24 Jun, 2009

Minta Kadar Pembiayaan Rumah Lebih Rendah

Inilah masa paling sesuai untuk berunding dengan Bank

The customer is king. Ungkapan ini selalu kita dengar, tetapi jarang dikaitkan dengan pelanggan bank. Ramai yang menganggap bank yang berkuasa dan kita terima sahaja apa yang mereka berikan. Bukankah nak dapat pinjaman pun susah?

Tapi sekarang zaman dah berubah. Persaingan antara bank amat sengit. Liberalisasi pasaran menyaksikan Bank asing memasuki pasaran membawa idea baru dan kaedah pemasaran agresif dengan matlamat utama memberi layanan terbaik kepada pelanggan.

Kalau dulu saya masuk ke bahagian pinjaman sebuah bank tempatan terkemuka, saya terpaksa duduk menunggu sambil terpinga-pinga mencari siapa yang patut ditemui, sekarang ini situasi jauh berbeza. Masuk sahaja saya ditegur dan dilayan dengan baik. Malah mesti ada kakitangan bertanya bagaimana mereka boleh membantu.

Malah jika rekod kredit anda baik, lebih baik layanan yang diberikan. Anda akan menjadi rebutan. Justeru dalam suasana kadar pembiayaan rendah seperti sekarang, sekiranya anda telah mengambil pinjaman perumahan beberapa tahun lepas pada kadar tetap yang tinggi, mungkin sudah tiba masanya untuk memikirkan sama ada anda patut membiayai semula pinjaman pada kadar lebih rendah.

Dalam dunia perbankan Islam sekarang ini sudah ada pilihan kadar pembiayaan fleksibel seperti Musyarakah Mutanaqisah. Saya pernah menulis tentang produk ini pada posting awal saya. Pada waktu itu hanya dua bank menawarkannya tetapi sekarang ada lebih banyak pilihan.

Namun pilihan yang paling efektif mungkin sesuatu tidak terlintas di fikiran anda. Apa kata anda pergi berjumpa dengan pegawai bank yang memberi pinjaman anda dan minta dikurangkan kadar pembiayaan. Beritahu bahawa pinjaman anda sudah tamat tempoh penalti (iaitu tempoh antara 3 - 6 tahun di mana anda dikenakan sedikit denda jika membayar pinjaman lebih awal) dan anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pilihan pembiayan lain yang lebih berpatutan.

Saya pasti pegawai bank anda akan melayan anda. Jika tak layan, barulah pertimbangkan untuk membiayai semula rumah dengan bank lain. Tetapi sebelum itu, pastikan anda meminta bank lain itu mengira berapa banyak yang boleh anda jimat.

Cuma satu perkara sahaja yang perlu diawasi. Janganlah tambah pula pembiayaan (melainkan benar-benar perlu). Kadangkala orang menambah pembiayaan mereka untuk mendapatkan tunai yang digunakan untuk perbelanjaan pengguna yang habis tanpa membawa apa-apa hasil. Lebih baik kalau anda biaya semula hanya baki pinjaman dan tidak lebih dari itu.

Cubalah berbincang dengan bank. Saya sendiri baru berbuat demikian dan saya jangka dapat menjimatkan lebih RM10,000.

3 ulasan:

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam saudara Razali-boleh saudara berkongsi maklumat mengenai pembiayaan beli lot tanah dan membina rumah melalui satu permohonan.Bank mana yang menawarkan kadar yang lebih rendah. Harap dapat maklumat dari saudara. Terima kasih.

Unknown berkata...

Wasalam,

Ok..insyallah saya cuba banding-bandingkan dan catatkan pada posting minggu depan.

Sementara itu, kalau Sdr nak maklumat lanjut tentang pinjaman perumahan secara umumnya, boleh baca blog Warisan Sahabat yang terpaut pada blog ini.

Pok Li berkata...

makluman yang berguna.Kadar pinjaman rumah saya juga agak tinggi perlu disemak semula.