18 Mac, 2009

Menilai Keupayaan Syarikat

Selain Kewangan, Faktor Kualitatif Juga Amat Penting

Ramai yang berpendapat analisis sesuatu syarikat membabitkan prestasi kewangan dan kedudukan perakaunannya. Walaupun kedudukan kewangan penting, tetapi segala laporan kewangan adalah laporan masa lalu. Namun begitu, harga saham syarikat pada masa depan tidak akan ditentukan oleh prestasi masa lalu, tetapi prestasi masa depannya.

Untuk menentukan prestasi masa depan, kita perlu menggunakan analisis kewangan dan juga analisis kualitatif, termasuk meninjau operasi, produk dan pengurusan syarikat. Antara faktor yang sepatutnya diberi perhatian termasuk perkara berikut:

1) Produk dan Perkhidmatan Syarikat
Kita perlu meninjau produk-produk syarikat dan melihat sama ada produk ini mendapat sambutan daripada pelanggan. Prestasi dan kelarisan produk atau perkhidmatan syarikat memainkan peranan penting untuk menentukan prestasi untung syarikat.

2) Jenama
Jenama produk atau syarikat juga penting. Jenama ialah aset penting yang tidak terdapat dalam akaun tetapi sebenarnya amat berharga. Jenama memberikan identiti dan kredibiliti kepada produk syarikat, selain daripada kepercayaan pelanggan. Tetapi kita juga perlu membezakan jenama yang mantap dengan jenama yang kurang diyakini.

3) Kuasa Pasaran
Adakah syarikat mampu menetapkan harga sendiri atau harga produknya ditentukan oleh pasaran terbuka. Jika syarikat hanya price-taker, kemungkinan besar syarikat mengeluarkan barangan komoditi, dan kita perlu meninjau harga komoditi untuk menentukan prestasi syarikat. Kalau harga komoditi rendah, amat sukar bagi syarikat mencatatkan prestasi yang baik.

4) Kuasa Ke Atas Pembekal Input
Adakah syarikat mempunyai kuasa ke atas pembekalnya atau syarikat hanya menerima sahaja harga pasaran. Sebagai contoh, syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah terjejas teruk apabila harga minyak kelapa sawit naik.

5) Pengurusan
Pengurusan ialah satu lagi faktor yang amat penting. Pengurusan yang baik akan sentiasa berhubung dan berterus-terang dengan pelabur dalam keadaan susah dan senang. Tinjau siaran akhbar yang dikeluarkan syarikat, kalau banyak unsur putar-belit dan terlalu menekankan yang positif, kita patut berwaspada dengan mereka. Sebagai contoh jika perolehan meningkat tetapi syarikat mencatatkan kerugian, kita perlu berwaspada jika 'headline' siaran akhbar menyebut perolehan meningkat. Sepatutnya syarikat berterus-terang dan menekankan bahawa syarikat mengalami kerugian.

Kebanyakan maklumat di atas boleh didapati menerusi Internet, sama ada di laman web Bursa Malaysia, laman web syarikat atau laman web akhbar harian dan kewangan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aspek pengurusan yang telus memang amat penting. Kejayaan atau kegagalan sesebuah syarikat bergantung pada keikhlasan dan kebijaksanaan pengurusan pihak atasan terutamanya.

Tanpa Nama berkata...

betul tu,
banyak sangat info yg menarik abg razali kongsikan yer terima kasih yer abg razali... :) fahmi ambik yer ilmu2 ni... hehehehe tq

Unknown berkata...

Salam,

Info dalam blog ni memang untuk dikongsi. Ada info lebih terperinci saya jual (dalam bentuk buku) untuk mereka yang memerlukan maklumat lanjut.

Terima kasih kerana terus melawat blog ni