25 Mac, 2009

Lanjutkan Pengajian Untuk Tingkatkan Keupayaan

Jangan Sambung Belajar Untuk Kelayakan Kertas Semata-Mata

Beberapa bulan lepas, saya terbaca cerita di akhbar mengenai aduan segelintir penuntut matang yang mengambil diploma eksekutif daripada UMCCED (Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya). Mereka tidak puas hati kerana diploma mereka tidak diiktiraf Perkhidmatan Awam. Pihak universiti pula menjawab ini merupakan diploma 'eksekutif' yang bertujuan menambah kemahiran, dan ia diterima oleh sektor swasta.

Pada pendapat saya, apabila kita mengambil kursus di sebuah Pusat Pendidikan Berterusan, matlamatnya ialah untuk meningkatkan kemahiran, bukan mendapat sijil semata-mata. Walaupun pengiktirafan daripada majikan penting, sepatutnya sebab utama kita melanjutkan pengajian ialah untuk menambahkan kemahiran, ilmu dan keupayaan kita supaya kita dapat mencatatkan prestasi lebih baik dalam tugas. Apabila prestasi kita lebih baik dan menyebabkan prestasi majikan meningkat, sama ada dengan menjimatkan kos atau menambah keuntungan, barulah kita diiktiraf dan pangkat atau gaji kita dinaikkan.

Mungkin dulu, apabila kita mendapat ijazah lanjutan seperti Ijazah Sarjana (Masters) atau PhD, kita secara automatik dinaikkan ke gred lebih tinggi. Mungkin ini masih relevan di dalam dunia akademik, kerana tahap kelayakan itu sedikit sebanyak mencerminkan prestasi akademik seseorang dan harus diiiktiraf menerusi pangkat dan gajinya.

Namun dalam sektor swasta, kenaikan tidak akan berlaku secara automatik. Kelayakan lanjutan yang diterima hanyalah sebagai tanda bahawa anda telah lulus kursus yang anda ikuti, dan anda layak memaparkannya dalam resume anda. Namun sama ada anda dinaikkan pangkat atau menerima gaji lebih besar bergantung semata-mata kepada prestasi anda dan manfaat anda kepada majikan.

Cuba kita lihat dari perspektif lain. Jika anda seorang usahawan atau peniaga, dan anda melanjutkan pengajian atau mengambil kursus untuk mengembangkan perniagaan anda, tujuan utama anda belajar ialah untuk meningkatkan kemahiran supaya anda boleh memajukan lagi perniagaan. Tetapi selepas anda habis belajar, tidak semestinya perniagaan anda bertambah maju. Semuanya bergantung kepada ilmu yang anda pelajari dan bagaimana anda mengamalkannya.

Justeru, pada pandangan saya apabila kita mengikuti sesuatu kursus atau melanjutkan pengajian, matlamat utama kita sepatutnya untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan diri kita sendiri supaya kita boleh mencatatkan prestasi yang lebih baik. Jika prestasi kita meningkat, barulah pangkat atau gaji lebih tinggi akan menyusul. Sijil yang diterima hanyalah lambang semata-mata, selain daripada cantik dijadikan perhiasan dinding. Tidak lebih daripada itu. Paling penting ialah ilmu yang ditimba bukan ijazah yang diterima.

Tiada ulasan: