22 Julai, 2011

Pelbagai Risiko Tapi Kenapa Saham Terus Naik?

Masalah setakat ini terhad kepada hutang kerajaan, bukan korporat

Majalah Personal Money keluaran Julai 2011 bertajuk "Monstrous Risks in 2H2011" atau Risiko Besar pada Separuh Kedua 2011. Beberapa penganalisis meramalkan risiko besar pada separuh kedua tahun ini.

Tetapi jika kita lihat indeks Dow Jones di Amerika dan juga Indeks Komposit Kuala Lumpur, kita dapati bahawa indeks berada di paras yang agak tinggi, malah bagi FBM KLCI, baru-baru ini mencecah paras tertinggi dalam sejarah.

Bagaimana risiko dikatakan tinggi sedangkan pasaran saham terus naik? Mingkinkah kita memasuki zon 'bubble'?

Pertama sekali kita perlu lihat bahawa risiko yang dimaksudkan ialah kepada hutang Kerajaan.  Ada dua risiko utama, iaitu Eropah, di mana Greece sudah hampir ke tahap gagal membayar hutang, manakala Ireland, Italy, Potugal dan Sepanyol juga menghadapi masalah besar.

Kedua ialah Amerika Syarikat telah mencapai had bagi paras hutang yang boleh diambil, dan dua parti utama iaitu Democrat dan Republican, bertelagah tentang cara untuk meningkatkan had hutang tersebut, sambil mengurangkan jumlah defisit pada masa depan.

Tarikh akhir ialah Ogos 2 dan jika masalah ini tidak diselesaikan, mungkin Amerika Syarikat menghadapi masalah pembayaran sekuriti hutangnya dan oleh kerana banyak negara dan entiti memegang bon kerajaan Amerika Syarikat, maka kesannya mungkin dirasai di seluruh dunia.

Walau apa pun, senario terburuk dalam kes kedua mungkin tidak akan berlaku kerana kedua-dua pihak tahu bahawa jika dibiarkan begitu sahaja, Amerika Syarikat dan seluruh dunia mungkin merasai kesannya.

Sebaliknya dari sudut positif, prestasi korporat Syarikat di Amerika tetap kukuh dengan sesetengahnya seperti Apple mencatatkan prestasi cemerlang.

China juga tetap mantap walaupun pertumbuhannya sedikit perlahan kebekalangan ini.  Memandangkan aktiviti syarikat korporat Amerika dan juga China menjadi pemacu utama ekonomi dunia, kesan daripada krisis di Eropah tidak dirasai di Asia.

Kejutan atau shock hanya akan timbul jika kemelut hutang di Amerika Syarikat tidak dapat diselesaikan. Kegagalan membayar dan penurunan penarafan hutang Amerika mampu menggegar dunia.

Masalahnya ialah amat sukar untuk meninjau terlalu jauh ke masa depan. Ada kemungkinan kemelut had hutang di Amerika Syarikat dapat diselesaikan dan satu lagi pusingan rangsangan ekonomi dibuat, yang hanya akan melengahkan lagi 'judgement day', tetapi akan menaikkan harga saham dalam tempoh terdekat.

Pendek kata terus berada di pasaran kerana siapa tahu pasaran saham atau saham anda mungkin naik lagi ke paras rekod tetapi sentiasa ikuti perkembangan terkini untuk memastikan anda bersedia untuk mengatur langkah pantas sekiranya berlaku kejutan.

Tiada ulasan: