28 Januari, 2010

Peluang Untuk Membeli Muncul Kembali

Kejatuhan saham membuka semula pintu pelaburan

Sejak hujung tahun lepas, saya telah menyuarakan kebimbangan tentang kenaikan berterusan pasaran dalam posting saya. Walaupun kejatuhan sebanyak lebih 40 mata telah berlaku setakat hari ini, kita tidak tahu sama ada kejatuhan akan terus berlaku buat beberapa lama atau seketika sahaja.

Itu semua tidak begitu penting. Yang penting ialah usaha kita mencari nilai berpatutan. Dalam tempoh dua tiga bulan lepas, semakin sukar untuk mencungkil saham yang undervalued disebabkan kenaikan harga yang ketara.

Tetapi dengan kejatuhan pasaran sejak hujung minggu lepas, nilai berpatutan boleh mula dilihat di kalangan segelintir saham.

Sebagai pelabur bijak, inilah masanya untuk 'bersiap sedia' untuk melabur semula. Sebenarnya kejatuhan kali ini bukan berlaku kerana ekonomi akan gawat semula tetapi mungkin kerana kenaikan pasarn telah berlarutan hampir setahun, sedangkan pemulihan ekonomi baru di peringkat awal dan masih ada beberapa masalah yang belum selesai.

Saya menekankan 'bersiap sedia' kerana ada kemungkinan saham jatuh lagi dan jika ini berlaku, pasti semakin banyak saham undervalued dapat dilihat. Kita perlu berlagak seperti helang yang berlegar-legar meninjau mangsa sambil berfikir di mana dan bila untuk bertindak.

Dipetik daripada Bursa Station

Dari segi teknikal mungkin pasaran menunjukkan kelemahan dan tidak kiralah jika kelemahan ini berlarutan atau sementara sahaja, trend jangka panjang (sehingga 5 tahun), pada pandangan saya, tetap menaik. Cuma saya ulangi apa yang saya katakan dalam posting saya sebelum ini bahawa dalam jangka pendek 'anything can happen'.

Secara peribadi, seperti yang saya katakan dalam posting terdahulu bahawa saya telah mengurangkan peruntukan saham secara beransur-ansur sejak akhir tahun lepas. Sekarang ini, saya akan mula menambah peruntukan saham sekiranya pasaran terus menjunam.

Nota: Saya ingin menekankan bahawa taktik saya ialah beli saham bila saham jatuh, bukan apabila saham melonjak naik dan kaedah penilaian saham utama yang digunakan ialah fundamental analysis.

25 Januari, 2010

Port Dickson Kembali Pesat?

Pembangunan lebih teratur dan laut lebih bersih

Pada satu ketika dulu, sebelum krisis kewangan Asia, begitu banyak pembangunan dilihat di Port Dickson, terutamanya service apartment yang ditawarkan kepada orang ramai.

Malangnya, pada pandangan mata saya, pembangunan dilakukan dengan tidak teratur dan ada projek yang terbengkalai. Bagi projek yang tidak terbengkalai pun, ramai pembeli yang rugi, kerana harga beliau apartment lebih tinggi daripada nilai di pasaran, terutamanya selepas krisis Asia 97/98.

Sementara itu pembangunan tidak teratur juga menyebabkan pencemaran pantai dan air laut. Malah ada satu ketika saya tidak begitu berminat lagi pergi ke Port Dickson.

Namun begitu sejak kebelakangan ini, saya telah beberapa kali berkunjung ke sana kerana pengalaman menarik dan laut yang lebih bersih. Pertama sekali walaupun banyak yang perlu diberbaiki dan peninggalan projek terbengkalai masih ada, pembangunan dilihat lebih teratur dari dulu.

Kedua pantai di Batu 5, dari Bayu Beach sehingga ke Residence Desa Lagoon adalah agak menarik dan lebih bersih dulu. Selain itu Pantai Blue Lagoon dan Pantai Cermin (kedua-dua di Tanjung Tuan atau Cape Rachado) di seberangnya juga bersih. Malah di Blue Lagoon, airnya sangat jernih.

Ada orang kata, pantai di sana kembali bersih selepas tsunami, manakala ada orang lain pula mendakwa sebab pembangunan lebih teratur. Saya pun tak tahu apa sebabnya tetapi yang saya tahu, saya pernah pergi ke beberapa pantai di Langkawi, Lumut dan Pangkor sejak dua tahun lalu dan saya dapati pantai Port Dickson (Batu 5 dan Tanjung Tuan) lebih baik. Ini sesuatu yang langsung tak saya jangka.

Lagi satu manfaat ialah tempat penginapan, disebabkan oleh oversupply, masih boleh didapati pada harga berpatutan, sedangkan bagi golongan mewah pun ada hotel yang paling canggih dan mahal. Jadi PD ada penginapan untuk segenap lapisan masyarakat.

Saya dapati ada peluang perniagaan di Port Dickson, terutamanya berkaitan pelancongan, tetapi juga dari segi makanan dan juga pertanian (termasuk agro-pelancongan).

Saya rasa sesiapa yang boleh membuka restoran atau gerai makanan halal dan memberikan perkhidmatan profesional, seperti piawaian di bandar besar, mungkin boleh berjaya. Walaupun sudah banyak restoran di sana, saya rasa perkhidmatannya boleh diperbaiki.

Selain itu, mereka yang mahu beli apartmen di sini sebagai rumah rehat boleh membelinya pada harga yang jauh lebih berpatutan di pasaran terbuka.

Bagi saya, jika Port Dickson dilihat sebagai saham, saya menganggap saham ini sekarang undervalued (setelah mencapai tahap terlalu overvalued satu ketika dulu). Nampak seperti bandar ini memberi peluang untuk riadah dan berniaga, selagi pembangunannya dikawal dan kebersihannya dijaga.

21 Januari, 2010

Peranan Nasib dan Peristiwa Rambang

Perlu berjaga-jaga menghadapi situasi tidak diduga

Dalam tempoh setahun lepas pasaran saham telah naik dengan ketara. Ramai pelabur termasuk saya telah meraih untung besar, lebih besar jika mereka memasuki pasaran di peringkat awal.

Tetapi kita perlu sentiasa berwaspada jangan terikut-ikutkan perasaan. Jangan fikir bahawa satu tahun kita mencatat untung, kita sudah menjadi pelabur yang hebat.

Perlu diingat bahawa jauh lebih banyak saham yang naik daripada yang rugi dalam tempoh tersebut. Mungkin lebih daripada 60% mencatatkan kenaikan ketara.

Justeru kalau kita pelabur yang kurang bijak sekalipun, kemungkinan besar kita akan mencatat untung sepanjang tahun lepas. Untung dalam jangka masa tersebut belum dapat memastikan sama ada kita pelabur bijak. Mungkin kita bernasib baik sahaja.

Penilaian rekod pencapaian sebenar hanya boleh dibuat dengan agak tepat dalam tempoh 10 tahun, yang merangkumi kitaran penurunan atau kenaikan, tapi mungkin tempoh itu terlalu lama bagi pelabur biasa. Saya rasa lima tahun dan perbandingan dengan prestasi indeks sudah memadai (walaupun tidak sempurna) untuk menilai prestasi seorang pelabur kecil.

Dalam keadaan pasaran semasa, ada pelbagai peluang untuk mendapat keuntungan jangka pendek. Tetapi lebih tinggi pasaran, lebih besar kebarangkalian sesuatu perkara rambang atau tidak diduga boleh berlaku yang menyebabkan kejatuhan.

Justeru strategi yang saya gunakan sekarang ambil kesempatan tetapi jangan terlalu 'overconfident'. Sentiasa lindungi diri daripada peristiwa tidak diduga yang mempengaruhi pasaran.

Ada beberapa cara untuk melindungi portfolio, termasuk menetapkan stop loss atau trailing stop loss untuk setiap pelaburan, mengurangkan peruntukan saham dalam portfolio, meletakkan margin of safety yang besar dalam setiap pelaburan anda atau mengamalkan hedging atau lindung nilai menerusi opsyen KLCI (tapi rasanya ini tak patuh syariah).

Selamat melabur dan meraih untung tapi jangan lalai dan terlalu yakin. Pastikan anda bersiap sedia untuk semua keadaan, bukan sahaja senario kenaikan saham sahaja.

17 Januari, 2010

Tak Perlu Berniaga Untuk Kaya

Ada banyak jalan lain untuk berjaya

Sekarang ini kita sering melihat pelbagai seruan kepada orang ramai untuk berniaga atau bekerja sendiri, sama ada secara fizikal atau menerusi Internet. Malah pelbagai kursus dianjurkan untuk mengasah kemahiran bakal usahawan supaya mereka dapat berjaya dalam bidang perniagaan.

Jenis perniagaan yang saya lihat lebih mendapat sambutan ialah perniagaan menerusi Internet dan juga yang berbentuk multi-level marketing. Ini kerana modal untuk memulakan perniagaan adalah kecil.

Sering kali apabila seruan dibuat untuk berniaga, ikon-ikon yang paling terkemuka digunakan sebagai contoh dan teladan. Malah, dalam banyak kes, ikon itu sendiri yang menganjurkan kursus.

Tidak dinafikan bahawa perniagaan memberikan ruang paling luas untuk membina kekayaan. Tetapi kadar kegagalannya tinggi. Ramai yang gagal dalam perniagaan Internet dan MLM dan juga perniagaan fizikal, cuma kisahnya kurang kita dengar. Siapa yang hebahkan kisah kegagalan mereka?

Golongan yang berjaya pula ialah mereka yang persistent, cekal, tabah, bijak dan juga bernasib baik. Mereka ini sanggup 'go the extra mile' dan menahan segala naik turun dalam proses membina perniagaan sehinggalah mencapai 'tipping point' di mana kejayaan besar dicapai.

Namun begitu, ada juga peniaga yang melakukan segala yang patut tetapi masih cukup makan sahaja. Kisah mereka pun jarang kita dengar.

Perniagaan bukan untuk semua orang. Banyak fungsi dunia sebenar yang amat berharga dilakukan oleh kumpulan yang bergelar kakitangan, sama ada kakitangan swasta atau kerajaan.

Contoh yang baik ialah guru dan pensyarah. Mungkin gaji mereka tidaklah setinggi mana tetapi peranan yang mereka mainkan adalah sangat penting. Pernah saya menghadiri satu seminar di mana penceramahnya yang merupakan seorang tokoh terkenal memperlekehkan pensyarah.

Saya amat menghormati tokoh tersebut, tetapi saya juga sangat menghormati golongan yang digelar guru dan pensyarah, dan beratus pekerja atau profesional lain yang berkhidmat dalam profesion masing-masing.

Jika anda bekerja untuk orang lain, anda juga boleh membina kekayaan dengan menabung dan melabur dengan bijak. Jangan ukur diri dengan kekayaan orang lain, sebaliknya sentiasa perbaiki diri supaya hari esok lebih baik dari hari ini, dan tabungan hari esok juga lebih tinggi dari hari ini.

Selain itu, anda juga boleh menambah pendapatan dengan mencatatkan prestasi yang baik dalam tugas anda, sehingga satu hari nanti anda dapat menyertai anggota pengurusan kanan syarikat atau kerajaan. Ada di antara golongan ini mendapat imbuhan lebih sejuta setahun, dan tidak seperti berniaga, mereka tidak mengalami risiko kerugian (hanya risiko dibuang kerja).

Apa yang ingin saya terangkan di sini ialah semua pilihan kerjaya ada baik buruk, risiko dan manfaatnya, dan semua pilihan ada laluan untuk mencapai kejayaan.

Saya membuat keputusan untuk bekerja sendiri dan gembira dengan keputusan yang saya buat, tetapi saya tahu ramai orang yang lebih selesa dengan pendapatan tetap dan suasana kerja dalam syarikat besar, dengan cuti tahunan dan jaringan sosial yang wujud di dalamnya. Terpulang kepada individu untuk memilih jalan kejayaannya.

Walau apa pun jalan yang anda pilih, jangan hanya memikirkan soal kaya harta, tetapi turut berusaha memperkayakan ilmu dan amal dan juga kaya dari segi sumbangan yang dberikan kepada masyarakat, ekonomi dan negara.

13 Januari, 2010

Ajiya Bhd: Pengeluar Bumbung & Kaca Mantap

Syarikat catat prestasi cemerlang dalam kegawatan

Sambil membelek-belek buku Dynaquest Stock Performance Guide, saya ternampak sebuah syarikat yang agak kukuh dari segi operasinya, iaitu Ajiya Bhd.

Ajiya Bhd ialah syarikat yang mengeluarkan produk zink, aluminium dan logam untuk bumbung dan juga produk kaca yang berpangkalan di Segamat. Ajiya mempunyai dua anak syarikat utama iaitu Asia Roofing Industries yang tersenarai di Papan Utama dan Ajiya Safety Glass. Sila kunjungi laman web syarikat www.ajiya.com untuk maklumat lanjut mengenai latar belakang syarikat.

Syarikat ini mempunyai rekod keuntungan sepanjang tempoh sepuluh tahun lepas, dengan trend yang meningkat. Pendapatan sesaham pada tempoh lima tahun lepas ialah 17.1, 17.3, 25.2, 32.3 dan 31.8 sen. NTA sesaham pada tahun berakhir Nov 2009 ialah RM2.62.

Harga penutupnya pada hari ini ialah RM1.69. P/E ratio pada harga tersebut ialah lebih kurang 5.3. Harganya juga jauh di bawah NTA dan tahap hutang jangka panjangnya adalah amat rendah, sehingga boleh dibiayai dengan keuntungan setahun.

Carta sahamnya adalah seperti berikut:

Dipetik daripada Bursa Station

Daripada maklumat kewangan yang diperolehi, nampak seperti saham masih undervalued, walaupun telah naik tinggi dalam tempoh enam bulan lalu. Walau apa pun, seperti biasa pelabur dinasihatkan membuat kajian sendiri sebelum melabur.

Daripada apa yang saya lihat, pilihan yang ada ialah beli sekarang, atau mengambil pendekatan tunggu dan lihat jika anda rasa indeks akan jatuh dalam jangka pendek. Walau apa pun, jika dilihat daripada prestasi semata-mata, syarikat adalah kukuh dan sahamnya undervalued.

Nota: Penilaian ini bersifat jangka panjang dan bukannya menilai potensinya sebagai saham dagangan jangka pendek.

10 Januari, 2010

Francais tidak menjamin keuntungan

Buat penyiasatan wajar sebelum tandatangan kontrak

Dari masa ke masa, saya ada mendengar dan membaca tentang masalah yang dihadapi oleh peniaga yang berniaga secara francais.

Antara masalah yang ditimbulkan ialah perniagaan yang indah khabar dari rupa, lambakan stok secara paksa oleh francaisor, perubahan syarat perjanjian selepas perjanjian ditandatangani dan kekurangan sokongan daripada francaisor

Ada yang dari mula lagi, iaitu selepas menandatangani perjanjian, menghadapi masalah, ada yang mendapati mereka tidak dapat pulang modal selepas berniaga, manakala ada yang lain pula menghadapi kemelut selepas beberapa lama berniaga.

Perlu diingat bahawa industri francais ini bukan sesuatu yang boleh menjamin keuntungan. Selain itu bukan semua francais sama. Ada yang baik dan ada yang tidak. Malah bukan semua masalah adalah salah francaisor, kadang kala membabitkan kedua-dua pihak, atau ada yang disebabkan francaisi tidak pandai berniaga.

Daripada pemerhatian saya, aduan atau masalah kerap timbul dengan nama-nama francais yang lebih kurang sama. Ini bermakna bukan sistem francais itu yang salah, tetapi mungkin ada segelintir francaisor yang kurang baik.

Jika anda membeli perniagaan biasa (bukan francais) anda perlu membuat due diligence (penyiasatan wajar) terhadap perniagaan sebelum membeli. Bagi perniagaan francais, perkara yang sama perlu dilakukan.

Tanya francaisi lain tentang kekuatan dan keikhlasan francaisor. Tanya mereka sama ada mereka boleh buat untung. Buat rancangan perniagaan seperti biasa.

Tetapi paling penting anda perlu nilai apakah manfaat yang diperolehi apabila anda membayar yuran francais. Adakah anda setakat membeli jenama sahaja atau anda membeli resipi, sistem perniagaan dan juga sokongan penuh. Adakah mereka boleh memaksa anda menerima stok yang mereka bekalkan, walaupun anda tidak mahu terima? Bolehkah mereka menukar perjanjian secara unilateral (tidak perlu persetujuan anda)?

Soalan akhir sekali ialah bolehkah anda, dengan yuran francais yang anda bayar, membina perniagaan sendiri, tanpa perlu membeli perniagaan francais? Dalam kebanyakan kes mungkin tidak boleh, tetapi dalam segelintir kes lain, anda boleh melakukannya sendiri.

Saya ada beberapa kenalan yang menjalakan atau cuba menjalankan perniagaan francais. Ada yang berjaya dan ada yang tidak. Yang saya dengar yang menimbulkan masalah ialah nama-nama yang sama sahaja, walaupun saya dengar dari orang berlainan.

Umumnya pada pandangan saya lebih banyak francaisor yang baik daripada yang lemah. Sistem francais juga memberikan peluang survival lebih tinggi berkat sokongan francaisor. Tetapi sudah tentulah jika anda berniaga francais, anda melepaskan sedikit kawalan terhadap perniagaan anda, dan anda tidak boleh membina jenama atau identiti sendiri.

Francais ialah satu cara kos rendah dan risiko rendah bagi francaisor untuk meluaskan perniagaan (berbanding menambah outlet sendiri). Francais juga satu cara yang berdaya maju bagi francaisi untuk menceburi bidang perniagaan dan mempelajari selok-belok perniagaan.

Jika dilakukan dengan betul, kedua-dua pihak untung. Tetapi jika tidak betul, francaisi yang biasanya rugi kerana menanggung sebahagian besar daripada risiko.

Walau apa pun, jangan terburu-buru untuk menandatangani perjanjian. Buat penyiasatan wajar dan pastikan anda tahu apa yang anda beli. Selepas itu, jika gagal anda sendiri perlu bertanggungjawab kerana pada asasnya, anda yang menandatangani perjanjian kontrak tanpa paksaan sesiapa (kecuali kes membabitkan fraud atau penipuan di pihak francaisor).

06 Januari, 2010

Contoh Sebenar Proses Belian Saham

Kajian Kes: Pembelian Saham Mamee Double Decker

Atas permintaan pembaca, saya bentangkan satu kajian kes proses pembelian saham sebenar dengan menunjukkan bagaimana analisis dibuat. Analisis tersebut diringkaskan sahaja di sini. Maklumat penuh boleh didapati daripada Laporan Tahunan dan Laporan Suku Tahunan syarikat di laman web Bursa Malaysia.

Saya telah membeli saham Mamee Double Decker pada bulan Julai tahun lepas.

Belian:
3000 saham pada 2.40 (20/7/09)
4000 saham pada 2.47 (27/7/09)
2000 saham pada 2.46 (29/7/09)
1000 saham pada 3.56 (02/11/2009)

Harga belian purata = RM2.56

Nota: Seribu saham terakhir dibeli kerana mencukupkan angka 10,000 saham sebelum terbitan bonus 4 saham untuk setiap 5 saham dipegang yang dibuat pada akhir bulan November 2009.

Berikut adalah proses analisis semasa membeli Mamee Double Decker

Keuntungan
Margin Bersihnya ialah 6%. Bermakna setiap ringgit jualan menghasilkan untung bersih 6 sen. Pendapatan sesaham (EPS) purata 27 sen sesaham dalam tempoh lima tahun lepas. Tapi bagi suku pertama tahun berakhir 2009, Mamee mencatatkan EPS 12.9 sen. Pada separuh pertama 2009, pendapatan sesaham ialah 26 sen. Jika prestasi diteruskan bermakna annualised EPS bagi 2009 ialah lebih kurang 52 sen. Maka forward P/E lebih kurang 5 pada harga belian purata. (Pemikiran saya pada waktu itu ialah saham ini sangat undervalued)

Nilai Aset
Nilai aset bersih sesaham Mamee pada waktu penilaian ialah RM2.34. Maka Price to Book Value ialah kira-kira 1.09. Namun begitu saya tak begitu mengutamakan nisbah ini bagi syarikat F&B. Saya lebih melihat kepada keuntungan. Sementara itu, nilai aset cair sesaham ialah RM0.55

Aliran Tunai
Pada 2008, Aliran tunai daripada kegiatan operasi ialah RM20.6 juta berbanding untung bersih RM23.5 juta. Ini bermakna syarikat bukan sahaja mencatat untung perakaunan, tetapi juga menjana aliran tunai bagi operasinya. Perkara lebih menarik ialah pada separuh pertama 2009 sahaja, syarikat mencatat untung bersih RM21.2 juta dan aliran tunai daripada kegiatan operasi RM25.4 juta. Keuntungan dan aliran tunai separuh tahun 2009 hampir sama dan mengatasi keuntungan dan aliran tunai seluruh tahun 2008!

Jualan / Hasil
Meningkat setiap tahun pada tempoh lima tahun lepas, sehingga mencecah RM396 juta pada 2008. Pada separuh pertama 2009 jualan ialah RM194.4 juta. Justeru tahap jualan dijangka sama dengan 2008 tetapi keuntungan meningkat dengan ketara kerana faktor pengurangan kos.

Kewibawaan Pengurusan
Syarikat mencatat keuntungan dalam tempoh lebih sepuluh tahun berturut-turut. Malah ia tidak perlu gunakan hutang untuk luaskan perniagaan. Syarikat juga sering menambah kepada rangkaian produk

Struktur Modal
Langsung tiada hutang jangka panjang. Hanya modal ekuiti sahaja

Produk dan Perkhidmatan
Snek Mamee Monster, Double Decker, Mister Potato Me Segera Mamee Slrrp, Mamee Klasik, Double Decker, Minuman Nutrigen dan IQ3, Gula-Gula Herba Nicolet, Minuman Cheers.

Penguasaan Pasaran
Bagi snek Mamee Monster, hampir di tahap monopoli kerana tidak ada pesaing kukuh bagi mi kering. Namun bagi produk lain seperti mi segera, masih ketinggalan di belakang jenaam utama seperti Maggi dan tidak mempunyai kuasa pasaran. Double Decker dan Mister Potato juga mantap di pasaran masing-masing.

Suasana Industri
Industri ini dapat menahan kegawatan kerana harga input, iaitu minyak sawit telah menurun. Selain itu, produk seperti makanan dan minimum ringan tidak begitu terjejas, disebabkan harganya yang murah.

Keadaan Makroekonomi
Ekonomi negara dan global semakin pulih tetapi harga minyak sawit yang merupakan input utama masih berada di sekitar RM2,000 - RM2,500 setan. Selagi harga minyak sawit tidak meningkat dengan terlalu ketara, maka margin keuntungan tidak akan terjejas.

Terbitan Bonus
Pada Nov 2009, Mamee membuat terbitan bonus 4 saham untuk setiap lima saham Sebelum terbitan bonus dibuat, harga saham telah naik ke RM3.75 sen. Justeru, jumlah saham saya telah bertambah daripada 10,000 saham kepada 18,000 saham. Namun selepas terbitan bonus, sudah tentulah harganya turun secara sekadar dengan bilangan saham bonus yang diberikan, iaitu kepada lebih kurang RM2.08 sen.

Jualan Saham
Oleh kerana pegangan saham Mamee melebihi peratusan maksimum yang saya tetapkan untuk sesuatu saham dalam portfolio saya (kerana kenaikan ketara harganya), maka saya menjual 8,000 saham Mamee.

3000 saham pada 2.15 (2/12/09)
2000 saham pada 2.18 (8/12/09)
3000 saham pada 2.08 (1/12/09)

Purata harga jualan = RM2.1313

Jadi baki sekarang ada 10,000 saham

Dividen
Pada Disember 2009, Mamee isytihar dividen bebas cukai 5 sen saham
Jumlah dividen 5 x 10,000 = 500

Pengiraan Pulangan
Jualan : 2.1313 x 8000 = 17,050
Dividen = 500
Nilai 10,000 saham Mamee yang tinggal (harga hari ini) : 2.16 x 10000 = 21,600
Jumlah Nilai 17,050 + 500 + 21,600 = RM39,150

Kos Belian : 2.56 x 10,000 = 25,600

Pulangan Kasar = 39,150 - 25,600 = RM13,550

Kos urus niaga ialah lebih kurang RM300.

Pulangan Bersih = RM13,250
Peratus Pulangan = 52%

(Pengiraan berasaskan harga purata Mamee hari ini pada RM2.16)

Nota:
1. Kajian kes ini menunjukkan proses pemilihan saham pada waktu pembelian. Ia bukan cadangan untuk membeli saham pada waktu ini.
2. Maklumkan saya jika ada kesilapan.

03 Januari, 2010

KLCI Naik 45% Pada 2009

Sesiapa yang keluar pasaran terlepas peluang

Tahun 2009 merupakan tahun yang sangat cemerlang bagi saham. Indeks komposit telah naik dari tahap di sekitar 880 mata pada awal tahun kepada 1272 mata pada akhir 2009.

Ramai yang rasa hairan kerana sedang ekonomi mengalami kemelesetan, pasaran saham boleh naik begitu tinggi tetapi seperti yang saya nyatakan dalam beberapa posting sebelum ini, pasaran saham biasanya mendahului ekonomi.

Kejatuhan besar telah berlaku pada 2008 kerana peserta pasaran meramalkan kegawatan pada 2009, manakala saham telah naik pada 2009 kerana peserta pasaran meramalkan pemulihan pada 2010.

Saya ada menulis artikel bertajuk peluang dalam kegawatan dalam majalah Dewan Ekonomi pada akhir tahun lepas dan juga menulis dua posting berikut bertajuk Baik Buruk Krisis Kewangan Dunia dan Peluang Dalam Kegawatan. Ini kerana pada pendapat saya, pada waktu krisis pelabur boleh mendapat untung paling besar.

Bagaimana pula dengan tahun 2010? Tahun 2010 adalah amat sukar diramalkan berbanding 2008 dan 2009. Ada sesetengah pakar berkata saham akan naik tetapi ada yang kata saham akan turun. Sukar untuk menentukan pihak mana yang betul.

Walau apa pun, saya yakin kenaikan tidaklah setinggi kenaikan 2009, cuma dalam tempoh terdekat, saya tidak begitu yakin dengan kekuatan pasaran. Jadi ramalan saya ialah pasaran akan turun atau mendatar dahulu sebelum naik.

Walau apa pun semua ini ramalan sahaja. Saya yakin bahawa jika tahun 2009 mengutamakan cara anda memperuntukkan aset (iaitu berapa banyak dana anda dilaburkan dalam saham), pada tahun 2010, cara anda memilih saham adalah lebih penting.

Saya ucapkan selamat melabur dan selamat berjaya pada 2010!