08 Disember, 2008

Beli Rumah Pun Ada Risiko

Faktor Keselamatan Harus Diutamakan

Tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa tempoh hari bukan sahaja meragut nyawa, tetapi juga harta benda. Saya amat bersimpati dengan mangsa dan ahli-ahli keluarga mereka. Memandangkan laman ini merupakan laman pelaburan, saya akan beri tumpuan kepada harta-benda yang musnah.

Belum sampai satu hari kejadian berlaku, fenomena tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan satu sama lain telah bermula. Banyak pihak yang menyalahkan atau disalahkan, daripada Majlis Perbandaran sehinggalah kepada Syarikat Pemaju dan Kerajaan. Hujan lebat yang berterusan adalah Kuasa Tuhan, tetapi keputusan untuk memajukan kawasan bukit dan tadahan adalah perbuatan manusia.Tindakan membeli rumah atau menghuni di kawasan lereng bukit, kaki bukit atau cerun juga merupakan keputusan manusia.

Jadi kita sebagai pengguna dan pembeli rumah harus berwaspada apabila membuat pelaburan besar seperti membeli rumah. Walau bagaimana hebat sekalipun pemajunya, rumah yang dibina di cerun bukit ada risiko. Kita tidak boleh melawan hukum alam dan kuasa Tuhan. Kita sendiri harus proaktif apabila membeli, dan mengorbankan pemandangan yang indah untuk menjamin keselamatan.

Perlu diingat bahawa sebahagian besar kerugian yang dialami adalah kerugian penuh atau total loss, walaupun rumah masih berdiri lagi. Ini kerana kebanyakan insurans/takaful yang diambil ialah perlindungan kebakaran dan risiko berkaitannya. Untuk mendapatkan perlindungan daripada tanah runtuh dan tanah mendap, rider tambahan perlu diambil. Jadi bayangkan betapa besarnya musibah yang menimpa mangsa, walaupun bagi mereka yang tidak tercedera.

Bagaimana kalau sudah ada rumah di kawasan berisiko? Jawapannya ialah pilih antara dua, iaitu mendapatkan perlindungan insurans/takaful yang lengkap atau menjual rumah tersebut. Walau apa pun, cara paling baik untuk mengurangkan risiko, sama ada kepada nyawa atau harta benda, ialah dengan membuat keputusan yang bijak semasa membeli. Mungkin keselamatan harus diberi keutamaan berbanding suasana dan pemandangan.

Pemaju, Majlis Perbandaran dan Kerajaan akan bertindak berasaskan kepentingan masing-masing, justeru kita harus membuat keputusan untuk menjaga kepentingan diri kita sendiri. Jika kita, sebagai sebuah masyarakat, membuat keputusan kolektif untuk tidak membeli rumah di kawasan berbahaya, kita akan menyekat pembangunan di kawasan tersebut. Tidak perlu menunggu larangan Majlis Perbandaran atau Kerajaan Pusat. Pembangunan tidak akan berlaku tanpa permintaan.

2 ulasan:

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam aidiladha saudara Razali.
Kejadian tanah runtuh membuka semula mata yang terlena daripada kesilapan manusia yang lalu.

Apapun saya bersetuju, pembelilah merupakan badan penguatkuasa yang menentukan rumah itu selamat atau tidak.

Taruhan nyawa sebagai ganti risiko terlalu tinggi nilainya meskipun harga rumah berjuta ringgit.

Semoga mereka yang terbabit dalam kejadian itu dipelihara Allah dan banyak bersabar.

Pok Li berkata...

Salam Aidil Adha. Salam simpati kepada mereka yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh tersebut walaupun pelbagai cadangan dan peraturan telah diadakan selepas kejadian tanah runtuh dikawasan yang sama pada 1993 dahulu, kita masih belum belajar.