04 November, 2009

Penilaian Akaun Al-Awfar Bank Islam

Perbandingan AL-Awfar dengan pilihan pelaburan lain

Produk simpanan dan pelaburan Al-Awfar telah diperkenalkan oleh Bank Islam pada Mac tahun ini (2009). Produk ini menawarkan hadiah lumayan kepada penabung dan pelabur bertuah. Pada mulanya saya tak mengendahkan produk ini sebab saya kurang berminat terhadap produk dengan unsur cabutan. Bukan sebab meragui kesahihannya, cuma saya tak suka simpanan di mana kalau tak menang hadiah, tiada sebarang pulangan diterima (seperti sijil simpanan BSN).

Tetapi apabila meneliti sekali lagi, saya dapati produk ini agak inovatif kerana ia tetap menyediakan pulangan kepada pelabur, DAN memberi peluang kepada mereka memenangi hadiah. Terdapat dua jenis akaun, iaitu akaun simpanan (pembahagian untung 98% bank dan 2% penyimpan) dan akaun pelaburan (70% bank dan 30% pelabur).

Hadiah tertinggi yang ditawarkan ialah RM100,000 dan cabutan dibuat tiga bulan sekali. Setiap simpanan atau pelaburan RM100 diberikan satu penyertaan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Bank Islam.

Dari segi kesahihan produk dan kontraknya, selepas membaca dengan lebih lanjut hukum dan dalil yang diberikan, saya boleh katakan saya yakin, tidak seperti produk Pinjaman Peribadi atau Pinjaman ASB Islam yang saya amat was-was. (Cari Al-Awfar dalam enjin pencarian untuk mengupas lebih lanjut tentang persoalan sama ada produk ini patuh syariah).

Saya hanya akan menyentuh perkara yang paling penting yang dikehendaki oleh pembaca blog saya, iaitu adakah produk ini menguntungkan mereka.

Umumnya ramai yang pasti tertarik dengan janji hadiah lumayan yang diberikan. Tetapi kita perlu teliti sama ada ia benar-benar menguntungkan. Rata-rata pulangan bagi Akaun Simpanan Pelaburan adalah rendah jika dibandingkan dengan pulangan yang diberikan oleh ASB, ASW dan Tabung Haji.

Justeru adakah peluang memenangi hadiah cukup untuk membuatkan anda memindahkan wang anda ke akaun ini? Perlu diingat bahawa hadiah besarnya ada sepuluh sahaja, iaitu 1 hadiah RM100,000, 1 hadiah RM10,000, 1 hadiah 5,000, 3 hadiah Rm1,000 dan 5 hadiah RM500.

Melainkan anda menang hadiah pertama, kedua atau ketiga anda akan rugi kerana melepaskan peluang untuk meraih pulangan lebih tinggi menerusi instrumen pelaburan lain. Secara peribadi, saya tidak suka ketidakpastian atau bergantung kepada nasib.

Jika anda tiada masalah dengan ASB dan ASW, jadikanlah kedua-duanya pilihan utama. Jika tidak, simpan wang anda di Tabung Haji. Tetapi jika anda masih teruja dengan peluang memenangi hadiah, maka anda boleh pindahkan wang anda ke Al-Awfar, siapa tahu anda mungkin bertuah.

Justeru berasaskan penilaian saya, tabungan/pelaburan risiko rendah terbaik masih lagi ASW, ASW dan Tabung Haji. Tetapi jika anda mahu membuka akaun simpanan di Bank untuk kegunaan biasa (bukan untuk tabungan) maka Al-Afwar adalah pilihan yang bijak kerana sambil anda menggunakan kemudahan akaun bank, anda berpeluang untuk menang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum encik Razali,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menyediakan blog pelaburan dalam bahasa melayu dan huraian yang baik.
Saya ingin bertanyakan tentang pembahagian keuntungan akaun al
awfar (pelaburan) 70:30.Berapakah banyak keuntungan akan diperoleh oleh pihak pelanggan jika saya mendepositkan sebanyak RM 10 ribu selama sebulan?. Boleh encik berikan anggarannya dalam jumlah wang?.

Unknown berkata...

Waalaikum salam,

Maaf kerana lambat menjawab kerana tersangat sibuk menghabiskan projek kerja.

Jumlah untung yang diagihkan bergantung kepada berapakah keuntungan yang diperolehi oleh pihak bank, dan dibahagikan pada nisbah yang dinyatakan. Jadi untung hanya diketahui selepas tempoh dan bukannya sebelum, seperti perbankan konvensional berasaskan riba.

Tapi rasanya anggaran keuntungan boleh diberikan tetapi saya rasa pihak bank boleh memberikan anggaran yang lebih tepat. Cuba saudara kunjungi cawangan dan tanya mereka atau telefon talian khidmat pelanggan mereka. Saya rasa lebih baik minta terus daripada mereka kerana saya tak ada maklumat dalaman tentang unjuran keuntungan syarikat.