28 Jun, 2009

Bercakap Di Khalayak Ramai

Kemahiran penting untuk memaklum, menjual dan meyakinkan

Kemahiran bercakap dan meyakinkan orang ramai adalah satu kemahiran penting bukan sahaja harus dimiliki oleh ahli politik, tetapi ahli perniagaan terutamanya mereka yang terlibat dalam perniagaan kecil dan mahu mengembangkan perniagaan.

Kemahiran ini digunakan dalam pelbagai situasi. Contohnya ialah jika anda mahu menyampaikan pembentangan kepada pelanggan. Anda perlu meyakinkan mereka bahawa produk anda bagus. Walaupun apa yang anda katakan tidak akan menjadikan produk anda lebih baik atau kurang baik, tetapi tanggapan pelanggan terhadap produk bergantung kepada intipati dan keberkesanan pembentangan anda.

Satu lagi situasi ialah apabila anda memerlukan dana dan membentangkan rancangan perniagaan anda kepada pihak pelabur atau bank. Tidak kiralah sama ada anda melakukannya dalam suasana formal atau tidak formal, keupayaan anda meyakinkan pendengar akan memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi jika perniagaan anda belum mempunyai 'track record'.

Satu lagi situasi ialah dalam situasi membina jaringan perniagaan di mana anda diminta memberitahu serba-sedikit tentang syarikat anda. Cara anda menyampaikan maklumat akan mempengaruhi pendengar tentang anda dan perniagaan anda dan sama ada mereka mahu bekerjasama dengan anda

Seperti semua kemahiran lain, kehamiran bercakap di khalayak ramai boleh dipelajari dengan membaca buku, mengambil kursus, memerhatikan penceramah tersohor dan penceramah biasa dan juga menerusi amalan, iaitu mencari peluang untuk bercakap di khalayak ramai, terutamanya untuk mempromosi perniagaan anda.

Tetapi pembentangan perniagaan janganlah disamakan seperti pidato. Gaya dan bahasa pembentangan tidak begitu diutamakan seperti fakta, kandungan, kesahihan, keberkesanan keikhlasan dan kejujuran. Perkara yang paling penting ialah untuk meyakinkan pendengar tentang produk dengan cara yang jujur, bukannya kepada kebijaksanaan anda menyampaikan hujah.

Saya sendiri sedang belajar kemahiran ini, dan sentiasa menerima peluang untuk bercakap di khalayak ramai, tanpa banyak kerenah, walaupun kadangkala tiada ganjaran serta-merta diperolehi, kerana berpendapat dalam jangka panjang, ini akan membawa manfaat kepada saya dan perniagaan saya.

24 Jun, 2009

Minta Kadar Pembiayaan Rumah Lebih Rendah

Inilah masa paling sesuai untuk berunding dengan Bank

The customer is king. Ungkapan ini selalu kita dengar, tetapi jarang dikaitkan dengan pelanggan bank. Ramai yang menganggap bank yang berkuasa dan kita terima sahaja apa yang mereka berikan. Bukankah nak dapat pinjaman pun susah?

Tapi sekarang zaman dah berubah. Persaingan antara bank amat sengit. Liberalisasi pasaran menyaksikan Bank asing memasuki pasaran membawa idea baru dan kaedah pemasaran agresif dengan matlamat utama memberi layanan terbaik kepada pelanggan.

Kalau dulu saya masuk ke bahagian pinjaman sebuah bank tempatan terkemuka, saya terpaksa duduk menunggu sambil terpinga-pinga mencari siapa yang patut ditemui, sekarang ini situasi jauh berbeza. Masuk sahaja saya ditegur dan dilayan dengan baik. Malah mesti ada kakitangan bertanya bagaimana mereka boleh membantu.

Malah jika rekod kredit anda baik, lebih baik layanan yang diberikan. Anda akan menjadi rebutan. Justeru dalam suasana kadar pembiayaan rendah seperti sekarang, sekiranya anda telah mengambil pinjaman perumahan beberapa tahun lepas pada kadar tetap yang tinggi, mungkin sudah tiba masanya untuk memikirkan sama ada anda patut membiayai semula pinjaman pada kadar lebih rendah.

Dalam dunia perbankan Islam sekarang ini sudah ada pilihan kadar pembiayaan fleksibel seperti Musyarakah Mutanaqisah. Saya pernah menulis tentang produk ini pada posting awal saya. Pada waktu itu hanya dua bank menawarkannya tetapi sekarang ada lebih banyak pilihan.

Namun pilihan yang paling efektif mungkin sesuatu tidak terlintas di fikiran anda. Apa kata anda pergi berjumpa dengan pegawai bank yang memberi pinjaman anda dan minta dikurangkan kadar pembiayaan. Beritahu bahawa pinjaman anda sudah tamat tempoh penalti (iaitu tempoh antara 3 - 6 tahun di mana anda dikenakan sedikit denda jika membayar pinjaman lebih awal) dan anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pilihan pembiayan lain yang lebih berpatutan.

Saya pasti pegawai bank anda akan melayan anda. Jika tak layan, barulah pertimbangkan untuk membiayai semula rumah dengan bank lain. Tetapi sebelum itu, pastikan anda meminta bank lain itu mengira berapa banyak yang boleh anda jimat.

Cuma satu perkara sahaja yang perlu diawasi. Janganlah tambah pula pembiayaan (melainkan benar-benar perlu). Kadangkala orang menambah pembiayaan mereka untuk mendapatkan tunai yang digunakan untuk perbelanjaan pengguna yang habis tanpa membawa apa-apa hasil. Lebih baik kalau anda biaya semula hanya baki pinjaman dan tidak lebih dari itu.

Cubalah berbincang dengan bank. Saya sendiri baru berbuat demikian dan saya jangka dapat menjimatkan lebih RM10,000.

21 Jun, 2009

Labur Unit Amanah Guna Simpanan KWSP?

Boleh dilakukan tetapi pelabur perlu berwaspada

Ada beberapa orang kawan bertanya pendapat saya tentang pelaburan dalam unit amanah menggunakan wang KWSP. Umumnya saya mengatakan lebih baik jangan melabur kerana wang KWSP ialah wang simpanan hari tua sedangkan apabila melabur dalam unit amanah, terdapat risiko kerugian, walaupun potensi pulangannya lebih tinggi.

Pendapat saya masih tetap sama, tetapi bagi mereka yang masih mahu melabur, saya cadangkan masa terbaik untuk melabur ialah sekarang disebabkan harga saham masih berada pada tahap yang berpatutan kerana ekonomi belum pulih sepenuhnya.

Waktu anda beli adalah amat penting. Sekiranya anda menggunakan wang KWSP pada pertengahan tahun lepas untuk membeli unit amanah, anda sudah pasti akan mengalami kerugian dan apabila mengambil kira kos belian, pulangan janka panjang anda pasti terjejas.

Jadi apakah jenis dana yang boleh dibeli? Saya cadangkan pelabur melabur dalam dana ekuiti menyeluruh (bukan small cap dan sebagainya), yang dikendalikan oleh syarikat yang bereputasi tinggi dan pegang untuk jangka panjang. Jika hendak tambah pelaburan, tambah hanya apabila keadaan pasaran ekuiti berada di tahap yang rendah.

Tetapi anda perlu ingat bahawa apabila anda melabur tabungan KWSP anda dalam unit amanah, terdapat potensi kerugian dan anda perlu membayar kos untuk membeli pelaburan. Jadi tiada jaminan prestasi dana yang anda pilih boleh mengatasi dividen KWSP dalam jangka panjang.

Akhir kata, pada pendapat saya, jika anda mahu melabur dalam unit amanah, gunakan wang tabungan biasa dan bukannya simpanan KWSP anda. Tetapi jika anda tetap mahu melabur juga, laburkan wang tersebut dalam keadaan sekarang, iaitu apabila harga-harga saham masih berada di tahap yang rendah dan berpatutan.

18 Jun, 2009

Ceramah Buku Panduan Bijak Melabur

Tarikh: Sabtu - 27 Jun 2009
Lokasi: MPH MidValley Megamall
Jam: 3.00 - 4.00 ptg

Saya akan mengadakan ceramah buku bertajuk Langkah-Langkah Untuk Melabur Dengan Bjiak pada hari Sabtu, 27 Jun 2009, di MPH Mid Valley Megamall atas jemputan MPH. Ini adalah sebahagian daripada program promosi buku Panduan Bijak Melabur.

Saya menjemput anda semua untuk menghadirinya. Lokasinya ialah di ruang tengah gedung buku MPH MidValley. Berikut adalah perkara-perkara yang akan disentuh.

1. Mengapa Melabur Dalam Saham?
2. Konsep Pelaburan Asas
3. Langkah Sebelum Melabur
4. Mencari Idea Pelaburan
5. Mengawal Perasaan

Ceramah ini adalah percuma dan merupakan peluang bagi saya berkenalan dengan pembaca dan juga mereka yang berminat dalam pelaburan saham. Saya akan berusaha sedaya-upaya untuk memberikan hadirin seberapa banyak maklumat yang mungkin dalam masa yang ditetapkan dan kalau sempat, mengadakan satu sesi soal jawab. Jumpa anda di sana!

14 Jun, 2009

Persediaan Sebelum Melabur Saham

Pastikan Kedudukan Kewangan Kukuh Terlebih Dahulu

Pelaburan saham bukan untuk semua orang. Sebelum melabur kita perlu memasikan bahawa kedudukan kewangan kita sudah kukuh. Pelaburan yang dibuat mungkin sia-sia sekiranya kita tidak menyusun kewangan kita terlebih dahulu.

Pertama sekali pastikan kita tahu kedudukan aset liabiliti peribadi kita dengan membuat penyata pendapatan dan perbelanjaan dan juga penyata aset dan liabiliti peribadi. Dari situ, jika kita dapat kedudukan kewangan kita sudah mantap, maka barulah kita boleh mula berfikir tentang pelaburan saham.

Sekiranya nilai aset bersih kita negatif atau amat rendah, kita tidak harus melabur dalam saham kerana saham ialah instrumen yang mempunyai risiko lebih tinggi sedikit dalam jangka pendek. Jika kerugian berlaku, kedudukan kewangan kita mungkin menjadi lebih gawat.

Kedua ialah pastikan anda telah menjelaskan segala hutang pengguna yang mempunyai kadar faedah tinggi, dan tidak bersandarkan aset, seperti hutang kad kredit atau pinjaman peribadi. Apabila kita membayar hutang kad kredit, manfaatnya adalah sama seperti kita melabur dalam saham yang memberikan kita pulangan antara 15 - 18% setahun. Pulangan seperti ini memang hebat. Jadi apabila ada wang lebihan, bayar dulu hutang kad kredit sebelum berfikir untuk melabur

Ketiga pastikan anda sudah mempunyai dana kecemasan antara tiga hingga enam bulan gaji/pendapatan bulanan. Jika anda tiada dana kecemasan ini, anda mungkin terpaksa menjual saham pada harga rendah apabila anda memerlukan wang.

Keempat ialah sekiranya ada lebihan wang, beli rumah/kondominium/pangsapuri terlebih dahulu. Apabila anda sudah memiliki rumah, anda tidak perlu membayar sewa setiap bulan. Walaupun anda memerlukan pembiayaan dan akan membayar kos pembiayaan, sebahagian daripada ansuran bulanan akan digunakan untuk menambah ekuiti atau pemilikan anda dalam rumah. Justeru, ini menjamin anda ada tempat berteduh yang dimiliki sendiri.

Jika keempat-empat perkara di atas telah dipenuhi, barulah anda boleh mempertimbangkan untuk melabur dalam saham. Tetapi ada juga orang yang melabur dalam saham atau unit amanah untuk mengumpul wang pendahuluan untuk membeli rumah. Cara ini juga boleh diamalkan, selagi anda fasih dengan selok-belok pelaburan saham,

Memang menjadi matlamat saya sebagai penulis pelaburan untuk menggalakkan orang ramai melabur terus ke dalam pasaran saham, tetapi pelaburan ini patut dibuat hanya selepas memastikan kedudukan kewangan asas anda sudah mantap.

10 Jun, 2009

Melabur Dalam Saham Syarikat Asing

Kini mudah dilakukan menerusi dana unit amanah

Walaupun jika kita lebih suka melabur sendiri dengan membeli saham di pasaran secara langsung dan bukan menerusi syarikat unit amanah, ada satu jenis pelaburan di mana dana unit amanah mungkin boleh membantu kita.

Pelaburan yang dimaksudkan ialah saham-saham luar negara. Sebagai contoh, jika anda mahu mempelbagaikan pelaburan ke peringkat Asia atau Global, anda tidak perlu membuka akaun broker di luar negara dan membeli saham sendiri. Lagipun, hanya pelabur dengan dana yang sangat besar sahaja mampu berbuat demikian.

Cara yang lebih mudah ialah dengan memilih salah satu dana unit amanah yang melabur dalam pasaran saham di luar negara. Biasanya dana ini tidak mengkhusus kepada satu negara, tetapi pelbagai negara dalam satu kawasan geografi.

Kebanyakan syarikat unit amanah menawarkan dana Asia Pasifik, termasuklah dana yang patuh syariah. Antaranya ialah MAAKL Syariah Asia Pacific, Public Asia Dividend dan PRUAsia Pacific Syariah Equity. Satu lagi destinasi pelaburan popular sekarang ialah China. Ada satu dana Islam, iaitu Public China Ittikal yang melabur dalam saham syarikat-syarikat China.

Sementara itu ada beberapa dana yang melabur dalam pasaran sedang membangun (Emerging Markets) tetapi semuanya tidak patuh Syariah. Dana antarabangsa yang paling luas skopnya ialah dana ekuiti global, yang melabur dalam saham-saham global. Antara dana global patuh syariah termasuk CIMB Islamic Global Equity dan AMOasis Global Equity.

Apakah manfaatnya melabur dalam dana antarabangsa? Adakah pulangannya lebih tinggi? Tidak semestinya. Pelabur lazimnya melabur dalam dana global untuk mempelbagaikan pelaburan, terutamanya untuk mengelakkan diri daripada terlalu terdedah kepada pasaran Malaysia.

Manfaat utama yang ditawarkan ialah dengan jumlah dana yang kecil, pelabur berpeluang untuk melabur dalam pasaran saham asing menerusi dana yang diuruskan oleh pengurus profesional. Walau apa pun, buat penyelidikan dan baca prospektus sebelum membeli. Selain itu, jangan lupa untuk meninjau keadaan ekonomi kawasan yang menjadi destinasi pelaburan untuk menentukan masa terbaik untuk melabur.

07 Jun, 2009

Lebih Dari Satu Jalan Untuk Berjaya

Pemilihan ke universiti tidak menentukan kejayaan anda

Musim pemilihan biasiswa dan universiti telah tiba. Ada banyak aduan yang diterima tentang ketidakadilan, kesilapan dan sebagainya. Ramai yang menganggap pemerolehan biasiswa ke luar negara dan kejayaan memasuki universiti tertentu sebagai penentu masa depan mereka.

Hakikatnya ialah penuntut yang mencatatkan kejayaan akademik terlalu ramai sekarang. Ada orang mendakwa tahap penilaian peperiksaan semakin rendah atau soalan peperiksaan semakin mudah. Mungkin ada sebab lain mengapa terlalu ramai pelajar mencatat terlalu banyak A sekarang.

Pada pendapat saya ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang kerana ibu bapa dan pelajar masa kini memberi perhatian amat serius kepada peperiksaan. Selain itu, terdapat industri besar yang kini wujud disebabkan kemahuan (atau keperluan) pelajar dan ibu bapa untuk berjaya di dalam peperiksaan.

Justeru, apa yang kita dapat ialah satu sistem yang melahirkan pelajar yang pandai menduduki peperiksaan. Yang penting bukan kemahiran untuk berjaya dalam hidup tetapi kemahiran untuk mendapat berbelas A dalam peperiksaan, seterusnya membolehkan mereka mendapat biasiswa ke luar negeri atau melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

Sebenarnya universiti yang kita sertai tidak begitu penting, yang penting ialah apa yang kita pelajari (Ini pandangan peribadi). Malah ada ahli perniagaan dan ahli sukan cemerlang tak pernah menghabiskan universiti sekalipun. Universiti hanyalah salah satu daripada laluan untuk mencapai kejayaan.

Keputusan peperiksaan dan universiti mungkin boleh membuka pintu kepada anda tetapi akhirnya apabila masuk ke dalam dunia pekerjaan/perniagaan, anda tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan, tetapi secara berterusan menerusi prestasi kerja anda.

Bagi mereka yang mendakwa wujud ketidakadilan, mereka perlu menerima hakikat bahawa dunia ini subjektif dan umumnya tidak adil. Ketidakadilan 100% tidak boleh dicapai kerana pertimbangan manusia tidak sempurna.

Anda perlu membiasakan diri kepada perkara ini kerana anda mungkin akan menghadapi ketidakadilan yang lebih serius dalam dunia pekerjaan atau apabila memohon kerja. Lebih awal anda menerima hakikat bahawa kadangkala ketidakadilan akan berlaku, lebih mudah anda dapat menanganinya dalam kehidupan sebenar, iaitu apabila anda bekerja kelak.

Satu cara yang baik untuk belajar menghadapi ketidakadilan ialah dengan melibatkan diri dalam sukan atau pertandingan (seperti pidato, bahas dsbgnya). Dalam sesuatu pertandingan, pasti anda akan menghadapi situasi di mana anda rasa pengadil tidak adil atau hakim berat sebelah. Kadangkala anda akan mendapat manfaat daripada keputusan tidak adil dan kadangkala anda menjadi mangsa. Walau apapun anda akan belajar menanganinya.

Kesimpulannya ialah jika anda tidak menerima biasiswa atau tidak mendapat tempat ke universiti, janganlah terlalu bersedih. Jalan lain meunggu anda. Jangan mengeluh dan komplen kepada semua orang. Bulatkan tekad untuk membuktikan bahawa orang yang membuat pemilihan telah silap. Pilih jalan lain. Mungkin sertai institusi yang kurang glamor atau bekerja sambil belajar. Banyak pilhan yang ada. Salurkan kemarahan anda secara positif, iaitu untuk mengambil langkah permulaan untuk mencapai kejayaan besar dalam hidup.

03 Jun, 2009

Ekonomi Meleset Tetapi Saham Naik?

Fenomena ini berlaku kerana maklumat ekonomi lewat 2-3 bulan

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa ekonomi negara telah meleset lebih 6% pada suku pertama tahun ini. Angka ini lebih buruk daripada yang dijangka, disebabkan kejatuhan dalam eksport dan pengeluaran.

Ini merupakan penyusutan pertama dalam tempoh lapan tahun dan paling buruk sejak suku keempat 1998. Prestasi ekonomi negara lebih buruk daripada jangkaan kemelesetan 4% oleh pakar ekonomi.

Selain itu, untuk seluruh 2009, ekonomi dijangka meleset 3.0% dan ini lebih teruk daripada julat awal antara 1.0% hingga -1.0% yang diramalkan oleh kerajaan. Menurut tinjauan pakar, penyusutan akan terus berlaku tetapi pada kadar yang lebih rendah pada suku kedua dan suku ketiga sebelum ekonomi kembali berkembang pada suku keempat.

Jadi persoalannya ialah jika ekonomi meleset, mengapa pasaran saham naik dalam tempoh empat bulan lepas? Seolah-olah keadaan ekonomi tidak selari dengan keadaan pasaran. Mungkin situasi ini nampak ganjil tetapi memang ada penjelasan yang munasabah.

Sebenarnya data keputusan suku tahun pertama adalah lewat 2 - 3 bulan. Ini bermakna ia mencerminkan situasi pada suku pertama. Pasaran saham pula memaparkan keadaan semasa dan juga ramalan masa depan.

Kita sekarang berada pada bulan terakhir separuh pertama tahun. Pakar ekonomi telah meramalkan bahawa pemulihan ekonomi akan berlaku pada separuh kedua tahun ini. Justeru, sentimen pasaran semasa adalah berasaskan pemulihan yang dijangka akan berlaku.

Perlu diingat bahawa pasaran saham telah jatuh teruk pada bulan Oktober tahun lepas, walaupun ekonomi masih mencatatkan perkembangan positif, kerana peserta pasaran mengandaikan kemelesetan akan berlaku tahun ini. Andaian tersebut ternyata tepat.

Sebab itulah anda melihat sedikit perbezaan antara pengumuman keputusan ekonomi dan prestasi pasaran saham. Pertamanya kerana data ekonomi adalah lewat dan kedua ialah prestasi pasaran umumnya mencerminkan keadaan semasa dan unjuran masa depan.

01 Jun, 2009

Kakitangan Kerajaan Mudah Dapat Pinjaman

Bank Gembira Untuk Biayai Pekerja Awam;
Mereka Juga Layak Pinjam Daripada Kerajaan

Apabila meninjau tawaran pembiayaan yang dibuat oleh institusi kewangan, saya dapati bahawa kriteria yang ditetapkan adalah lebih longgar bagi kakitangan kerajaan. Malah, institusi kewangan seperti lebih suka untuk meminjam kepada mereka. Pinjaman diluluskan dengan lebih cepat dan tanpa banyak kerenah.

Saya ada saudara-mara yang bekerja dengan Kerajaan dan saya tahu betapa mudahnya mereka mendapatkan pinjaman. Adakah kerana pemberi pinjaman percaya kerajaan tidak akan bankrap dan sudah pasti membayar gaji? Atau mereka berpendapat pekerjaan dengan kerajaan begitu selamat, sehingga kemungkinan pekerja diberhentikan kerja amat tipis.

Namun begitu, adakah kesenangan mendapatkan pinjaman satu kebaikan atau keburukan? Pada pendapat saya, sumber pinjaman yang mudah mewujudkan 'temptation' atau keinginan untuk berbelanja di luar kemampuan. Malah, selain daripada institusi kewangan, pekerja awam juga boleh mendapatkan pinjaman kadar rendah daripada kerajaan apabila cukup kelayakan.

Saya pernah terbaca rencana dalam akhbar yang mendakwa bahawa pendapatan boleh guna segelintir kakitangan kerajaan amat rendah disebabkan terpaksa membayar hutang setiap bulan. Ada pelbagai hutang yang diambil, termasuk hutang rumah dan hutang kereta dengan kerajaan dan juga pembiayaan peribadi dengan institusi kewangan luar.

Satu lagi perkara yang diperhatikan ialah pengambilan kelayakan hutang maksimum. Saya dapati terdapat kecenderungan untuk menggunakan kelayakan pinjaman maksimum, dan membiayai aset yang dibeli sehingga ke paras 90% atau lebih. Malah ada yang meminta pembeli meletakkan harga rasmi rumah lebih tinggi supaya mereka boleh dapat pinjaman 100% (saya tahu sebab saya pernah diminta berbuat demikian apabila mahu menjual rumah saya).

Walaupun kadar faedah pinjaman kerajaan adalah sangat rendah dan kadar yang ditawarkan oleh institusi kewangan juga agak rendah pada masa ini, hutang tetap hutang. Apabila berhutang kita menambah beban di bahu kita.

Apa kata kalau kita tanya dulu diri kita, perlukah rumah dengan nilai sedemikian sehingga terpaksa mengambil kelayakan pinjaman maksimum, dengan pembiayaan 100%. Atau patutkah kita memilih kereta paling mahal yang boleh dibeli berasaskan kelayakan pinjaman maksimum kita?

Anda sudah pasti mendengar ungkapan Inggeris 'Live Within Your Means' atau Hidup Mengikut Kemampuan. Mungkin kita juga perlu mengamalkan prinsip 'Borrow Within Your Means' atau Pinjam Mengikut Kemampuan untuk mengelakkan masalah pada masa depan.