12 Julai, 2011

Lebih Baik Elak Daripada Mengkritik

Tidak efektif jika pihak lain rasa tercabar dan tersinggung

Dulu semasa saya mengikuti kursus MBA, dalam setiap kelas pelajar perlu membuat pembentangan dari masa ke masa.  Selepas pembentangan, pelajar lain diminta mengemukakan soalan dan mengajukan kritikan.

Pada peringkat awal, saya sering tunjuk pandai dan mengajukan beberapa soalan tajam dan memaparkan kesilapan yang dibuat oleh penyampai.  Namun begitu, saya dapati ini kurang disenangi, lebih-lebih lagi kerana yang terpaksa menjawab kawan sendiri.

Malah pengalaman dalam beberapa situasi lain, semasa bekerja dan juga berasaskan pemerhatian, saya dapati kritikan, terutamanya yang dibuat di khalayak ramai, walaupun tepat, adalah membuang masa dan menimbulkan kemarahan sahaja.

Ini kerana anda akan membuatkan pihak yang dikritik  bersifat 'defensive' dan mereka enggan menerima pandangan anda walaupun anda betul.

Cuba fikirkan, apa faedah yang anda dapat daripada kritikan tersebut, melainkan memulakan perbalahan yang tiada penghujungnya. Masing-masing akan mempertahankan kedudukan mereka.

Begitu juga kemelut politik yang dilihat sekarang, bagi sebahagian besar daripada orang, apa yang dilakukan oleh pihak yang lagi satu adalah salah.  Buang masa mengkritik satu sama lain. 

Pada pendapat saya lebih baik luangkan masa mencari kebaikan orang lain. Bukan sahaja ini akan membolehkan anda mendapat lebih ramai kenalan, sebaliknya mereka ini mungkin sanggup mendengar pandangan anda apabila anda perlu memberikan maklum balas kepada mereka.

Mengelakkan diri daripada mengkritik ialah sesuatu yang sukar dilakukan. Ini adalah satu cabaran besar bagi diri saya dan saya pasti juga bagi ramai di kalangan anda.

Tetapi persoalannya apalah gunanya kita betul dan menunjukkan yang kita betul sedangkan kita membuatkan orang marah kepada kita.

Masapaling sesuai untuk mengkritik apabila orang lain meminta maklum balas jujur daripada kita.  Kalau pandangan kita tidak diminta, lebih baik diam sahaja...:)

Tiada ulasan: