24 November, 2010

Meninjau Petunjuk Ekonomi Penting

Petunjuk ekonomi tentukan suasana perniagaan

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Bagi saya keadaan ekonomi amat penting dalam menentukan suasana perniagaan sesebuah negara. Jika anda bekerja dalam syarikat atau melabur dalam syarikat, anda sudah tentu prihatin tentang suasana perniagaan.

Petunjuk ekonomi paling penting sudah semestinya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP). Jika anda pernah belajar ekonomi, anda sudah tahu apakah komponennya. Jika tidak, anda boleh membuat pencarian di Internet untuk melihat bagaimana ia dikira.

Secara ringkasnya, KDNK menentukan perkembangan atau penguncupan ekonomi negara. Biasanya KDNK diumumkan secara suku tahunan. Jika KDNK negatif untuk dua suku berturut-turut, seperti pada 2009, maka sesebuah negara dikatakan mengalami kemelesetan.

Dalam keadaan semasa, Malaysia baru sahaja keluar dari kemelesetan, dan KDNK Malaysia dijangka mencapai angka positif pada tahun ini.

Satu lagi petunjuk ekonomi penting ialah kadar faedah. Walaupun kita sebagai pelabur patuh syariah tidak mahu menggunakan kadar faedah sebagai penanda aras, kita terpaksa mengikuti perkembangannya kerana kadar pembiayaan asas juga ditentukan berasaskan overnighy policy rate (OPR) atau kadar dasar semalaman yang ditetapkan oleh BNM.

Jika mahu melonggarkan dasar wang, BNM akan menurunkan kadar faedah. Sebab itulah kadar OPR sekarang amat rendah, kerana BNM mengamalkan dasar yang longgar untuk merangsangkan ekonomi.

Sekiranya berlaku inflasi yang tinggi, maka satu daripada langkah yang boleh diambil oleh BNM ialah menaikkan kadar OPR untuk mengekang inflasi.

Bercakap tentang inflasi pula, sememangnya ia merupakan salah satu lagi pengukur ekonomi yang diwakili oleh indeks harga pengguna. Indeks ini terdiri daripada sekumpulan barangan pengguna yang diberikan pemberat tertentu.

Kadar inflasi melonjak tinggi pada 2008, iaitu semasa berlaku kenaikan ketara harga komoditi. Kada inflasi telah naik melebihi 7% tetapi pada 2009 ia telah kembali menurun ke tahap di bawah 4%.

Dari sudut perniagaan, kadar KDNK yang lebih tinggi umumnya lebih positif bagi perniagaan. Manakala kadar OPR yang rendah lebih positif bagi perniagaan kerana kadar faedah yang rendah menghasilkan kos pembiayaan rendah. Sementara itu kadar inflasi yang rendah umumnya lebih stabil dan baik terutamanya bagi syarikat perniagaan kerana kos pengeluaran dapat dikawal.

Walau apa pun, kesan ekonomi kepada syarikat atau industri anda mungkin berbeza-beza. Sebagai contoh, apabila kenaikan harga komoditi dulu, syarikat ladang kelapa sawit dan industri minyak dan gas mendapat untung besar, sedangkan industri yang bergantung kepada input minyak sawit dan minyak seperti pengeluaran makanan dan penerbangan menghadapi masalah.

Jadi jika anda seorang pelabur, anda boleh gunakan petunjuk ekonomi atau ramalan ekonomi untuk melihat syarikat mana yang dapat memanfaatkan suasana ekonomi yang dijangka berlaku dalam tempoh yang mendatang. Gunakan petunjuk ekonomi sebagai salah satu daripada senjata analisis anda.

Tiada ulasan: