10 November, 2010

Melabur Dalam Komoditi Menerusi Unit Amanah

Cara lebih selamat untuk memanfaatkan kenaikan harga komoditi

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Kita sedia maklum tentang kenaikan harga kebanyakan komoditi termasuk minyak dan minyak sawit, pada tahun 2008. Terdapat beberapa cara untuk memanfaatkan kenaikan harga komoditi sekiranya anda berpendapat harga komoditi akan terus naik pada masa depan, iaitu melibatkan diri dalam pasaran hadapan komoditi, melabur dalam syarikat pengeluar komoditi atau berkaitan dengannya atau melabur dalam unit amanah yang melabur dalam kumpulan syarikat yang terlibat dalam komoditi.


Sebelum ini agak sukar untuk melabur kerana kebanyakan dana yang melabur dalam syarikat sumber semula jadi dan komoditi adalah tidak patuh Syariah. Tetapi pada tahun ini, sudah ada dua dana yang menawarkan pilihan patuh Syariah, iaitu CIMB Islamic Global Commodities Fund dan AmCommodities Equity.


CIMB Islamic Global Commodities Equity

Dana ini melabur dalam saham sektor sumber semula jadi, bahan asas, tenaga, tenaga boleh diperbaharui, logam dan pertanian. Menurut syarikat pengeluar dana, kadar peningkatan penduduk dan industrialisasi yang semakin pesat akan menjana permintaan yang semakin tinggi bagi komoditi. Justeru, dalam jangka panjang harga komoditi dijangka meningkat seiring dengan kenaikan permintaan.

Pelabur juga berpeluang melabur dalam portfolio syarikat yang agak terpelbagai kerana dana ini bukan sahaja melabur dalam syarikat pengeluar komoditi, tetapi juga syarikat yang berada sepanjang rantaian nilai pengeluaran komoditi. Yuran pengurusan tahunan ialah sehingga 1.85% dan yuran jualan maksimum ialah 6.5% (tanya ejen atau syarikat untuk mendapatkan tawaran terkini dan terbaik). Penanda arasnya ialah Dow Jones Emerging Markets. Klik sini untuk membaca atau memuat turun prospektusnya.



AmCommodities Fund

AmCommodities Fund ialah sejenis Feeder Fund yang melabur dalam CAAM Islamic Global Resources ("Dana Sasaran"). Dana Sasaran pula melabur saham komoditi dan berkaitan komoditi di seluruh dunia yang patuh Syariah, dengan tumpuan kepada sektor tenaga dan perlombongan.

Dana ini menggunakan indeks penanda aras berikut: 50% Dow Jones Islamic Market Oil & Gas + 50% Dow jones Islamic Market Basic Materials. Yuran Jualan Dana ini 5% jika dibeli daripada saluran ejen biasa tetapi turut ditawarkan menerusi Fundsupermart.com pada kadar 2% sahaja. Yuran pengurusannya ialah 1.8%. Jika dilihat daripada penanda aras yang digunakan, dana ini didapati mengutamakan sektor minyak dan gas. Klik sini untuk membaca prospektus.

Bila Untuk Melabur?

Adalah sukar untuk menentukan masa yang paling tepat untuk melabur. Maka bagi mengelakkan kesilapan 'timing', saya cadangkan jika anda ada satu jumlah besar, anda pecahkan kepada lima bahagian dan melabur setiap dua bulan. Ini bermakna pelaburan anda tidak terlalu terjejas jika harga komoditi atau saham berkaitan komoditi jatuh dalam tempoh enam bulan akan datang, kerana anda membeli pada harga purata.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk melabur, pastikan ia sebahagian daripada pelaburan lain yang terpelbagai, dan tidak hanya meletakkan semua wang anda dalam dana komoditi, walaupun anda sangat yakin dengan potensinya kerana kita tahu bahawa tidak ada kepastian dalam dunia pelaburan.

Secara kesimpulan, jika anda rasa harga komoditi akan terus naik pada masa depan, dan anda ingin mengambil kesempatan daripadanya, dua dana patuh syariah ini memberikan cara yang mudah dan terpelbagai untuk melakukannya, dengan risiko yang lebih rendah berbanding melibatkan diri secara langsung dalam pasaran hadapan komoditi atau pasaran saham.

Nota: Maklumat lanjut mengenai feeder fund dan unit amanah secara umumnya boleh didapati dalam buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

Tiada ulasan: