10 Jun, 2009

Melabur Dalam Saham Syarikat Asing

Kini mudah dilakukan menerusi dana unit amanah

Walaupun jika kita lebih suka melabur sendiri dengan membeli saham di pasaran secara langsung dan bukan menerusi syarikat unit amanah, ada satu jenis pelaburan di mana dana unit amanah mungkin boleh membantu kita.

Pelaburan yang dimaksudkan ialah saham-saham luar negara. Sebagai contoh, jika anda mahu mempelbagaikan pelaburan ke peringkat Asia atau Global, anda tidak perlu membuka akaun broker di luar negara dan membeli saham sendiri. Lagipun, hanya pelabur dengan dana yang sangat besar sahaja mampu berbuat demikian.

Cara yang lebih mudah ialah dengan memilih salah satu dana unit amanah yang melabur dalam pasaran saham di luar negara. Biasanya dana ini tidak mengkhusus kepada satu negara, tetapi pelbagai negara dalam satu kawasan geografi.

Kebanyakan syarikat unit amanah menawarkan dana Asia Pasifik, termasuklah dana yang patuh syariah. Antaranya ialah MAAKL Syariah Asia Pacific, Public Asia Dividend dan PRUAsia Pacific Syariah Equity. Satu lagi destinasi pelaburan popular sekarang ialah China. Ada satu dana Islam, iaitu Public China Ittikal yang melabur dalam saham syarikat-syarikat China.

Sementara itu ada beberapa dana yang melabur dalam pasaran sedang membangun (Emerging Markets) tetapi semuanya tidak patuh Syariah. Dana antarabangsa yang paling luas skopnya ialah dana ekuiti global, yang melabur dalam saham-saham global. Antara dana global patuh syariah termasuk CIMB Islamic Global Equity dan AMOasis Global Equity.

Apakah manfaatnya melabur dalam dana antarabangsa? Adakah pulangannya lebih tinggi? Tidak semestinya. Pelabur lazimnya melabur dalam dana global untuk mempelbagaikan pelaburan, terutamanya untuk mengelakkan diri daripada terlalu terdedah kepada pasaran Malaysia.

Manfaat utama yang ditawarkan ialah dengan jumlah dana yang kecil, pelabur berpeluang untuk melabur dalam pasaran saham asing menerusi dana yang diuruskan oleh pengurus profesional. Walau apa pun, buat penyelidikan dan baca prospektus sebelum membeli. Selain itu, jangan lupa untuk meninjau keadaan ekonomi kawasan yang menjadi destinasi pelaburan untuk menentukan masa terbaik untuk melabur.

Tiada ulasan: