18 April, 2011

Adakah Insurans Patuh Syariah?

Jika namanya insurans, maka produk tersebut tidak patuh syariah

Saya menerima soalan berikut daripada pembaca: 

Boleh tak saudara kenaplasti adakah Prulady dan Prulink tu patuh syariah? Saya dapat maklumat yang dua insurans ini tidak patuh syariah?

Sebenarnya jawapan kepada soalan di atas mudah sahaja, iaitu jika namanya insurans konvensyenal, maka produk tersebut tidak patuh syariah.

Pada satu masa dulu, kalau tak silap saya, insurans konvensyenal diharuskan demi kepentingan umum tetapi sekarang ini dengan adanya pelbagai produk takaful, tak perlulah guna insurans lagi kerana memang tidak patuh syariah.

Produk insurans dianggap tidak patuh syariah kerana mengandungi unsur gharar. Namun begitu ada pihak yang mempertikaikan hakikat ini, terutamanya kerana ilmu statistik dan aktuari yang canggih dan tepat boleh digunakan.

Tetapi masalah paling besar dengan produk insurans konvensyenal ialah dana insurans yang dikumpulkan daripada pemegang polisi tidak dilaburkan mengikut prinsip syariah dan mengandungi unsur riba dan pada pendapat saya, ini merupakan faktor utama yang menyebabkan insurans konvensyenal tidak patuh syariah.

Sekarang ini tiada masalah bagi kita kerana bagi kebanyakan produk insurans konvensional, sudah ada produk takaful yang menawarkan manfaat sama (walaupun tidak sama sepenuhnya).

Tetapi masalah timbul jika kita sudah ada polisi insurans lama yang kita bayar pada paras premium yang agak rendah pada masa dulu.  Jika kita tukarkan kepada takaful, kita akan mengalami sedikit kerugian.

Kita akan dapat surrender value atau nilai serahan tetapi apabila kita bertukar, premium yang kita bayar adalah pada kadar terkini dan pastinya lebih tinggi sedikit.  Di samping itu, kita mungkin perlu menunggu untuk tempoh tertentu sebelum boleh membuat tuntutan bagi penyakit kritikal yang ditetapkan.

Cara terbaik ialah bertukar antara insurans dan takaful daripada syarikat yang sama kerana ada syarikat yang menawarkan untuk meneruskan manfaat yang sudah dinikmati tanpa kehilangan sebarang manfaat.

Jika ini tidak boleh dilakukan, berundinglah dengan ejen takaful bagi menentukan cara terbaik untuk bertukar polisi tanpa menyebabkan kerugian besar.

Saya sendiri telah menukar insurans kesihatan saya kepada takaful. Apa yang saya lakukan ialah memegang kedua-dua insurans dan takaful secara serentak untuk tahun pertama takaful tersebut sebelum menebus polisi insurans lama saya.  Ini untuk memastikan semua penyakit kritikal dilindungi dalam tempoh perpindahan, kerana saya bertukar kepada syarikat takaful berlainan.

Sebaliknya polisi anak saya pula boleh ditukar tanpa sebarang kerugian kerana polisi insurans ditukar kepada takaful daripada syarikat yang sama.

Saya bukan pakar insurans, kalau ada ejen takaful yang boleh memberi maklumat lanjut, saya alu-alukan ulasan anda.

Tiada ulasan: