Sentiasa Memperbaiki Diri Untuk Terus Maju
Pada hari ini, saya akan menambah satu kategori baru dalam blog saya iaitu Kaizan. Kaizen ialah perkataan Jepun yang diterjemahkan sebagai 'continuous improvement' atau 'peningkatkan berterusan'. Konsep ini sering diguna pakai dalam suasana perindustrian atau perkilangan. Namun ia amat relevan dan boleh diaplikasi dalam kehidupan harian.
Mengamalkan kaizen dalam kehidupan bermakna kita cuba memperbaiki diri setiap hari dalam segenap aspek hidup, tidak kiralah dari segi hubungan, ibadah, kerohanian, kebijaksanaan, pekerjaan, perniagaan, kesihatan dan juga lain-lain bidang yang berkaitan. Kaizen juga ada disebutkan oleh pakar motivasi terkenal, Anthony Robbins tetapi beliau menggelarnya Continuous and Neverending Improvement (CANI)
Topik ini amat relevan dalam dunia hari ini, di mana kita dibelenggu ketidaktentuan, sama ada ketidaktentuan politik, ketidakpastian tentang kerja, tidak tahu sama ada perniagaan boleh 'survive' dalam tempoh gawat ini atau ketidakpastian tentang nilai aset kita.
Kaizen tidak semestinya peningkatan besar yang dilaksanakan sekaligus, tetapi peningkatan sedikit demi sedikit yang secara kumulatif akan memberikan kesan besar kepada kepada keupayaan, kemahiran dan kewibawaan kita sehingga membawa peningkatan yang ketara dalam tempoh masa tertentu.
Saya rasa konsep ini amat relevan dalam segenap bidang, tidak kiralah sama ada anda bekerja di sebuah kilang, di pejabat, dalam sektor kerajaan, pendidikan atau dalam perniagaan sendiri. Bagi saya Kaizen boleh diamalkan pada segenap peringkat usia. Walaupun tumbesaran fizikal kita mungkin berhenti apabila meningkat dewasa, pertumbuhan minda dan kemahiran kita boleh dan sepatutnya diteruskan sepanjang hayat.
Seseorang yang mengamalkan Kaizen boleh menjadi pakar yang terkemuka dalam bidangnya jika beliau terus meningkatkan diri secara berterusan, tidak kiralah di mana beliau bermula dan berapa rendah tahap pengajiannya. Bakat dan keupayaan semula jadi boleh membantu, tetapi akhirnya kemampuan untuk terus meningkat maju dan memperbaiki diri akan menentukan kejayaan.
Nota Tambahan: 6 Ogos 2009 - Kategori Kaizen Ditukar Kepada Muhasabah
3 ulasan:
Saya percaya ia hampir sama dengan konsep muhasabah dalam Islam, yang mementingkan kesempurnaan bukan sahaja fizikal, tetapi juga rohani dan pemikiran.
Istiqomah-salah satu sifat mulia untuk sentiasa mempertingkatkan kualiti.
Salam sukses,
Hidup memang perlu sentiasa penambahbaikkan,setiap hari yg mendatang kita pasti berharap kita menjadi semakin baik dari hari semalam,insya-Allah :)
http://blogahmadtarmizi-miji.blogspot.com/
Catat Ulasan