Musim cuti ini menunjukkan ramai pengguna masih yakin
Salam Hijrah diucapkan kepada sahabat dan pembaca blog
Tidak dinafikan bahawa ekonomi global sedang mengalami kemelesetan dan kesannya akan dirasai oleh Malaysia pada tahun depan. Tetapi keghairahan orang ramai berbelanja dan bercuti pada hujung tahun ini memberikan sedikit harapan. Walaupun dari segi individu, kita perlu berjimat cermat, menabung dan bijak berbelanja, bagi ekonomi Malaysia, KDNK hanya akan terus berkembang jika pengguna tetap yakin dan terus berbelanja. Ini kerana perbelanjaan menjana kegiatan ekonomi dan dalam keadaan semasa, perbelanjaan domestik amat penting untuk terus menggerakkan enjin ekonomi kita.
Saya baru pulang dari Langkawi dan memang ramai pelancong pergi ke sana. Di hotel saya sahaja ada pengunjung dari pelbagai negara, termasuk Jepun, China, Negara-Negara Eropah dan Afrika, India dan juga pelancong Malaysia. Kedai-kedai penuh sesak. Malah seorang pemandu teksi memberitahu saya "Kali ni ramai Mat Salleh tidoq pantai", sebab hotel dah penuh dan juga kerana overbooking. Berhampiran jeti, saya terdengar dua orang berbual dan berkata musim cuti kali ini paling ramai orang.
Sementara itu di Kuala Lumpur pula kompleks beli-belah penuh sesak. Sebelum berlepas ke Langkawi saya mengunjungi Mid Valley dan jumlah orang di sana amat luar biasa, lebih ramai daripada keadaan sesak biasa (kecuali kalau ada Jusco sale). Saya tak tahu fenomena ini sementara sahaja atau petanda bahawa ekonomi kita boleh menghadapi tahun 2009 dengan lebih yakin.
Saya masih ingat situasi pada hujung tahun 1997 sehinggalah akhir 1998. Keadaannya sangat malap. Pusat beli-belah tidak meriah manakala hotel-hotel juga kurang penghuni. Ramai orang mengalami masalah besar mencari kerja. Tetapi situasi kali ini agak berbeza sedikit. Saya tahu banyak syarikat dan juga orang akan merasai kesan kegawatan, terutamanya dalam industri tertentu, tetapi saya adalah antara pihak yang lebih optimis.
Antara yang yakin terhadap ekonomi Malaysia ialah Atul Bhagarva, pengarah urusan Intel yang berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kegawatan ekonomi tahun depan. Selain itu, syarikat kad kredit juga meramalkan perbelanjaan akan meningkat pada musim perayaan ini. Kesimpulannya, kita harus prihatin bahawa kita akan merasai tempian kegawatan, tetapi saya yakin Malaysia mampu mengharunginya tanpa kesan yang terlalu serius.
3 ulasan:
Salam Hijrah Saudara Razali.
Jika saudara Razali melihat situasi Malaysia melalui pelancongan dan aktiviti membeli belah, memang kita pelik juga benarkah sedang gawat?
Jika kutipan zakat boleh dijadikan ukuran-sila lihat adakah kutipan menurun dengan keadaan gawat. Setakat yang saya tahu ada pusat zakat melepasi sasaran dan meningkat dari tahun lepas.
Syukur ekonomi Malaysia berada dalam perlindungan Allah. Ini hikmah hijrah mungkin kah?
hi bro razali, salam maal hijrah n tahun baru 2009.. thanx singgah2 jenguk2 komen2 blog me yg ittewww..
Salam abang Razali..TQ kerana sudi ziarah blogs saya yang tak seberapa itu...Salam Maal Hijrah 1430H dan Selamat Tahun Baru 2009...Moga abang Razali tidak jemu menulis..saya amat meminatinya. Apapun ku Mohon pada-Nya agar ekonomi negara kita tetap berkembang cam biasa tahun hadapan...kalau nak tempias pun biarlah tempias yang kecil-kecil je....
Catat Ulasan