15 April, 2011

Apakah maksud 'privatisation' saham?

Tawaran pengambilalihan atau pembayaran balik modal
Selepas proses, saham akan dikeluarkan dari senarai BSKL

Baru-baru ini Mamee-Double Decker telah mengumumkan proses pengurangan modal dan pembayaran balik modal terpilih yang bertujuan mengeluarkan saham daripada senarai BSKL.

Harga yang ditawarkan kepada pemegang saham ialah RM4.39. Paras ini memberikan premium 21.9% berbanding harga dagangan akhir  RM3.60 di pasaran sebelum pengumuman dibuat.

Biasanya proses privatisation boleh dilakukan dengan dua cara, iaitu menerusi tawaran am kepada pemegang saham, yang merupakan cara lazim, dan juga menerusi pembayaran balik modal, seperti yang dilakukan dalam kes Mamee-Double Decker.

Dalam kedua-dua keadaan, harga yang ditawarkan biasanya lebih tinggi daripada harga dagangan semasa  untuk menarik pelabur menjual saham mereka.

Untungnya bagi pelabur ialah harga saham akan naik ke paras hampir ke harga tawaran. Pelabur boleh menjual saham di pasaran terbuka pada harga ini, menunggu untuk tawaran sebelum melupuskan saham. atau menolak tawaran yang dibuat.

Walau apa pun, kejayaan proses bergantung kepada tahap penerimaan pemegang saham. Sekiranya ramai pelabur yang enggan menerima tawaran ini, proses privatisation mungkin dibatalkan dan harga kembali ke paras asal melainkan tawaran pada harga lebih tinggi dibuat.

Pada satu masa dulu NST ada bercadang untuk mengambil alih Utusan dan harga Utusan telah naik tinggi tetapi selepas cadangan itu ditolak, harga Utusan jatuh dan tidak sampai ke tahap itu lagi.

Carta harga saham Mamee:


Dipetik daripada Bursa Malaysia


Kita dapat lihat di sini bahawa harga saham telah melonjak serta-merta selepas pengumuman.  Tetapi harga hanya naik kepada RM4.23, dan bukan RM4.39 kerana proses belum disempurnakan. Masih ada beberapa perkara yang boleh menggagalkan proses ini.

Walaupun tawaran telah dibuat, tidak semestinya ia berjaya. Bagi pelabur yang mahu mendapatkan kepastian, mereka boleh jual pada harga pasaran semasa, walaupun ia lebih rendah sedikit daripada harga tawaran.

Ini adalah salah satu cara pemegang saham undervalued untuk meraih keuntungan. Jika harga pasaran masih tidak mencerminkan nilai sebenar, terdapat kemungkinan bahawa pemegang saham utama syarikat atau syarikat lain membuat keputusan mengambil alih syarikat tersebut dan mengeluarkannya dari senarai, menerusi tawaran pada harga yang lebih tinggi daripada harga semasa.

Tiada ulasan: