10 April, 2011

Bagaimana Kalau BNM Naikkan Kadar Faedah?

Kos hutang akan bertambah, bekalan wang pula akan dikekang

Pada awal bulan ini, Bank Pusat Eropah (ECB) telah menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25% kepada 1.25%. Malah ECB dijangka meningkatkan lagi kadar kepada 1.50% pada bulan Julai.

Bank Pusat China juga telah menaikkan kadar sejak tahun lepas manakala Bank Negara Malaysia (BNM)  baru-baru ini menambah SRR (Keperluan Rizab Berkanun) kepada 2.0% daripada 1.0%, tetapi telah mengekalkan OPR (Kadar Dasar Semalaman) pada 2.75%.  Walau apa pun, ramai yang menjangka kadar OPR akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

Mengapa naikkan kadar?

Sebenarnya dunia kini sedang menghadapi masalah inflasi, terutamanya kenaikan harga komoditi, logam berharga dan bahan mentah yang agak tinggi. Antara sebab kenaikan harga  berlaku ialah kerana permintaan lebih tinggi dan juga bekalan wang yang berlebihan dalam sistem kewangan dunia.

Bekalan wang berlebihan wujud kerana dalam tempoh beberapa tahun lepas, kadar faedah hampir di seluruh dunia berada pada tahap rendah. Apabila kadar faedah rendah, ini bermakna kos dana adalah rendah dan terdapat banyak wang dalam edaran.

Wang berlebihan ini akan mencari aset untuk dilaburkan, meningkatkan permintaan bagi aset dan pelaburan, seterusnya, lantas mendorong kenaikan harga.

Salah satu sebab mengapa emas telah naik dengan ketara sejak beberapa tahun lepas adalah kerana ramai orang yakin terhadap keupayaan emas untuk mengekalkan nilai berbanding wang, lebih-lebih lagi dengan dasar wang longgar yang menyebabkan lebih banyak wang dicetak.

Kadar faedah terpaksa dikekalkan pada tahap rendah sejak dua tiga tahun lepas kerana dunia mengalami kemelesetan ketara. Untuk menjana kegiatan ekonomi, kadar faedah diturunkan bagi menggalakkan pelaburan dan bukannya simpanan.

Tapi kesannya ialah kenaikan harga barang dan juga hartanah (kerana kos pembiayaan yang murah).  Justeru Bank Pusat terpaksa mengimbangi antara matlamat mengembangkan ekonomi dan mengawal inflasi.

Apabila kadar faedah naik, sudah tentulah ramai di antara kita terasa kesannya kerana kebanyakan kita ada mengambil pembiayaan, terutamanya pembiayaan perumahan, dengan kadar faedah (konvensional), keuntungan (BBA) atau sewa (musyarakah mutanaqisah) yang berubah.

Selain daripada itu, kos pembiayaan lebih tinggi boleh menyebabkan golongan tertentu tidak layak membuat pembiayaan kerana ansuran lebih tinggi.

Syarikat perniagaan juga terpaksa membayar kos pembiayaan lebih tinggi, justeru memberi kesan kepada untung. Tahapnya bergantung kepada berapa banyak modal syarikat yang dibiayai oleh hutang.

Namun, kenaikan kadar faedah berpotensi mengekang kenaikan harga, terutamanya harga hartanah, kerana kebanyakannya sudah mencapai tahap tidak mampu dimiliki oleh orang biasa.  Di samping itu, kadar deposit bank juga dijangka meningkat seiring kenaikan kadar Bank Pusat.

Kita sebagai penghutang, penabung atau pelabur, kita perlu membuat persiapan untuk melaraskan strategi kewangan kita untuk mengambil kesempatan atau mengurangkan kesan jika kenaikan kadar dibuat oleh BNM.

1 ulasan:

2bz4money berkata...

Sediakan back up cash yg mencukupi bagi menampung kadar BFR yg bakal meningkat..Kalu kesan peningkatan terlalu besar, mungkin perlu terminate loan yg telah melepasi lock-in period. Dlm impak yg lebih besar, perlu hentikan loan OPM utk biayai housing loan.