03 Julai, 2011

Cara Terbaik Jadi Jutawan Ialah Tambah Pendapatan

Cari jalan tingkatkan aliran wang, bukan terlalu obses rancang kewangan

Terdapat banyak buku tentang perancangan kewangan dan banyak nasihat yang diberikan tentangnya. Malah buku saya, Panduan Bijak Melabur, juga dimulakan dengan topik perancangan kewangan.

Tetapi kita perlu ingat bahawa perancangan hanya berkesan jika ada wang untuk dirancang. Seorang berpendapatan RM20,000 sebulan yang boros dan tidak pandai merancang kewangannya kemungkinan besar masih jauh lebih kaya daripada seorang berpendapatan RM2,000 yang bijak menabung dan melabur.

Inilah hakikatnya dalam usaha kita dalam usaha mencapai kebebasan kewangan.  Perkara paling penting ialah tahap pendapatan anda.

Jadi masa anda hendaklah ditumpukan ke arah ini. Sebagai contoh jika anda seorang pekerja yang makan gaji, tumpuan anda adalah:

1.  Cara untuk memanjat tangga kerjaya dalam syarikat.
2.  Meneroka peluang lain yang ada dengan syarikat lain.
3.  Meningkatkan kemahiran supaya berpeluang naik gaji
4.  Mempelajari kemahiran baru supaya lebih dihargai

Jika dilihat senarai di atas, saya menyebut kemahiran atau skills bukannya kelayakan kertas seperti Masters atau PhD (melainkan kerjaya anda dalam bidang akademik).

Ini kerana pada pandangan saya kemahiran khusus sekarang jauh lebih dihargai daripada apa-apa ijazah tambahan yang mungkin anda perolehi.

Jika anda usahawan. Antara perkara yang patut ditumpukan termasuk:

1.  Meningkatkan keuntungan syarikat
2.  Mencari sumber hasil baru
3.  Mengembangkan perniagaan ke bidang berkaitan
4.  Memperbaiki pemasaran untuk menambahkan hasil

Sudah tentulah perancangan kewangan boleh membantu.  Dengan perancangan anda boleh membina kewangan secara beransur-ansur sehingga anda dapat hidup selesa.

Tetapi jika anda mahu mencapai kebebasan kewangan dan bermain di liga teratas, anda perlu menambah pendapatan supaya ada lebih banyak wang untuk dirancang.

Selain itu jika pendapatan meningkat, kita boleh bayar lebih zakat.  Luangkan masa untuk merancang kewangan tetapi fokus utama anda seharusnya terhadap usaha mencari jalan menambah pendapatan.

Tiada ulasan: