Pengerusi Templeton Asset Management yakin terhadap Malaysia
Mark Mobius adalah antara tokoh pertama yang membuatkan saya tertarik untuk melabur menerusi bukunya, Passport to Profits. Walaupun diterbitkan lebih 10 tahun lepas, buku ini masih amat relevan kepada pelabur yang ingin berjaya dalam bidang pelaburan di rantau ini.
Siapakah Mark Mobius? Beliau adalah pengerusi eksekutif Templeton Asset Management, Ltd. Pada masa ini, beliau menerajui pasukan penyelidikan Templeton yang berpangkalan di 15 pejabat negara-negara sedang membangun. Beliau telah menulis beberapa buah buku termasuk “Trading with China,” “The Investor’s Guide to Emerging Markets,” “Mobius on Emerging Markets,” “Passport to Profits,” “Equities—An Introduction to the Core Concepts,” “Mutual Funds—An Introduction to the Core Concepts” dan “Mark Mobius: An Illustrated Biography.”
Bezanya Mark Mobius dengan pelabur terkemuka lain yang sering menjadi ikutan ialah beliau memang pakar tentang pasaran sedang membangun, termasuklah Malaysia dan merupakan pelabur global dan serantau yang sememangnya fasih dengan keadaan di sini. Justeru pandangannya harus diberi perhatian kerana sudah lama terlibat di Asia.
Baru-baru ini, syarikatnya telah membuka operasi penuh di Malaysia dan satu majlis telah diadakan di mana beliau berkongsi pandangannya tentang pasaran Malaysia.
Menurut Mobius, di pasaran Malaysia sektor barangan pengguna dan komoditi dijangka amat kukuh. Selain itu, beliau berpendapat Ringgit Malaysia akan terus naik berbanding Dolar Amerika.
Mobius juga akan melibatkan diri dalam pelaburan patuh Syariah. Malaysia mempunyai bilangan dana Syariah terbesar di dunia dan beliau yakin Malaysia akan mencapai matlamatnya untuk menjadi pusat kewangan Islam dunia.
Menurutnya, banyak wang sedang disalurkan kepada pasaran sedang membangun kerana di sinilah pelabur berpendapat pulangan setimpal dapat diraih memandangkan prospek kurang cerah negara-negara maju sekarang ini.
Mobius berpendapat pasaran sedang menaik (bull market) boleh kekal beberapa tahun lagi, kerana kemelesetan baru sahaja berlaku dua tahun lepas. Dalam pasaran sebegini, mungkin peningkatan luar biasa berlaku.. Menurutnya, wang kini disalurkan bukan menerusi bank, seperti yang berlaku pada tahun 1993, tetapi kepada pasaran ekuiti.
Pandangan Mark Mobius harus diberi perhatian kerana beliau pakar dalam pasaran sedang membangun. Namun begitu, ia harus diimbangi dengan sikap berhati-hati dan waspada tentang ketidakseimbangan yang wujud dalam ekonomi global buat masa ini.
2 ulasan:
saudara razali,
saya ingin bertanya sedikit kepada saudara. jika saya ingin melabur atau membeli saham di pasaran luar seperti india atau australia (dan mungkin brazil) contohnya, bagaimanakah saya dapat melakukannya sedangkan broker2 di malaysia hanya menyediakan kemudahan utk pasaran as,hk dan singapura. diharap saudara dpt memberikan sedikit petunjuk. terima kasih.
Salam,
Maaf lambat jawab sebab saya ke luar negara selama 1 1/2 bulan.
Memang betul, setahu saya broker-broker kita tawarkan hanya pasaran tersebut sahaja....tetapi jika belum dapat maklumat lagi ((sebab dah lama tak dijawab soalan ini...:)..cuba tanya Affin atau Philip Capital. Saya rasa pilihan Affin lebih luas manakala Philip Capital membenarkan pelanggan membuka akaun menerusi pejabatnya di Singapura untuk berdagang saham banyak negara.
Itu sahaja maklumat yang saya ada, kerana saya sendiri lebih mengkhusus kepada Malaysia.
Catat Ulasan