDNK menentukan perkembangan atau penguncupan ekonomi negara. Biasanya KDNK diumumkan secara suku tahunan. Jika KDNK negatif untuk dua suku berturut-turut, seperti pada 2009, maka sesebuah negara dikatakan mengalami kemelesetan.

Dalam keadaan semasa, Malaysia baru sahaja keluar dari kemelesetan, dan KDNK Malaysia dijangka mencapai angka positif pada tahun ini.

Satu lagi petunjuk ekonomi penting ialah kadar faedah. Walaupun kita sebagai pelabur patuh syariah tidak mahu menggunakan kadar faedah sebagai penanda aras, kita terpaksa mengikuti perkembangannya kerana kadar pembiayaan asas juga ditentukan berasaskan overnighy policy rate (OPR) atau kadar dasar semalaman yang ditetapkan oleh BNM.

Jika mahu melonggarkan dasar wang, BNM akan menurunkan kadar faedah. Sebab itulah kadar OPR sekarang amat rendah, kerana BNM mengamalkan dasar yang longgar untuk merangsangkan ekonomi.

Sekiranya berlaku inflasi yang tinggi, maka satu daripada langkah yang boleh diambil oleh BNM ialah menaikkan kadar OPR untuk mengekang inflasi.

Bercakap tentang inflasi pula, sememangnya ia merupakan salah satu lagi pengukur ekonomi yang diwakili oleh indeks harga pengguna. Indeks ini terdiri daripada sekumpulan barangan pengguna yang diberikan pemberat tertentu.

Kadar inflasi melonjak tinggi pada 2008, iaitu semasa berlaku kenaikan ketara harga komoditi. Kada inflasi telah naik melebihi 7% tetapi pada 2009 ia telah kembali menurun ke tahap di bawah 4%.

Dari sudut perniagaan, kadar KDNK yang lebih tinggi umumnya lebih positif bagi perniagaan. Manakala kadar OPR yang rendah lebih positif bagi perniagaan kerana kadar faedah yang rendah menghasilkan kos pembiayaan rendah. Sementara itu kadar inflasi yang rendah umumnya lebih stabil dan baik terutamanya bagi syarikat perniagaan kerana kos pengeluaran dapat dikawal.

Walau apa pun, kesan ekonomi kepada syarikat atau industri anda mungkin berbeza-beza. Sebagai contoh, apabila kenaikan harga komoditi dulu, syarikat ladang kelapa sawit dan industri minyak dan gas mendapat untung besar, sedangkan industri yang bergantung kepada input minyak sawit dan minyak seperti pengeluaran makanan dan penerbangan menghadapi masalah.

Jadi jika anda seorang pelabur, anda boleh gunakan petunjuk ekonomi atau ramalan ekonomi untuk melihat syarikat mana yang dapat memanfaatkan suasana ekonomi yang dijangka berlaku dalam tempoh yang mendatang. Gunakan petunjuk ekonomi sebagai salah satu daripada senjata analisis anda.

20 November, 2010

Adakah volum dagangan penting?

Amat penting bagi dagangan jangka pendek

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Volum dagangan, iaitu berapa banyak saham yang diperdagangkan setiap hari, menunjukkan tahap minat pelabur terhadap sesuatu saham.

Ada saham yang volumnya sentiasa tinggi, ini termasuk saham-saham besar yang terkenal dan juga saham-saham kecil popular yang menjadi kegemaran spekulator.

Volum amat penting jika anda berdagang dalam jangka pendek kerana dengan volum yang tinggi, anda akan mendapat kepastian bahawa wujud pembeli jika anda mahu menjual, tidak kiralah sama ada kerana mengambil untung atau untuk mengehadkan kerugian.

Kalau tak ada volum, apabila anda hendak menjual, anda mungkin perlu menjual pada harga yang jauh lebih rendah, iaitu pada tahap di mana terdapat bidder. Sebab itulah volum dagangan sangat penting.

Tetapi bagi pelabur yang lebih mengutamakan fundamentals seperti saya, volum dagangan tidaklah penting (melainkan saham itu langsung tiada volum). Ini kerana beliau dan jualan boleh dibuat secara perlahan-lahan dalam jangka masa tertentu.

Lagipun sesuatu saham yang volumnya rendah pada masa tertentu mungkin meningkat dengan ketara pada masa depan disebabkan peningkatan prestasi atau populariti. Cuba kita lihat graf di bawah:

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat perhatikan di sini bahawa tahun 2008 volum dagangan Supermax sangat rendah, tetapi apabila prestasinya mula menyerlah, volum dagangan juga kian meningkat.

Malah saya ada membeli dan menjual saham yang volumnya rendah apabila membeli dan masih rendah apabila saya jual, tanpa sebarang masalah, cuma proses ini saya lakukan dalam dua tiga transaksi bagi belian dan juga jualan.

Sebab itu saya katakan bahawa bagi saya sebagai pelabur, volum tidak penting tetapi jika anda seorang pedagang, adalah lebih baik jika anda hanya menjual beli saham yang mempunyai volum dagangan yang menckupi.

14 November, 2010

Perhimpunan Agung Umat Islam

Dedahkan jurang ekonomi negara-negara miskin

Hari Raya Haji telah hampir tiba dan hampir 5 juta umat Islam akan menunaikan Haji di Tanah Suci Mekah.

Salah satu rukun Haji ialah wukuf di Padang Arafah dan pada waktu itu adalah satu-satunya masa di mana kita tidak boleh membezakan taraf, status atau harta-kekayaan seseorang.  Semunya memakai ihram dan tiada perbezaannya.

Namun begitu tempoh sebelum dan selepas Haji dan juga keadaan penginapan di Mekah, Arafah dan Mina menunjukkan betapa tertinggalnya ekonomi sesetengah negara Islam.

Kita tidak dapat nafikan bahawa banyak penduduk negara Islam adalah agak miskin malangnya tumpuan jarang diberikan tentang usaha menaikkan taraf ekonomi ummah.


Di sini perbezaannya jelas. Mereka yang datang dari negara miskin duduk jauh dari Masjidil Haram dan mungkin tinggal di penginapan kurang baik. Justeru mereka terpaksa menunggu di sekitar Masjidil Haram dan makan dan tidur di sana. Malah ada yang tidur malam pun di Masjid

Status dan kekayaan juga diutamakan di perkhemahan di Arafah dan Mina.  Ada yang duduk dalam kemudahan bertaraf tinggi.  Lebih baik pakej yang dipilih, lebih selesa penginapan. Malah, ada sesetengah jemaah memang tidak berkhemah dan berulang-alik ke Mekah dari Mina.

Sementara itu satu lagi perkara ialah kos menunaikan Haji. Di negara jiran kita, kos menunaikan Haji adalah antara yang termahal dan sama seperti pakej di Malaysia, tetapi lokasi mereka duduk adalah satu hingga dua kilometer dari sini.

Justeru kita dari Malaysia perlu bersyukur kerana kemudahan yang ada dan jika dibandingkan dengan jemaah lain.  Apabila sebut saja dari Malaysia kepada jemaah negara lain, ramai yang memuji.

Satu lagi perkara yang membelenggu umat Islam dunia ialah gejala rasuah. Fenomena ini adalah kekangan besar kepada pembangunan ekonomi Islam. Dalam satu artikel blognya, Dr Mohd Asri ada membandingkan Mesir dengan China dan tertanya bagaimana sebuah negara Islam mempunyai gejala ini yang berleluasa dan tahap pembangunan yang kurang baik sedangkan China, boleh pesat membangun.

Bukankah patut negara Islam paling kurang gejala rasuah kerana perbuatan itu berdosa? Sukar untuk mengupas paradoks ini dan mungkin gejala inilah yang mengekang pembangunan beberapa negara besar yang mempunyai ramai umat Islam, menyebabkan pendudukanya sentiasa terperangkap dalam kitaran kemiskinan.

10 November, 2010

Melabur Dalam Komoditi Menerusi Unit Amanah

Cara lebih selamat untuk memanfaatkan kenaikan harga komoditi

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Kita sedia maklum tentang kenaikan harga kebanyakan komoditi termasuk minyak dan minyak sawit, pada tahun 2008. Terdapat beberapa cara untuk memanfaatkan kenaikan harga komoditi sekiranya anda berpendapat harga komoditi akan terus naik pada masa depan, iaitu melibatkan diri dalam pasaran hadapan komoditi, melabur dalam syarikat pengeluar komoditi atau berkaitan dengannya atau melabur dalam unit amanah yang melabur dalam kumpulan syarikat yang terlibat dalam komoditi.


Sebelum ini agak sukar untuk melabur kerana kebanyakan dana yang melabur dalam syarikat sumber semula jadi dan komoditi adalah tidak patuh Syariah. Tetapi pada tahun ini, sudah ada dua dana yang menawarkan pilihan patuh Syariah, iaitu CIMB Islamic Global Commodities Fund dan AmCommodities Equity.


CIMB Islamic Global Commodities Equity

Dana ini melabur dalam saham sektor sumber semula jadi, bahan asas, tenaga, tenaga boleh diperbaharui, logam dan pertanian. Menurut syarikat pengeluar dana, kadar peningkatan penduduk dan industrialisasi yang semakin pesat akan menjana permintaan yang semakin tinggi bagi komoditi. Justeru, dalam jangka panjang harga komoditi dijangka meningkat seiring dengan kenaikan permintaan.

Pelabur juga berpeluang melabur dalam portfolio syarikat yang agak terpelbagai kerana dana ini bukan sahaja melabur dalam syarikat pengeluar komoditi, tetapi juga syarikat yang berada sepanjang rantaian nilai pengeluaran komoditi. Yuran pengurusan tahunan ialah sehingga 1.85% dan yuran jualan maksimum ialah 6.5% (tanya ejen atau syarikat untuk mendapatkan tawaran terkini dan terbaik). Penanda arasnya ialah Dow Jones Emerging Markets. Klik sini untuk membaca atau memuat turun prospektusnya.



AmCommodities Fund

AmCommodities Fund ialah sejenis Feeder Fund yang melabur dalam CAAM Islamic Global Resources ("Dana Sasaran"). Dana Sasaran pula melabur saham komoditi dan berkaitan komoditi di seluruh dunia yang patuh Syariah, dengan tumpuan kepada sektor tenaga dan perlombongan.

Dana ini menggunakan indeks penanda aras berikut: 50% Dow Jones Islamic Market Oil & Gas + 50% Dow jones Islamic Market Basic Materials. Yuran Jualan Dana ini 5% jika dibeli daripada saluran ejen biasa tetapi turut ditawarkan menerusi Fundsupermart.com pada kadar 2% sahaja. Yuran pengurusannya ialah 1.8%. Jika dilihat daripada penanda aras yang digunakan, dana ini didapati mengutamakan sektor minyak dan gas. Klik sini untuk membaca prospektus.

Bila Untuk Melabur?

Adalah sukar untuk menentukan masa yang paling tepat untuk melabur. Maka bagi mengelakkan kesilapan 'timing', saya cadangkan jika anda ada satu jumlah besar, anda pecahkan kepada lima bahagian dan melabur setiap dua bulan. Ini bermakna pelaburan anda tidak terlalu terjejas jika harga komoditi atau saham berkaitan komoditi jatuh dalam tempoh enam bulan akan datang, kerana anda membeli pada harga purata.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk melabur, pastikan ia sebahagian daripada pelaburan lain yang terpelbagai, dan tidak hanya meletakkan semua wang anda dalam dana komoditi, walaupun anda sangat yakin dengan potensinya kerana kita tahu bahawa tidak ada kepastian dalam dunia pelaburan.

Secara kesimpulan, jika anda rasa harga komoditi akan terus naik pada masa depan, dan anda ingin mengambil kesempatan daripadanya, dua dana patuh syariah ini memberikan cara yang mudah dan terpelbagai untuk melakukannya, dengan risiko yang lebih rendah berbanding melibatkan diri secara langsung dalam pasaran hadapan komoditi atau pasaran saham.

Nota: Maklumat lanjut mengenai feeder fund dan unit amanah secara umumnya boleh didapati dalam buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

07 November, 2010

Kriteria Pemilihan Saham

Meninjau beberapa cara memilih saham dengan fundamental analysis

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan.  Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Sekiranya anda memilih saham berasaskan fundamental analysis (analisis asas), berikut adalah beberapa kriteia yang boleh anda gunakan dalam proses pemilihan..

1. Nisbah Harga Pendapatan atau P/E Ratio yang rendah, dengan pendapatan yang diramalkan meningkat
Nota:
- Mencari saham P/E rendah adalah senang, tetapi meramalkan sama ada syarikat akan meningkatkan keuntungan pada tahun kewangan akan datang adalah lebih susah.
- Berasaskan pemerhatian saya, saham dengan P/E rendah tidak akan naik harganya jika keuntungannya merosot.

2. Harga saham lebih rendah daripada aset ketara bersih, aset semasa bersih atau tunai bersih sesaham
Contoh: IGB, Dijaya
Nota:
- Bergantung kepada jenis aset syarikat.
- Kadangkala ada aset yang tak berfaedah dalam buku, justeru pelabur perlu berhati-hati.
- Saya lebih suka guna kaedah ini untuk menilai syarikat hartanah.

3. Turnaround Play - Ramalkan pemulihan syarikat
Cth MAS dan Proton yang menghadapi masalah satu ketika dulu.
Nota:
- Kaedah risiko tinggi / ganjaran tinggi
- Kadang-kadang syarikat tersebut gagal dipulihkan.

4. Ada potensi masa depan , jualan makin meningkat tapi catat kerugian
Cth: Ingress yang sudah tiga tahun rugi tetapi jualannya meningkat dan dijangka untung tahun ini.
Nota:
- Juga kaedah risiko tinggi/ganjaran tinggi
- Boleh cuba menilai menggunakan Price/Sales Ratio yang dipelopori Ken Fisher
- Kadang-kadang tak menjadi, seperti Nasioncom

5. Bayaran dividen tinggi, pertumbuhan stabil
Cth: F&N,Nestle: syarikat yang sungguh mantap
Nota:
- Jangan harap untuk menggandakan wang anda dalam jangka pendek
- Boleh memberikan pulangan dividen stabil dan mempunyai risiko rendah.

Kriteria di atas adalah antara cara saya memilih saham. Tetapi kaedah paling kerap saya gunakan sekarang ialah kaedah No.1 kerana prestasi banyak saham biasanya bergantung kepada prestasi keuntungannya. Saya juga suka kaedah No.4 tetapi untuk saham-saham sebegini, saya tetapkan stop loss atau trailing stop untuk menghadkan kerugian atau mengunci keuntungan yang sudah diperolehi.

Kaedah dan saham yang anda pilih bergantung kepada toleransi risiko anda. Jangan guna kaedah 3 dan 4 jika anda tidak sanggup menanggung risiko. Gunakan kaedah yang anda rasa selesa.

04 November, 2010

Bandar Mekah Al-Mukarramah

Menjalani proses peluasan dan pembaharuan

Walaupun kita mengenali Mekah sebagai tanah haram, bandar ini sebenarnya merupakan sebuah bandar komersil yang sibuk.

Pengunjung yang datang buat pertama kami ke bandar ini yang ingin beribadat dalam keadaan tenang mungkin terkejut dengan keadaan hiruk-pikuk di luar sahaja sempadan Masjidil Haram.




Bandar ini mempunyai industri pesat berasaskan haji dan umrah, yang merupakan satu sumber pendapatan penting.  Malah, ada Kementerian khusus untuk tujuan ini.

Memandangkan sejarahnya yang panjang serta pembaharuan dan pembangunan pesat yang sedang dijalankan, maka kita dapat melihat bangunan lama dan bangunan baru bersifat supermodern berdiri sebelah-menyebelah.

Malah satu pelan induk sedang dilaksanakan untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram disempedani bangunan-bangunan serba moden di mana pelan ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020. Menara Jam sudah siap tahun ini. Bangunan dibina amat berdekatan antara satu sama lain di jalan menuju ke Masjidil Haram.

Namun dengan pembangunan seperti ini, wujud kebimbangan tentang kos yang semakin meningkat bagi penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram.



Hotel-hotel di sini adalah sederhana sahaja tetapi kosnya bergantung kepada jarak daripada Masjidil Haram.  Menurut Tabung Haji, kita membayar 'for the location' dan bukannya untuk kemudahan yang ditawarkan.

Memang lalu-lintas di sini boleh mengalahkan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Bagi kita di Malaysia memang tak ada masalah kerana sudah biasa, tapi saya lihat jemaah yang datang dari negara kurang membangun dan kawasan pedalaman agak gerun dengan lalu-lintas dan bunyi hon yang tidak henti-henti.

Seperti di Malaysia, kedai-kedainya kebanyakannya dikendalikan oleh pekerja asing dari pelbagai negara.  Malah jika anda pandai berbahasa Urdu (India/Pakistan), anda memang senang berkomunikasi di sini.

Sesetengah pekerja yang memang pandai berbahasa Melayu untuk menarik perhatian jemaah Malaysia dan Indonesia. Bukan itu sahaja, ada juga kedai yang dimiliki oleh orang Malaysia. Selain itu ramai penjaja menempatkan diri secara strategik untuk menarik pelanggan yang pergi dan balik dari masjid.

Bagi jemaah yang datang dari Madinah atau terus dari Kuala Lumpur, tanggapan pertama mungkin kejutan tetapi setelah merehatkan diri dan menenangkan keadaan dan masuk ke Masijidil Haram, maka barulah dapat membiasakan diri dengan rentak kehidupan di kota Mekah.

Ternyata selain daripada Masjidil Haram, bandar ini ada daya tarikannya sendiri, terutamanya kepelbagaian umat Islam yang berada dan berniaga di dalamnya dari seluruh pelusuk dunia. 

Diharapkan pemodenan yang dilakukan pada masa depan tidak melenyapkan lorong-lorong kecil dan segala kepelbagaian yang wujud di sini.

31 Oktober, 2010

Saham Terkenal atau Saham Kurang Dikenali?

Pilihan bergantung kepada risiko yang sanggup anda tanggung dan pulangan yang anda sasarkan

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan.  Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Apabila saham Maxis disenaraikan semula tidak lama, timbul minat di kalangan pelabur untuk mendapatkan sahamnya menerusi IPO dan menerusi pasaran terbuka.

Forum pelaburan, laman berita dan juga blog pelaburan kerap menceritakan tentang saham ini. Malah ada juga pembaca blog ini yang bertanya saya mengenai baik buruk membeli saham Maxis.

Fenomena ini memang satu perkara biasa. Maklumlah Maxis syarikat besar dan juga terkenal. Perkara yang sama dilihat dengan saham besar dan terkenal lain. Saham seperti Tenaga, Telekom, Maybank, IOI, Gamuda, CIMB dan beberapa saham besar lain sering menjadi bahan liputan dan perbualan.

Kebanyakan syarikat brokerage ada meliputi saham ini. Kekuatan dan kelemahannya diketahui ramai. Volumnya dagangannya juga besar.

Tetapi patutkah kita sebagai pelabur kecil memilih saham-saham ini. Jawapannya ialah bergantung kepada sasaran anda.

Tidak dinafikan bahawa saham-saham ini kukuh, tetapi segala maklumat mengenainya sudah di 'priced in'. Ini bermakna adalah susah untuk mencatatkan keuntungan lebih besar daripada normal daripada saham-saham ini.

Di samping itu, pertumbuhan saham besar juga tidak begitu pantas, ini kerana pasarannya sudah matang dan pertumbuhan kalau dicapai pun adalah pada kadar normal sahaja.

Tetapi perniagaannya mantap dan pelabur yakin bahawa kalau pun ada masalah, syarikat tersebut dengan rekod pencapaian lama yang kukuh, mampu bertahan dan pulih daripadanya.

Jika anda membeli saham-saham besar, pulangan yang anda perolehi adalah kenaikan harga normal dan juga hasil dividen yang dibayar. Adalah sukar untuk menggandakan wang anda dalam masa tiga hingga lima tahun.

Sebaliknya bagi saham berkualiti yang kurang terkenal, kebanyakan syarikat penganalisis belum membuat coverage terhadapnya. Justeru terdapat potensi bahawa saham tersebut undervalued kerana kurang mendapat perhatian.

Selain itu, potensi pertumbuhannya juga masih luas, sama ada kerana industri masih di peringkat pertumbuhan, atau syarikat masih lagi menguasai bahagian pasaran kecil dalam pasaran yang amat besar.

Tetapi risiko membeli saham seperti ini lazimnya lebih tinggi dan volum dagangannya lebih rendah. Di samping itu, bagi syarikat yang kurang terkenal, anda kena rajin mengumpulkan maklumat mengenai syarikat.

Saya sendiri lebih suka melabur dalam syarikat yang kurang terkenal, dan memegangnya sehingga ia menjadi terkenal. Selepas menjadi terkenal, saya jual apabila rasa harganya menarik dan tidak lagi melabur dalam saham itu, melainkan berlaku kejatuhan ketara.

Ada banyak syarikat yang dulu kurang terkenal, tetapi sekarang sudah menjadi saham besar atau gergasi seperti KPJ Healthcare, DiGi dan Supermax Corporation. Malah jika dilihat Supermax, hanya setahun lepas siapa hiraukan tentang Supermax? Sekarang ini ramai orang nak 'main' saham ini.

Terpulang kepada anda menentukan jenis saham yang menjadi pilihan, bergantung kepada risiko-pulangan yang sesuai dengan anda.

Cuma apa yang saya ingin tekankan di sini ialah pertama, pilihan pelaburan tidak hanya terhad kepada nama-nama besar sahaja, dan kedua saham besar tidak semestinya saham yang bagus.

29 Oktober, 2010

Kumpul Harta untuk Menunaikan Haji

Usaha gigih bina kekayaan untuk penuhi tuntutan Ilahi

Salah satu daripada matlamat utama kita bekerja keras dan mengumpulkan harta ialah untuk menunaikan ibadat haji yang merupakan salah satu daripada rukun Islam.

Seperti yang kita sedia maklum, untuk menunaikan haji bukannya murah, terutamanya jika anda memilih bila anda mahu pergi.

Jika tidak, anda perlu menunggu giliran untuk pergi menerusi muassassah dan tak silap saya sekarang ini tempoh menunggunya adalah kira-kira 20 tahun! Mereka yang lanjut usia atau sakit biasanya diberi keutamaan dan boleh pergi jauh lebih cepat, tertakluk kepada penerimaan rayuan masing-masing.

Dengan pakej muassassah pun anda perlu membayar RM10,000, (itupan dengan subsidi RM3,000) manakala bagi pakej haji dengan tabung haji travel dan pakej swasta, pakej paling minimum sekarang ialah RM20,000.

Jadi kita boleh bayangkan bahawa harga pakej tersebut dijangka akan bertambah pada tahun-tahun akan datang, terutamanya dengan pemodenan kawasan sekitar Masjidil Haram yang dijangka siap pada 2020.

Ini belum lagi mengambil kira perbelanjaan di sana, termasuklah pembayaran dam atau korban (jika mahu) dan sebagainya, dan juga pelbagai perbelanjaan lain. Mungkin sekurang-kurangnya RM2,000 perlu diperuntukkan.

Harus diingat bahawa wang untuk dibawa ke tanah suci hendaklah dari sumber yang halal. Jadi untuk memudahkan anda menabung untuk tujuan ini, bukalah akaun Tabung Haji dan bina satu dana berasingan untuk tujuan ke Mekah.

Walaupun pulangan TH di sekitar 5% sahaja, duit tersebut telah dibayar zakat, jadi anda tidak perlu mengeluarkan zakat lagi.Jika anda menabung untuk jangka panjang, maka pulangan Tabung Haji memang agak memuaskan bagi sesuatu kaedah simpanan yang hampir risk free.

Akhir sekali, saya ingin mencadangkan agar wang yang dikumpul untuk haji TIDAK disimpan di ASB walaupun ia dianggap halal atas kepentingan umum.  Kita semua tahu ada syarikat non-compliant yang dipegang oleh PNB menerusi dana ASB.  Cuba gunakan kaedah yang sememangnya tidak diragui untuk mendapatkan pulangan bagi menunaikan Haji.

Nota: Saya tiada di Malaysia selama sebulan setengah. Maka artikel blog sama ada akan diulang siar atau jika ada sambungan Internet, saya akan menulis mengenai perjalanan saya. Semua soalan terus ke emel atau menerusi blog akan saya jawab bila saya pulang.

25 Oktober, 2010

Mark Mobius: Pakar Pasaran Sedang Membangun

Pengerusi Templeton Asset Management yakin terhadap Malaysia

Mark Mobius adalah antara tokoh pertama yang membuatkan saya tertarik untuk melabur menerusi bukunya, Passport to Profits. Walaupun diterbitkan lebih 10 tahun lepas, buku ini masih amat relevan kepada pelabur yang ingin berjaya dalam bidang pelaburan di rantau ini.



Siapakah Mark Mobius? Beliau adalah pengerusi eksekutif Templeton Asset Management, Ltd. Pada masa ini, beliau menerajui pasukan penyelidikan Templeton yang berpangkalan di 15 pejabat negara-negara sedang membangun. Beliau telah menulis beberapa buah buku termasuk  “Trading with China,” “The Investor’s Guide to Emerging Markets,” “Mobius on Emerging Markets,” “Passport to Profits,” “Equities—An Introduction to the Core Concepts,” “Mutual Funds—An Introduction to the Core Concepts” dan “Mark Mobius: An Illustrated Biography.”



Bezanya Mark Mobius dengan pelabur terkemuka lain yang sering menjadi ikutan ialah beliau memang pakar tentang pasaran sedang membangun, termasuklah  Malaysia dan merupakan pelabur global dan serantau yang sememangnya fasih dengan keadaan di sini. Justeru pandangannya harus diberi perhatian kerana sudah lama terlibat di Asia.

Baru-baru ini, syarikatnya telah membuka operasi penuh di Malaysia dan satu majlis telah diadakan di mana beliau berkongsi pandangannya tentang pasaran Malaysia. 

Menurut Mobius, di pasaran Malaysia sektor barangan pengguna dan komoditi dijangka amat kukuh. Selain itu, beliau berpendapat Ringgit Malaysia akan terus naik berbanding Dolar Amerika.

Mobius juga akan melibatkan diri dalam pelaburan patuh Syariah. Malaysia mempunyai bilangan dana Syariah terbesar di dunia dan beliau yakin Malaysia akan mencapai matlamatnya untuk menjadi pusat kewangan Islam dunia.

Menurutnya, banyak wang sedang disalurkan kepada pasaran sedang membangun kerana di sinilah pelabur berpendapat pulangan setimpal dapat diraih memandangkan prospek kurang cerah negara-negara maju sekarang ini.

Mobius berpendapat pasaran sedang menaik (bull market) boleh kekal beberapa tahun lagi, kerana kemelesetan baru sahaja berlaku dua tahun lepas.  Dalam pasaran sebegini, mungkin peningkatan luar biasa berlaku.. Menurutnya, wang kini disalurkan bukan menerusi bank, seperti yang berlaku pada tahun 1993, tetapi kepada pasaran ekuiti.

Pandangan Mark Mobius harus diberi perhatian kerana beliau pakar dalam pasaran  sedang membangun.  Namun begitu, ia harus diimbangi dengan sikap berhati-hati dan waspada tentang ketidakseimbangan yang wujud dalam ekonomi global buat masa ini.

21 Oktober, 2010

Pasaran Saham Bukan Lubuk Emas

Sentiasa berhati-hati dan bersabar apabila melabur

Kadang-kadang saya rasa agak kurang selesa untuk melihat perkataan jutawan di hadapan perkataan saham.  Seolah-seolah jutawan itu adalah hasil yang pasti diperolehi daripada pelaburan saham, jika anda mengambil langkah X, Y dan Z.

Pada pendapat saya, ini memberikan gambaran yang kurang realistik tentang pelaburan saham, seolah-olah dengan sedikit usaha dan ilmu, kita boleh main saham dan jadi jutawan.

Membaca satu buku atau pergi ke satu seminar tidak akan menjadikan anda jutawan saham. Begitu juga sepuluh seminar atau sepuluh buku. Sebab itu saya enggan menggunakan perkataan jutawan dalam buku atau pembentangan saya.

Apa yang patut kita usahakan ialah menjadi pelabur yang mampu:
  1. Mendapatkan pulangan lebih tinggi daripada kadar tanpa risiko atau risk free rate.
  2. Mendapatkan pulangan konsisten tahun demi tahun sehingga pulangan terkompaun menjadikan pelaburan kecil menjadi habuan lumayan.
  3. Sentiasa memantau risiko dan tidak mengambil risiko yang terlalu tinggi.
  4. Sedar bahawa pasaran saham bukan sumber pendapatan tetapi sumber pulangan.
Kecuali anda seorang remisier atau stock broker, berdagang sepenuh masa dalam pasaran dengan harapan untuk meraih pendapatan adalah sesuatu yang berisiko tinggi dan tidak produktif untuk negara.

Walaupun jika anda satu atau dua orang daripda seratus yang berjaya melakukannya, tetapi anda sebenarnya tidak menyumbang apa-apa kepada ekonomi.

Jika anda membeli buku saya (dan buku-buku lain) dan mengikut segala langkah yang dicadangkan, masih belum ada kepastian yang anda boleh untung, walaupun kebarangkalian untung lebih tinggi dengan lebih banyak ilmu di dada.

Jadikan pelaburan saham sebagai cara untuk membina aset anda secara beransur-ansur, dan sebahagian daripada strategi pelaburan keseluruhan yang terpelbagai.  Jangan ingat pasaran saham ialah satu tempat di mana jika anda buat A apabila berlaku B, maka hasilnya ialah C.

Bukan semudah itu.  Terlalu banyak variable yang terlibat. Kita perlu sentiasa mengemaskini dan menambah ilmu untuk berjaya, dan jangan ingat ada kepastian untung dalam apa jua keadaan.

18 Oktober, 2010

Bajet oh Bajet

Tidak boleh mengharapkan manfaat peribadi sahaja

Bajet 2011 telah diumumkan baru-baru ini dan bajet kali ini terpaksa dirangka dengan teliti untuk mencapai pengurangan deifisit tetapi tanpa mengekang perbelanjaan untuk terus merangsangkan ekonomi.

Justeru, insentif yang diberikan untuk orang biasa nampakanya amat sedikit atau tiada langsung bagi sesetengah individu.


Berikut adalah antara insentif yang diberikan:
  1. Pelepasan duti setem 50% bagi pembeli rumah kali pertama untuk rumah di bawah RM350,000
  2. Pelepasan duti setem 50% bagi perjanjian pinjaman perumahan bawah RM350,000, juga untuk pembeli kali pertama
  3. Jaminan  atas wang muka 10% menerusi skim rumah pertamaku bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.
  4. Pelepasan perubatan individu RM5,000 dilanjutkan kepada perubatan ibu bapa
  5. Pelepasan cukai jualan 10% bagi telefon bimbit.
Sementara itu, antara cukai yang dinaikkan:
  1. Cukai perkhidmatan dinaikan 6%.
  2. Cukai perkhidmatan 6% atas khidmat TV berbayar

Selepas menilai, saya dapati bajet ini akan menyebabkan saya bayar lebih cukai kerana insentif adalah amat terkhusus sedangkan kenaikan cukai berbentuk umum dan terkena kepada sebilangan besar orang.

Tetapi kita tidak boleh banyak merungut kerana adalah kurang wajar mengharapkan gula-gula setiap tahun.  Kita perlu sedar dalam keadaan tertentu, kerajaan tidak mampu memberikan insentif yang terlalu besar.

Walau apa pun, satu perkembangan yang agak menghampakan ialah pembinaan bangunan 100 tingkat di sekitar Stadium Negara atau Merdeka.  Ini jelas menunjukkan bahawa ada sesetengah pihak masih tidak faham kehendak rakyat.

Pembinaan projek seperti ini hanya akan menambahkan bekalan ruang pejabat dan kesesakan di kawasan sekitar.  Selain itu, projek ini membuka pintu yang luas bagi kritikan tentang penggunaan projek untuk membiayai keperluan politik (saya tak perlu dan tak mahu mengulas lebih lanjut).   Sama ada dakwaan benar atau tidak, begitulah persepsinya.

Tidak dinafikan kita sebagai rakyat, kita perlu memainkan peranan kita untuk memastikan kewangan negara kukuh, tetapi pihak yang memerintah juga perlu memastikan yang pembaziran tidak berlaku dan kekayaan diagihkan dengan adil.

Nota:  Satu masa dulu dipanggil Belanjawan...kenapalah ditukar jadi Bajet pulak, tak sedap langsung.

14 Oktober, 2010

Pasaran Saham Cecah 1500

Kegusaran ekonomi global tidak halang pasaran Malaysia
Namun pelabur perlu sentiasa berwaspada bila berdagang

Nampaknya kebimbangan beberapa pakar ekonomi terkenal mengenai ekonomi global yang semakin perlahan pada suku ketiga 2010, walaupun tepat, nampaknya tidak ada kesan langsung terhadap pasaran saham.

Malah saya sendiri membuat keputusan untuk tunggu dan lihat sejak suku ketiga tahun kerana bimbang keadaan ekonomi akan menjejaskan pasaran tetapi ternyata ramalan saya tidak tepat sama sekali.

Indeks pasaran saham, telah naik ke paras yang amat tinggi dalam tempoh 2 tahun ini, telah mencecah 1500 pada pagi ini, pasaran dijangka mencapai paras rekod lebih 1500 mata tidak lama lagi.

FBM KLCI



FBM Emas Shariah


Dipetik daripada Bursastation

Sebenarnya, banyak dana dari negara maju sedang menuju ke pasaran sedang membangun termasuklah Malaysia, dan faktor ini serta kelemahan USD dan kekuatan Ringgit menyaksikan pasaran Malaysia semakin hangat.

Cuma pelabur yang mengambil kesempatan daripada kenaikan ini diharapkan berhati-hati dan sentiasa mematuhi tahap stop loss yang ditetapkan.  Malah bagi pelabur fundamental pun, saya cadangkan untuk letakkan juga trailing stop atau stop loss secara khusus untuk keadaan semasa.

Kalau saham terus naik, bagus untuk anda tetapi jika berlaku exogenous shock atau peristiwa black swan, maka anda seharusnya boleh lock-in keuntungan atau sekurang-kurangnya mengehadkan kerugian.

Perlu diingat bahawa pasaran Malaysia kini antara yang paling hangat tetapi sentiasa berwaspada kepada beberapa risiko:

1. RM naik berbanding USD, banyak syarikat pengeksport akan rasai kesannya
2. Pengurangan permintaan dari AS dan Eropah kerana ekonomi yang masih bermasalah
3. Bank Pusat negara maju  menyuntik sejumlah dana yang besar dalam sistem yang boleh mewujudkan kenaikan  pasaran dan harga aset, termasuk komoditi, dalam jangka pendek tetapi membawa risiko dalam jangk panjang..
4.  Kenaikan harga komoditi akan memberi sedikit tekanan kepada mereka yang menggunakan input bahan tersebut.
5.  Pertikaian mata wang antara negara gergasi.

Pada pendapat saya pada suku ketiga ini, keputusan syarikat pengeluar minyak sawit dan syarikat yang terlibat dalam komoditi akan paling menyerlah, berasaskan peningkatan harga bahan mentah tersebut kebelakangan ini.


 
Ramai penganalisis, penulis blog dan pengurus dana, antaranya yang amat terkenal, meramalkan aliran masuk wang ke pasaran sedang membangun akan terus menaikkan harga saham dan komoditi. Pandangan pakar pelaburan terkenal agak berbeza dengan ramalan pakar ekonomi.

Tetapi saya masih dengan pendekatan amat berhati-hati dan konservatif kerana pada masa inilah ramai yang lupa tentang risiko pasaran.

Pendek kata jika anda mahu menunggang lembu jantan yang sedang mengganas dan mara dengan gagah ke depan, teruskan, tapi jangan lupa pakai topi keledar untuk membolehkan anda lompat dengan selamat sebelum lembu terlanggar pagar atau tiang!

10 Oktober, 2010

Merungkai Kejatuhan JCY International

Saham dibelenggu beberapa faktor sukar dikawal

Seorang pembaca telah mengemukakan soalan tentang JCY International, atau lebih khusus lagi mengapa saham JCY International jatuh.

JCY International ialah sebuah syarikat pengeluar komponen cakera keras (hard disk -HDD) komputer yang baru sahaja disenaraikan tahun ini. Daripada laman webnya, syarikat ini memberi tumpuan kepada perniagaan HDD sahaja.

Terus terang saya katakan saham ini bukan dalam radar saya walapun selepas disenaraikan, JCY dianggap hangat dan ramai yang membincangkannya.  Sebabnya ialah:

1. Saham ini baru tersenarai. Belum ada track record sebagai listed company. Rekod sebagai syarikat tidak tersenarai pada saya tidak boleh diambil kira kerana banyak peraturan yang perlu dipatuhi sebagai syarikat tersenarai. Secara peribadi saya mahu melihat rekod sekurang-kurangnya 2 tahun (atau lapan keputusan suku tahunan). 

2. Bekalan dan permintaan adalah di luar kawalan syarikat, sedangkan prestasi perniagaan seperti ini amat bergantung kepada bekalan dan permintaan.  

3. Berasaskan maklumat yang perolehi, JCY bergantung semata-mata kepada pasaran HDD.  Bagaimana kalau penggunaan smartphone dan produk lain dengan kapasiti simpanan lebih kecil meletup dan semakin ramai orang menggunakan smartphone berbanding komputer untuk melayari Internet?

Sebenarnya prestasi suku ketiga JCB adalah sederhana dan tidaklah teruk tetapi malangnya jangkaan atau expectation terhadap syarikat tinggi menggunung semasa penyenaraian. Maka prestasi syarikat berbanding unjuran yang dibuat oleh research house adalah jauh meleset.

Dipetik daripada Bursa Station

Pendek kata ramai pelabur yang membeli mengharapkan prestasi hebat telah hampa. Antara keadaan yang membelenggu JCY ialah kelemahan ekonomi AS dan Eropah buat masa ini yang membawa kepada permintaan lebih rendah untuk komputer, selain situasi di mana terdapat kapasiti berlebihan dalam industri.

Saya meramalkan kelemahan ekonomi di pasarannya akan terus berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan lagi.  Justeru prestasinya mungkin mendatar sehinggalah permintaan untuk produknya meningkat kembali.

Kesimpulannya, untuk menilai JCY International, analisis paling penting ialah permintaan dan bekalan untuk produknya, yang berkait rapat dengan keadaan ekonomi dunia. Walau betapa hebatnya pengurusan, perniagaan seperti ini tidak ada kuasa untuk mengawal faktor luarannya.

Satu lagi kesimpulan ialah jika semasa penyenaraian ada unjuran tertentu dibuat dan syarikat gagal menepati unjuran tersebut, maka pelabur akan angkat kaki menyebabkan sahamnya jatuh.

Walau apa pun, saya ulangi sekali lagi prestasinya bukanlah teruk, cuma tidak menepati sasaran sahaja.  Terpulang kepada pelabur untuk pegang untuk jangka panjang untuk mengharapkan prestasi kembali pulih atau menjual dan mencari peluang lain.

07 Oktober, 2010

Jim Rogers: Labur Dalam Aset Fizikal

Pelabur legenda syorkan logam berharga dan komoditi pertanian

Siapakah Jim Rogers? Beliau merupakan pengasas bersama Quantum Fund pada tahun 1970an yang mencatatkan pulangan tinggi untuk tempoh 10 tahun. Beliau telah bersara daripada Quantum Fund pada 1980an. Pada than 1998, Rogers telah mengasaskan Rogers International Commodity Index.

Kini beliau menetap di Singapura kerana berpendapat Asia akan menerajui dunia pada masa akan datang, dengan diketuai oleh China.

Jim Rogers juga telah menulis beberapa buah buku termasuk Hot Commodities: How Anyone Can Invest Profitably in the World's Best Market, A Bull in China: Investing Profitably in the World's Greatest Market dan A Gift to My Children: A Father''s Lessons For Life and Investing.


Menurut temu ramah terbaru beliau di Yahoo, banyak pasaran sedang naik sekarang tetapi ekonomi semakin merosot.  Umumnya di kebanyakan tempat saham, emas, tenaga dan komoditi lain meningkat selepas Bank of Japan menurunkan kadar faedah kepada sifar.  Bank Pusat AS juga dijangka meneruskan program perlonggaran kuantitatif.  Ini bermakna mereka mencetak lebih banyak wang untuk menangani kegawatan ekonomi.

Justeru menrurut beliau antara pelaburan terbaik sekarang ialah logam berharga dan juga komoditi pertanian. Malah, beliau lebih meyakini komoditi pertanian berbanding logam. Jim Rogers berjenaka bahawa inilah masa terbaik unutk menjadi seorang peladang!

Pada pendapat beliau, Bank-Bank Pusat di seluruh dunia akan terus mencetak wang dan menyebabkan logam berharga meningkat.  Pada pandangannya emas, walaupun sudah naik ke tahap tinggi, dijangka akan mendatar atau turun buat seketika, tetapi akan terus naik lagi.

Menurutnya, adalah lebih baik untuk memiliki komoditi itu sendiri berbanding saham syarikat dalam komoditi kerana kalau membeli saham syarikat komoditi, mungkin kita tersalah pilih dan tidak dapat mengambil kesempatan.  Namun begitu kalau kita memilih syarikat yang betul kita berpotensi untung besar.

Bagi pelabur yang mahu sedikit pendedahan  dalam komoditi atau sumber logam dengan cara yang patuh syariah, cara paling selamat ialah membeli unit amanah yang melabur dalam syarikat komoditi dan juga logam berharga. Pelaburan langsung dalam niaga hadapan komoditi juga boleh dilakukan tetapi anda perlu mendalami ilmunya terlebih dahulu dan memastikan kaedahnya patuh syariah.   

Sementara itu, dari segi logam berharga, emas  ialah satu lagi pelaburan yang boleh dilaburkan dengan mudah menerusi akaun pelaburan emas di beberapa buah bank.

Walau apa pun, perlu diingat ini satu pendapat peribadi beliau sahaja. Ramai pakar lain yang mempunyai pendapat yang berbeza. Pastikan anda mengimbangi dan menilai segala maklumat sebelum menentukan di mana untuk meletakkan wang anda dalam keadaan semasa yang agak sukar dibaca.

03 Oktober, 2010

Penting Untuk Menilai Pelanggan

Bukan Semua Pelanggan Boleh Kita Terima

Jika kita membuka perniagaan runcit (retail), isu penilaian pelanggan tidak menjadi masalah kerana segala urusan dibuat secara runcit dan tunai diterima dengan serta-merta. Begitu juga banyak perniagaan online yang tidak melibatkan interaksi, kerana perniagaan seperti ini biasanya menerima pembayaran tunai terdahulu, sebelum penghantaran barang dibuat..

Namun begitu, ada banyak bisnes lain yang melibatkan perkhidmatan, kontrak dan jual beli pukal dan sebagainya yang memerlukan pemberian kredit dan membabitkan  ketidakpastian.  Dalam perniagaan sebegini, pemberian kredit adalah lumrah dan kalau nak berniaga kita perlu memberikan kemudahan kredit.

Dalam keadaan inilah kita perlu berhati-hati dalam pemilihan pelanggan kerana jika mereka tak bayar atau buat kecoh, hampir tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan, terutamanya jika perniagaan kecil. Cuba bayangkan jika mereka hutang anda RM3,000 dan  mereka tak mahu bayar.

Jadi macam mana nak kutip?  Takkan nak pergi mahkamah? Kos peguam saja dah lebih RM3,000 dan pelbagai kerenah yang perlu dilalui. Baik lupakan sahaja.  Saya pernah kena kes sebegini dan begitu juga dua tiga orang kenalan lain yang mengendalikan perniagaan kecil.  Malah ada pelanggan mereka yang berani mengatakan "What are you going to do about it?" kerana tahu perniagaan kecil tak mampu pergi mahkamah.

Cara terbaik ialah membuat penilaian di peringkat awal lagi. Kita perhatikan tindak-tanduk mereka semasa berurusan dengan kita. Mungkin buat kali pertama anda boleh tetapkan syarat bayar tunai dulu dan jika dah yakin baru beri kemudahan kredit.

Selain daripada memilih pelanggan untuk memastikan pembayaran, satu lagi sebab ialah mengelakkan pelanggan yang terlalu banyak kerenah.  Jika sudah komited dengan satu projek dengan pelanggan sebegini, habiskan dulu projek atau kontrak tersebut dengan sebaik mungkin. Puaskah hatinya, malah bagi diskaun lagi kalau dia tak puas hati. Lepas itu, kalau boleh jangan terima lagi kerja daripada pelanggan ini.

Sebab terakhir untuk memilih pelanggan ialah untuk mengelakkan rasuah. Sesetengah pelanggan ada pelbagai kerenah.  Mungkin ada yang nak minta 'dummy invoice', atau yang mahukan 'kickback' kerana memilih syarikat anda untuk melaksanakan tugas.

Terus-terang saya katakan pada satu masa dulu saya pernah melayan permintaan seperti ini.  Namun begitu, saya rasa tak sedap hati dan akhirnya pada satu ketika saya membuat keputusan untuk langsung tidak layan dan kalau tak dapat bisnes, tak kisahlah.  Saya agak bernasib baik kerana dalam bidang saya, memang tak perlu lakukan perkara ini.  Tapi saya tahu ada satu dua bisnes lain yang mungkin sukar untuk 'survive' kalau tak buat perkara seperti itu.

Walau apa pun, kesimpulannya ialah jangan kita asyik fikir yang hanya pelanggan yang akan pilih kita, kita juga perlu nilai pelanggan untuk memastikan bisnes kita bersih, cekap dan amanah.

29 September, 2010

Perkembangan Terkini: Bank Islam

Prestasi Bank Islam Agak Mendatar Pada Tahun Berakhir Jun 2010


Bank Islam, satu-satunya bank patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia, telah mencatatkan prestasi yang mendatar pada tahun kewangan semasa, walaupun sepanjang tahun lepas ekonomi mengalami pemulihan dan pasaran saham umumnya telah naik.

Pada tahun kewangan berakhir Jun 2010, Bank Islam mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) 12.74 sen berbanding pendapatan 12.69 sen pada tahun sebelumnya.  Aset ketara bersihnya (NTA) berada pada paras RM1.31 manakala dividen yang diisytiharkan ialah 1.5 sen.

Prestasi ini agak menghampakan memandangkan pada akhir tahun kewangan lepas, pihak pengurusan memberi petunjuk bahawa syarikat akan mencatatkan prestasi yang lebih baik untuk tempoh tiga tahun akan datang.  (Klik sini untuk posting mengenai Bank Islam tahun lepas).

Perkara yang membimbangkan ialah prestasi pada suku keempat tahun kewangan 2010 menunjukkan kemerosotan, iaitu, daripada 3.89 sen pada tahun kewangan sebelumnya kepada 2.11 pada tahun kewangan semasa.

Berikut adalah carta Bank Islam untuk tempoh 2 tahun lepas:


Dipetik daripada Bursa Station

Walaupun kita tidak boleh membuat perbandingan langsung, prestasi bank-bank lain agak kukuh dan semakin meningkat pada tempoh yang sama, jadi keputusan Bank Islam memang agak menghampakan walaupun keuntungannya lebih kurang sama.

Pada harga penutup RM1.24 hari ini, Bank Islam diperdagangkan pada nisbah harga pendapatan (P/E Ratio) lebih kurang 10, satu angka yang tidak tinggi dan tidak rendah.

Jika prestasi Bank Islam terus mendatar, potensi untuk menjadi saham pertumbuhan memang tiada. Jadi satu-satunya cara untuk mengambil kesempatan daripada sahamnya ialah menerusi dagangan untuk jangka masa lebih pendek.

Jika dilihat daripada graf, kita akan dapati harganya naik turun dengan paras dasar lebih kurang RM1.20 dan paras atas kira-kira RM1.30.  Justeru pelabur boleh ambil kesempatan daripada kedua-dua paras tersebut untuk menentukan bila untuk beli dan bila untuk jual.

Walau apa pun, seperti yang saya katakan berulang kali, gunakan stop-loss jika anda berdagang sebagai langkah untuk menghadkan kerugian jika berlaku kejatuhan ketara indeks pasaran.

26 September, 2010

Kenapa Saya Tak Ambil Pinjaman ASB?

Urus niaga wang atas wang yang diragui sumber dan pelaburannya

Saya pasti soal pinjaman ASB tidak asing bagi para pembaca. Isu-isu mengenai pinjaman ASB banyak dibicarakan di forum kewangan, sehingga hujah tentang manfaatnya sentiasa dipersoalkan.

Tetapi isu yang sering dibincangkan adalah sama ada ia akan memberi untung kepada pelabur. Sebenarnya persoalan yang ditimbulkan sedikit tersasar. Persoalan yang lebih penting ialah adakah ia patuh syariah?

Saya ingin menjelaskan bahawa pinjaman ASB ini berfungsi seperti berikut.  Pertama sekali anda pinjam wang daripada bank, dan kemudian anda laburkan dalam ASB. Setiap bulan anda bayar balik pinjaman, manakala ASB anda akan terus berkembang dengan dividen yang diterima setiap tahun.

Ini adalah satu bentuk arbitraj di mana anda pinjam wang pada kadar yang rendah, sedangkan mendapatkan dividen ASB pada kadar yang lebih tinggi. Pendek kata anda dapat untung 'atas angin'.

Ramai yang mempersoalkan sama ada anda akan meraih untung daripada pelaburan sebegini.  Jawapannya ialah ya, selagi kadar faedah atau untung pinjaman lebih rendah daripada pulangan ASB. Tiada keraguan dalam hal ini.  Malah kalau dalam masa singkat faedah naik lebih tinggi, ada sesetengah bank yang menetapkan had bahawa mereka tidak akan mengenakan faedah lebih tinggi daripada dividen ASB.

Tetapi isunya bukan sama ada boleh dapat untung atau tidak, tetapi adakah ia 'Islamic' atau tidak?  Pada pendapat saya ada beberapa kemusykilan besar:

1.  ASB itu sendiri ada peratusan besar pelaburan tak patuh syariah.
ASB mempunyai kepentingan besar dalam beberapa buah bank tempatan, jadi pada asanya ASB tidak patuh syariah tetapi disebabkan kepentingan umum, Majlis Fatwa telah memutuskan bahawa ASB adalah patuh syariah. Walaupun diragui, ini rasanya masih boleh diterima.

2. Kontrak pinjaman yang digunakan
Kalau guna pinjaman konvensional, memanglah riba namanya.  Tetapi jika guna pinjaman  Islam, pun diragui kerana kontrak yang digunakan ialah Al-Inah, di mana aset yang dijual beli ialah satu 'notional asset' (aset andaian) dan urus niaga membabitkan helah. Di Timur Tengah, kontrak Al-Inah tidak dibenarkan.

3. Urus niaga wang atas wang
Sebenarnya bagaimana anda meraih keuntungan daripada pinjaman ASB?  Adakah anda mengeluarkan apa-apa modal? Tidak. Adakah anda berusaha untuk mendapatkan untung? Tidak. Jadi adakah untung yang anda perolehi halal?  Hanya pakar kewangan Islam (yang benar-benar berpegang kepada prinsip) sahaja yang boleh menjawab. Urus niaga 'money on money' ini dari kaca mata saya nampak seperti satu bentuk riba, tapi ada banyak pendapat lain mengenai perkara ini.

Jadi keraguan yang timbul bukan satu tetapi dalam setiap aspek urus niaga, daripada pinjaman itu sendiri kepada pelaburan yang dibuat. Mungkin keraguan nombor satu itu boleh diterima tetapi yang nombor dua dan tiga adalah agak berat bagi saya.

Walau apa pun, ini satu pendapat sahaja. Terpulang kepada pembaca untuk menilainya.

22 September, 2010

Unit Amanah: Jangan Labur Wang Anda Sekaligus

Lebih baik bahagikan kepada jumlah kecil dan melabur setiap bulan

Mungkin ada di antara anda yang mempunyai wang tabungan di ASB atau Tabung Haji dan bercadang melabur dalam unit amanah ekuiti (unit amanah yang melabur dalam saham) dalam tempoh terdekat selepas diyakinkan oleh ejen unit amanah atau  kerana berpendapat unit amanah berpotensi memberikan anda pulangan lebih tinggi.

Sekiranya anda ingin berbuat demikian, saya amat mengesyorkan agar anda tidak melaburkan semua wang anda secara sekaligus terutamanya dalam keadaan pasaran semasa yang tinggi, kerana hala pergerakan pasaran seterusnya adalah tidak pasti..


Dipetik daripada Bursa Station

Sebagai contoh jika anda ada RM60,000 untuk dilaburkan, anda boleh bahagikan kepada dua belas bulan (60,000/12 = 5000) dan melabur sebanyak RM5,000 setiap bulan. Kaedah ini adalah lebih selamat untuk memastikan anda tidak rugi besar jika pasaran jatuh. Tetapi kalau pasaran naik, anda  tetap boleh meraih untung.

Jika anda mahu melabur satu jumlah besar sekaligus, masa terbaik ialah di tengah-tengah kegawatan, apabila pasaran berada di tahap terendah.  Namun begitu, pada waktu itu pun sukar untuk membuat ramalan, jadi dalam sebarang keadaan, kaedah memecahkan pelaburan kepada jumlah yang lebih kecil adalah langkah yang bijak.

Ramai di antara kita yang sibuk dengan tugas masing-masing dan tidak ada masa untuk memantau pasaran dan juga prestasi syarikat di pasaran saham. Sebab itulah kita melabur dalam unit amanah, iaitu dengan menyerahkan wang kita kepada pengurus profesional.

Tetapi kita perlu sedar bahawa 'bila' kita melabur membawa perbezaan besar.  Seperti yang dilihat dalam carta, jika anda melabur pada pertengahan 2008, sehingga sekarang anda mungkin hanya pulang modal sahaja, walaupun anda melabur dalam dana yang terbaik.

Sebaliknya jika anda melabur pada pertengahan 2009, anda sekarang sudah untung besar, walaupun dana  anda mencatatkan prestasi sederhana sahaja berbanding dana lain.

Ini kerana bagi unit amanah ekuiti, jika pasaran saham jatuh, sesuatu dana kemungkinan besar akan turut sama jatuh walau betapa hebat pengurus dana dan begitu jika pasaran naik, nilai dana juga akan naik.

Untuk mengelakkan pening kepala menentukan 'timing' terbaik, pecahkan pelaburan kepada jumlah lebih kecil dan melabur secara berkala dalam satu tempoh masa yang agak panjang (sekurang-kurangnya setahun).  Dengan cara ini anda, walaupun anda tidak akan mendapat untung tertinggi, sekurang-kurangnya anda dapat mengurangkan risiko anda.  

Nota:
Ceramah Panduan Pelaburan Unit Amanah
Tempat: MPH MidValley
Tarikh : Ahad, 26 September 2010
Masa : 3.00 - 4.00 petang
Ebook 100 rencana kompilasi blog percuma untuk hadirin.

19 September, 2010

Ceramah Pelaburan Unit Amanah

Memilih Unit Amanah Yang Sesuai Dengan Keperluan Anda

Saya akan menyampaikan 'book talk' bertajuk Memilih Unit Amanah Yang Sesuai Dengan Keperluan Anda seperti berikut:


Tempat: MPH MidValley
Tarikh : Ahad, 26 September 2010
Masa : 3.00 - 4.00 petang
Percuma: Ebook 100 rencana kompilasi untuk hadirin

Seperti biasa ceramah ini adalah percuma dan semua pembaca dijemput hadir. Pembentangan kali ini adalah dalam Bahasa Malaysia akan menyentuh topik-topik berikut:

1.  Mengapa Melabur?
2.  Jenis Dana
3.  Harga Dana
4.  Yuran Dana
5.  Pemilihan Dana
6.  Teknik Pembelian
7.  Masa untuk Membeli

Tumpuan akan diberikan kepada pemilihan dana termasuk menentukan toleransi risiko, objektif dan tempoh masa pelaburan anda, memilih jenis dana, membaca prospektus dan menilai syarikat dana, membandingkan prestasi dengan dana lain dan membandingkan prestasi dengan penanda aras.

Saya harap dapat berjumpa dan berkenalan dengan pembaca blog selepas sesi soal jawab..

16 September, 2010

Tumpu Pada Bajet atau Cuba Tambah Pendapatan?

Lebih berbaloi jika kita mengutamakan cara menambah pendapatan

Dalam perancangan kewangan, menyediakan belanjawan atau bajet adalah satu faktor penting. Walaupun begitu, saya berpendapat (pandangan peribadi) kita tidak harus memberi terlalu banyak tumpuan kepada penyediaan dan pematuhan kepada bajet.

Sekiranya anda sedang berhutang, usaha merangka bajet yang teliti dan mematuhinya memang menjadi satu keperluan, kerana dalam jangka pendek, pendapatan anda tetap dan tidak boleh ditambah dengan begitu mudah.



Namun begitu, jika kewangan anda tidak bermasalah dan matlamat anda ialah membina kekayaan, maka bajet anda tidak perlulah terlalu teliti sehingga perlu mencatat semua perbelanjaan anda dan membuat kira-kira setiap bulan.

Sebaliknya perkara paling penting ialah konsep "Pay Yourself First", iaitu keluarkan dulu wang untuk ditabung sebanyak 10% sejurus selepas mendapat gaji. Kalau boleh gunakan arahan tetap untuk melakukannya.

Lepas itu, kita peruntukkan wang bagi perbelanjaan lain sepanjang bulan.  Dengan kaedah ini, anda tidak perlu terlalu berdisiplin kerana simpanan dilakukan secara automatik.


Seterusnya, tumpuan utama harus diberikan kepada cara menambah pendapatan anda.  Pelbagai cara yang boleh dilakukan bergantung kepada sama ada anda makan gaji atau bekerja sendiri.  Antaranya termasuk:

Jika kerja sendiri
1.  Kerja lebih bijak atau keras supaya dapat naik pangkat.
2.  Bertukar syarikat atau kerjaya sekiranya tiada peluang untuk maju.
3.  Mempelajari ilmu baru atau menambah ilmu sedia ada.
4.  Berniaga secara sampingan atau menerusi Internet.
5.  Melaburkan sebahagian daripada wang.

Jika berniaga
6.  Menambahkan hasil pernigaan.
7.. Menambah produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
8.  Membuka perniagaan baru yang lain.
9.  Menambahkan kedai atau cawangan.

Bajet yang baik akan membantu anda mengimbangi perbelanjaan dan pendapatan dalam jangka pendek, tetapi untuk membina kekayaan dalam jangka panjang, tidak ada cara lain kecuali anda menambahkan pendapatan, dan perkara inilah yang patut diberi lebih perhatian.

12 September, 2010

Soalan Mengenai Dividen Saham

Penjelasan mengenai ex-date dan entitlement date

Seorang pembaca mengemukakan soalan berasaskan data di bawah:

4405 TCHONG TAN CHONG MOTOR HOLDINGS BHD
Interim Dividend 12%
Entitlement Details:
Interim Dividend of 12% less income tax
Entitlement Type: Interim Dividend
Entitlement Date and Time: 08/09/2010 05:00 PM
EX Date: 06/09/2010
Payment Date: 28/09/2010 

Berikut adalah soalan dan jawapannya.

Apa bezanya ex-date dgn entitlement date?
Ex-date ialah hari apabila saham diperdagangkan tanpa dividen. Entitlement date ialah tarikh kelayakan terima dividen berasaskan nama dalam daftar pemegang saham. Ini kerana selepas beli, masa diperlukan untuk menukar nama dalam daftar. Bagi pelabur yang ingin mengetahui tentang kelayakan dividen, untuk memudahkan anda, tumpukan perhatian hanya kepada ex-date.

Kalau saya beli saham pada 06/09/2010 pada jam 12.00 tgh, adakah saya akan mendapat dividen?

Berasaskan apa yang saya tahu, selepas ex-date penjual yang dapat dividen, bukan pembeli.

Dan kalau saya jual pada 08/09/2010 4 p.m, adakah saya tidak akan mendapat dividen?
Kalau memang sudah ada saham sebelum 6/9 dan jual pada 8/9, anda akan tetap dapat dividen. Tapi kalau beli selepas 6/9 dan jual pada 8/9, memang tak dapat dividen, sebab anda beli selepas ex-date.

Berikut adalah cara mudah untuk tentukan kelayakan dividen. Beri tumpuan pada ex-date.
- Beli sebelum ex date dapat dividen.
- Beli selepas ex date tak dapat dividen.
- Jual sebelum ex date tak dapat dividen
- Jual selepas ex date dapat dividen

Pada asasnya, jangan bimbang sangat tentang perkara ini kerana kalau beli sebelum ex date, walaupun anda dapat dividen, harga belian lebih tinggi. Sebabnya ialah selepas sahaja ex-date, harga akan jatuh dengan jumlah yang lebih kurang sama (tetapi tidak semestinya sama, kerana ada faktor lain yang mempengaruhi harga saham) dengan nilai dividen yang diberi.

Pendek kata, beli sebelum ex-date ke selepas ex-date atau jual sebelum ex-date atau selepas ex-date, kesannya atau 'net effect' adalah lebih kurang sama.

Akhir sekali, payment date pula ialah tarikh bayaran sebenar dibuat kepada pemegang saham.

09 September, 2010

Situasi Pasaran Hartanah Malaysia

Semakin ramai yang khuatir tentang kenaikan harga ketara


Walaupun bukan pakar dalam bidang hartanah, saya turut memerhatikan perkembangan terkini pasaran hartanah kerana saya sendiri dan saya pasti ramai pembaca blog memiliki rumah atau hartanah sendiri. Malah mungkin ada yang mahu membeli rumah buat pertama kali tetapi mendapati harga telah naik melambung.


Berasaskan artikel di akhbar dan pandangan beberapa pihak yang terlibat dalam hartanah, pasaran tersebut dilihat semakin overvalued di mana hasil sewa atau rental yield semakin rendah kerana jurang besar antara harga hartanah dan juga sewa yang boleh diperolehi.

Antara yang pertama yang memberi amaran tentang pasaran hartanah ialah Azizi Ali, yang ada menulis beberapa buku tentang hartanah. Beliau telah menyuarakan kebimbangan beliau sejak beberapa bulan lepas.  Menurutnya ramai pelabur baru, terutamanya yang telah menyaksikan harga hartanah naik mendadak berfikir amat mudah untuk dapat untung menerusi hartanah.

Namun begitu situasi masa kini tidak nornal dan kenaikan harga ini adalah fenomena luar biasa kerana kadar faedah yang terlalu rendah yang telah dikekalkan oleh Bank Negara untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.  Banyak masalah akan timbul bagi pembeli dan bank jika pasaran hartanah terjejas, terutamanya kerana margin pinjaman tinggi yang dilihat sekarang ini.

Selain itu, baru-baru ini  Malaysian Insider dan juga The Star ada mengulas mengenai pasaran hartanah.  Artikel Malaysian Insider ada menyebut bahawa bagi hartanah mewah, hasil sewa atau rental yield sangat rendah. Selain itu, banyak hartanah mewah yang dilihat ditinggalkan kosong tanpa penghuni. 

Tambahan lagi, kadar kemampuan penduduk untuk membeli hartanah, terutamanya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga semakin rendah disebabkan oleh kenaikan harga. Ini bermakna orang yang mahu membeli rumah perlu membeli rumah lebih jauh dari kawasan bandar.

Rencana the Star pula menyeru agar sesuatu dilakukan untuk mengekang kenaikan kerana jika tidak dikekang dan berlaku 'crash', kesannya mungkin dirasai oleh seluruh ekonomi.

Walaubagaimapun, para pemaju hartanah sudah tertentu tidak setuju dengan pandangan ini, dan mereka berkata harga sekarang adalah berasaskan permintaan dan bekalan semasa, dan harga berpotensi untuk naik lagi.

Saya sendiri tak pasti sama ada perkara yang dibimbangi Azizi Ali dan para penulis rencana di atas akan berlaku dalam tempoh terdekat, kerana situasi bubble ini sebenarnya boleh berterusan selama bertahun-tahun dan adalah sukar untuk menentukan bila pasaran akan jatuh. Lilhat sahaja pasaran hartanah di Amerikan di mana kenaikan harga berlaku selama lebih sedekad sebelum mengalami kejatuhan yang amat teruk.

Walau apa pun, segmen pasaran yang saya rasakan paling terdedah ialah segmen ruang pejabat dan hartanah strata mewah.  Ruang pejabat amat bergantung kepada hasil sewa (kerana rumah sekurang-kurangnya ada orang beli untuk didiami sendiri) dan jika berlaku bekalan berlebihan dan tekanan kepada sewa, segmen ini mungkin paling awal terjejas.

Memang sukar untuk menentukan bila pasaran mencapai tipping point, tetapi yang pasti ialah lebih lama sesuatu 'bubble mengembang' lebih kuat letupannya apabila ia pecah.

_____________

Selamat Hari Raya Aidil Fitri



Saya ingin mengucapkan Salam Aidil Fitri/Eid Mubarak kepada para pembaca blog dan meminta maaf sekiranya terdapat kesilapan atau kesalahan (pasti ada) dalam blog dan juga jika apa yang ditulis ada menyinggung perasaan.  Berhati-hati di jalan raya dan harap bersabarlah kalau ada kesesakan