17 Disember, 2008

Al-Rajhi Charge Card Guna Prinsip Qard

Al-Rajhi langsung tidak menawarkan kad kredit

Semasa melayari laman web Al-Rajhi, saya dapati institusi kewangan dari Arab Saudi ini hanya menawarkan kad caj (charge card) sahaja, dan tiada kad kredit. Ini berbeza dengan beberapa institusi lain seperti Bank Islam dan Maybank yang masing-masing mempunyai kad kredit patuh syariah sendiri.

Perbezaan antara kad kredit dan kad caj ialah kad kredit membolehkan seseorang berhutang sedangkan bagi kad caj, pelanggan perlu membayar keseluruhan hutang (bukan jumlah minimum) pada tarikh yang ditetapkan. Jika tidak bayar, Al-Rajhi tidak mengenakan kadar faedah, tetapi akan mengenakan kos sebenar untuk mengutip hutang.

Persamaan antara kad kredit dan kad caj ialah kedua-duanya membolehkan pengguna berbelanja dulu dan mendapat tempoh tanpa faedah maksimum 50-55 hari sehinggalah tarikh pembayaran perlu dibuat. Jadi bank akan membiayai perbelanjaan pengguna sebelum pengguna membayar balik kepada bank. Tetapi dengan kad kredit, pengguna boleh berhutang lebih lama dengan membayar kadar faedah atau kadar keuntungan.

Tetapi satu perbezaan ketara antara Kad Caj Al-Rajhi dan Kad Kredit Islam seperti Kad Ikhwan Maybank dan Kad Kredit Bank Islam ialah konsep yang digunakan. Kad Caj Al-Rajhi dilaksanakan berasaskan konsep Qard atau pinjaman yang perlu dibayar balik jumlah pokoknya sahaja sedangkan kad kredit Islam menggunakan konsep Bai Al-Inah iaitu beli dan jual balik sesuatu produk, yang mengandungi unsur helah untuk mengelakkan riba.

Hakikat bahawa Al-Rajhi tidak membenarkan kontrak seperti Al-Inah dan tidak menawarkan sebarang kad kredit menunjukkan nilai-nilai yang dipegang oleh institusi ini. Sebagai pengguna, sudah tentulah lebih baik kita menggunakan kad caj berbanding kad kredit kerana memastikan kita tidak behutang dan berbelanja mengikut kemampuan kita.

Yurannya ialah RM70 setahun dan syarat gaji minimumnya ialah RM3,000 dan bukannya RM1,500 seperti banyak institusi pengeluar kad kredit lain. Ini memastikan mereka yang benar-benar mampu sahaja boleh mendapatkan kad ini.

Umumnya kad ini pasti kurang popular kerana ciri-ciri seperti tidak boleh berhutang lebih daripada tempoh yang ditetapkan dan ketiadaan mata ganjaran. Mungkin yang lebih penting ialah nilai yang ditekankan oleh institusi ini dan masalah yang dapat dielakkan jika menggunakan kad caj berbanding kad kredit. Terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan.

4 ulasan:

ZulBM berkata...

Kebanyakan drpd pelanggan2 kami, kad al-rajhi adalah yg terbaik utk digunakan kerana secara tidak langsung pengguna tidak akan menggunakannya dgn sewenang2nya. Sebabnya mereka perlu membayar balik kesemua yg dipakai dalam tempoh 50-55 hari.

http://www.asasteguh.com

Pok Li berkata...

Terima kasih kerana info

el-ilmy.net berkata...

Assalamu'alaikum.

Saya hanya ingin menggunakan kad untuk belian aplikasi untuk iPhone, iPad dan Android saya. Tidak boleh tidak, transaksi memerlukan pengguna mendaftarkan kad untuk Apple dan Google membuat caj kepada belian aplikasi.

Adakah Kad Caj Al-Rajhi boleh digunakan untuk belian aplikasi di Apple App Store dan Android Market?

Jika boleh, saya ingin dapatkan kad ini.

Unknown berkata...

Walaikumsalam

Rasanya boleh...tetapi sila confirm dengan Al-Rajhi dulu sebelum membuat permohonan.