03 April, 2011

Apakah Maksud Saham Bertahan?

Saham bertahan biasanya disyorkan dalam keadaan tidak menentu

Setiap kali kita memasuki fasa ketidakpastian dunia, kita akan mendengar pakar-pakar saham di akhbar mencadangkan saham bertahan atau defensive stocks.  Apakah sebenarnya saham bertahan?

Saham bertahan ialah saham yang tidak begitu terjejas jika pasaran saham jatuh atau mengalami fasa tidak menentu. Tetapi seperti yang diduga, apabila pasaran 'hot', saham ini pula kurang diberi perhatian kerana kenaikannya lebih lambat dan tidak 'hangat' seperti saham yang pantas berkembang.

Saham bertaham lazimnya membayar tahap dividen tinggi (sebab itu harganya dapat bertahan).  Selain itu syarikat terlibat dalam industri di mana pelanggannya perlu tetap membeli produk walaupun dalam keadaan ekonomi gawat.

Biasanya saham bertahan boleh ditemui dalam sektor barangan pengguna, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal dan telekomunikasi.

Kita sedia maklum bahawa barangan pengguna dan produk kesihatan tetap perlu dibeli oleh pengguna dalam apa jua keadaan pasaran. Sebab itulah kedudukan syarikat yang mengeluarkan barangan ini tidak begitu terjejas dalam ekonomi gawat.

Satu saham bertahan yang pernah saya sebutkan ialah Apex Healhcare.  Kita lihat prestasi Apex Healthcare berbanding indeks komposit:

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa apabila indeks jatuh, saham ini naik, sebaliknya apabila pasaran secara keseluruhan naik dengan ketara pada tahun lepas, Apex Healthcare hanya mendatar.  Itulah satu sifat saham bertahan, iaitu ia mempunyai tahap korelasi rendah dengan indeks pasaran.

Tetapi pelabur tidak harus terlalu terpengaruh dengan ulasan-ulasan di media.  Masukkan saham bertahan sebagai sebahagian daripada portfolio anda, tetapi jangan pula terikut-ikut nasihat 'bermusim'.  Bila anda mula mendengar pakar sibuk menceritakan tentang saham bertahan, memang mereka betul, tetapi tindakan sepatutnya diambil dua tiga bulan dulu, sebelum ketidaktentuan berlaku..

Sentiasa fikirkan senario yang mungkin wujud dan sesuaikan saham mengikut senario tersebut, tetapi pastikan ada saham  lain yang boleh dimanfaatkan kalau senario unjuran utama anda tidak berlaku.

Tiada ulasan: