01 Mac, 2009

Bolehkah Kita Beli Saham Sekarang?

Hanya Beli Jika Pegang Untuk Jangka Panjang

Setiap hari kita disajikan dengan berita tentang kesan kemelesetan ekonomi. Salah satu daripadanya ialah ialah kejatuhan harga saham. Indeks komposit memang telah menyusut dari tahap tertinggi pada paras 1,400-1500 kepada tahap 800 - 900.

Memandangkan situasi semasa, ramai orang lebih memikirkan soal survival daripada melabur. Tetapi bagi mereka yang sudah menyediakan payung sebelum hujan dan memang ada menabung dana tambahan semata-mata untuk melabur dalam keadaan krisis seperti ini (kerana sedar bahawa kekayaan paling besar biasanya dijana dalam keadaan krisis), anda mungkin tertanya-tanya bila masa paling sesuai untuk melabur.

Sebenarnya tiada siapa yang boleh meramalkan tahap terendah atau tertinggi pasaran atau turun naik pasaran dalam jangka pendek, walaupun pelabur tersohor di dunia, Warren Buffet. Pelabur terkemuka dari Omaha ini memang menanti sahaja situasi seperti ini untuk membeli saham pada harga yang rendah. Tetapi sejak krisis bermula, beliau telah mula membeli dan menyaksikan nilai saham atau kepentingan yang dibelinya jatuh dengan ketara.

Namun Warren Buffet tidak kisah nilai sahamnya jatuh. Ini kerana beliau memegang untuk tempoh yang sangat panjang. Ada saham dipegang lebih 20 tahun. Justeru kalau nilai saham jatuh 1 atau 2 tahun, beliau tidak kisah. Malah, jika diimbas kembali rekodnya, antara saham yang dipegangya pernah jatuh sehingga 50% sebelum naik kembali dan menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda.

Justeru kita kembali kepada persoalan yang menjadi topik posting kali ini, iaitu bolehkah kita beli saham sekarang? Jawapannya ialah tentu boleh, malah beli sekarang lebih baik daripada beli semasa ekonomi masih kukuh pada akhir 2007 - awal 2008. Ini kerana jika anda membeli pada waktu itu, anda pasti rugi besar.

Namun begitu nasihat ini hanya berguna untuk pelabur jangka panjang yang sanggup memegang saham untuk tempoh sekurang-kurangya 3 tahun atau sebaik-baiknya 5 tahun. Jika anda membeli syarikat yang kukuh prestasinya, tetapi rendah harga sahamnya akibat tempias kegawatan, anda berpeluang meraih keuntungan lebih tinggi daripada kelas aset lain dalam tempoh yang sama. Tetapi pemilihan saham amat penting. Jika anda tidak pandai atau malas memilih saham, anda boleh membeli ETF atau Unit Amanah yang melabur dalam ekuiti (tetapi perlu kaji dengan teliti prestasi pengurus dananya)

Dalam jangka pendek tiada siapa yang tahu apa akan berlaku. Saham syarikat yang baik pun boleh jatuh akibat faktor di luar kawalan. Walau apa pun, saya rasa anda tidak perlu terburu-buru kerana 'window of opportunity' akan terbuka sepanjang tahun memandangkan kemelesetan ekonomi agak serius. Jika anda membuat keputusan melabur sekarang, pastikan anda membuat kajian teliti sebelum memilih saham atau unit amanah dan memegangnya untuk jangka panjang.

3 ulasan:

zaidi berkata...

main saham knm ok tak,dah murah 37sen je,syarikat ni ok kot

Tanpa Nama berkata...

En. Boleh saya tahu saham apa dan dana apa yang terbaik buat masa nie, kalau boleh islamic lah. Thank u. Kalau ada maklumat mail kat saya boleh. nna.fatin.irfan@gmail.com

Unknown berkata...

Salam Zaidi dan Fatin,

Terima kasih kerana singgah.

Zaidi, sebenarnya istilah main saham lebih merujuk kepada spekulasi dan pelaburan jangka pendek sedangkan laman ini lebih menjurus kepada pelaburan jangka panjang. Walau apa pun, mengenai KNM, ramai penganalisis suka saham ini kerana berjaya mencatat untung walaupun dalam keadaan sukar, tetapi harga minyak telah turun menyebabkan harganya pun merosot secara seiring dengan kejatuhan harga minyak. Ini kerana penurunan harga minyak dijangka menjejaskan perniagaannya. Pada pandangan pertama, sebagai pelaburan jangka panjang, nampak ok...tapi harganya akan berkait rapat dengan harga minyak.

Fatin, minta maaf banyak-banyak kerana tidak dapat memberikan tips saham secara individu. Tetapi, saya ada membuat ulasan mengenai saham dan ETF tertentu, dan cara untuk meninjau prestasi dana. Cuba klik pada kategori "Pelaburan". Saya juga akan membuat ulasan mengenai saham-saham lain dalam posting pada masa depan.