Pada Ogos 2 ini, jika kedua-dua parti di Amerika, iaitu Republican dan Democrat tidak dapat mencapai kata sepakat untuk meningkatkan had hutang, AS mungkin tidak mampu membayar beberapa tanggungannya.
Sebenarnya kemelut ini berlaku kerana AS mempunyai had hutang yang ditetapkan dan hutang AS telah mencapai paras tersebut pada tahun ini. Untuk makluman, jumlah hutang US buat masa ini adalah berjumlah lebih $14 trilion
Dipetik daripada Wikimedia
Sebelum ini, apabila hutang Amerika mencapai had yang ditetapkan, Kongres dan Senat AS tiada masalah menaikkan hadnya. Cuma kali ini berlaku pertikaian kerana mungkin mereka bimbang bahawa parasnya sudah terlalu tinggi dan perlu dikekang.
Suka atau tidak, kita perlu memberi perhatian terhadap situasi di sana kerana jika tidak diselesaikan, pasaran mungkin bergolak, tetapi jika penyelesaian dapat dicari, kemungkinan Dow Jones akan naik dalam jangka pendek, dan membawa kelegaan kepada pasaran di seluruh dunia.
Kedua-dua pihak hampir pasti mencari jalan penyelesaian kerana kesan kegagalan pembayaran AS adalah amat besar kepada negara tersebut dan juga dunia.
Walau apa pun, kedudukan AS agak goyah dengan pertumbuhan ekonomi hanya 0.4% pada suku pertama dan 1.3% pada suku kedua. Selain itu, walaupun jika penyelesaian diperolehi, mungkin satu atau dua agensi penarafan akan menurunkan taraf hutang AS daripada AAA kepada AA.
Walau apa pun, kita tunggu dan lihat apa yang berlaku. Jika penyelesaian dapat dicapai, ekonomi AS tetap akan menghadapi masalah kerana kadar pengangguran yang tinggi, keadaan kewangan beberapa negeri yang goyah dan juga pertumbuhan ekonomi yang lemah.
Cuma sektor korporatnya nampak masih kukuh kerana kebanyakan syarikat beroperasi secara global. Justeru adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan, sehinggalah segalanya terungkai pada minggu depan.
Terbaru: Pada pagi ini (1 Ogos) persetujuan telah dicapai untuk menaikkan had hutang tersebut. Dalam jangka pendek pasaran sudah tentu akan menunjukkan reaksi positif terhadap berita ini.
Terbaru 2: Namun begitu, sambutan positif hanya pada hari pertama di Asia, dan di AS hanya untuk sesi pertama dagangan sahaja kerana ramai yang bimbang bahawa usaha mengurangkan hutang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam keadaan semasa di mana pertumbuhan amat perlahan.
Nota: Saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada para pembaca.
2 ulasan:
good info..nak share article ni boleh??
Boleh...takda masalah
Terima kasih
Catat Ulasan