07 Ogos, 2015

11 Petua Tom Peters Untuk Hadapi Kegawatan

Setahun lepas saya ada menulis posting tentang petua yang diberikan Tom Peters untuk menghadapi keadaan sukar, walaupun waktu itu tidak gawat. Sekarang situasi ekonomi kian meruncing, saya rasa wajar saya terbitkan semula dan update posting tersebut.

Nampaknya Malaysia kini sedang dilanda situasi mencabar yang boleh dianggap sebagai perfect storm di mana harga minyak dan komoditi jatuh, nilai Ringgit merosot dan keadaan politik negara semakin membimbangkan.

Selain syarikat yang mengenakan 'hiring freeze', banyak juga perniagaan yang tutup kedai, mengurangkan pekerja atau memindahkan operasi ke tempat lain.

Jika anda termasuk dalam golongan ini, berikut adalah petua berguna yang diberikan oleh Tom Peters untuk mengharungi masa-masa sukar yang dipetik daripada bukunya, The Little Big Things: 163 Ways to Pursue Excellence.

  1. Datang kerja lebih awal, balik kerja lebih lewat dan bekerja lebih keras.
  2. Sanggup kerja untuk gaji lebih rendah, walaupun anda berat hati menerimanya.
  3. Anda menerima lebih banyak tugasan atau projek secara sukarela.
  4. Anda sentiasa cuba bersikap positif dan menampilkan wajah ceria walaupun di dalam hati anda tidak gembira.
  5. Anda bersedia untuk melakukan sebaik mungkin dalam kerja dan perniagaan dan bersyukur dengan pendapatan yang ada sekarang.
  6. Anda membina jaringan secara agresif (networking) dan sentiasa berhubung dengan semua kenalan selain selalu bergaul dengan orang yang lebih muda.
  7. Anda ringkaskan hidup anda dan ketepikan segala kemewahan peribadi.
  8. Anda meningkatkan piawaian kerja ke tahap cemerlang, dan bersikap obsesi untuk memperbaiki segala kesilapan serta memberi perhatian kepada butiran kecil.
  9. Anda belajar kemahiran atau ilmu baru dan juga sanggup mengajar orang lain ilmu lama yang anda ada.
  10. Ucapkan terima kasih jika kejayaan dicapai dan bertanggungjawab atas kegagalan, sambil bersikap baik hati dan prihatin terhadap orang lain.
  11. Anda terima kegagalan dan cuba dan cuba lagi, sambil mengelakkan orang yang bersikap negatif.
Menurut beliau, perwatakan seseorang dinilai berasaskan tindak balasnya terhadap keadaan sukar. Inilah masanya untuk menguatkan tekad dan cuba mengubah nasib sendiri.
 
Akhir sekali, selepas melakukan semua di atas, beliau mencadangkan agar kita berdoa!
 
Nota: Satu perkara menarik ialah cadangannnya untuk bergaul dengan orang muda. Ini amat relevan kepada mereka yang sudah berusia 40 dan ke atas kerana ada kemungkinan kita perlu bekerja untuk atau dengan orang yang lebih muda. Jika kita enggan menerima, maka semakin meningkat usia, semakin sukar untuk menyesuaikan diri.
 
Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

05 Ogos, 2015

Apa Pendapat Risalah Labur Niaga Tentang Situasi Politik Semasa?

Susah nak cakap. Kalau cakap takut kena tangkap. Tetapi situasi telah mencapai tahap yang hampir di luar alam nyata. Bagi saya senang saja, adakah duit masuk dalam akaun peribadi? Jika jawapannya  ya, persoalan tentang sumber duit itu menjadi isu sampingan sahaja.

Ini kerana terdapat implikasi pengubahan wang haram, implikasi cukai, implikasi pengaruh sumber pemberi dana terhadap penjawat awam, implikasi kepada siapa dana diberikan dan implikasi cukai terhadap penerima dana tersebut.

Tidak ada individu atau entiti di Malaysia yang mampu memberikan sumbangan sebanyak itu. Jika sumbangan sebegitu diberikan, ia sejumlah besar daripada nilai bersih orang dan syarikat terbesar di Malaysia. Sumbernya mungkin (atau pasti menurut video bekas TPM) dari luar negara.

Derma politik adalah perkara biasa. Perkara luar biasa ialah ia masuk dalam akaun sendiri. Justifkasi bahawa ia derma politik tidak boleh diguna pakai. Jika masuk dalam akaun peribadi, tiada akauntabiliti terhadap harta tersebut. 

Siapa yang boleh sahkan semuanya digunakan untuk tujuan yang dinyatakan.  Tiada siapa yang audit. Bekas TPM (dan mungkin ahli MT lain) pun tak tahu langsung mengenainya.

Malah, memandangkan tiada siapa yang tahu, terdapat potensi untuk melanggar undang-undang atau had perbelanjaan pilihan raya kerana duit ini boleh diberi tanpa perlu diperakaunkan.

Cabar-mencabar untuk mendedahkan sumber dana di kalangan ahli politik sekarang adalah perkara sampingan, kerana dana tersebut masuk dalam akaun peribadi. Jika akaun tersebut masuk akaun parti, barulah soal sumber dana menentukan sama ada wang tersebut sah atau tidak.

Saya ada mendengar seorang tokoh Islam agak terkenal di Amerika Syarikat Sheikh Yasir Qadhi berkata, di Amerika, anda boleh menyumbang untuk tujuan politik tertentu dengan memasukkan wang dalam akaun organisasi politik. Itu dinamakan melobi. 

Tetapi jika anda memasukkan duit dalam akaun peribadi, itu dinamakan rasuah. Di Malaysia saya tak pasti, tapi berasaskan apa yang saya baca, dan apa yang dimaklumkan oleh penjawat awam, konsepnya lebih kurang sama. 

Persoalannya ialah jika penjawat awam berjawatan kecil pun ditegah daripada menerima hadiah daripada orang ramai oleh SPRM, bagaimana pula dengan kes penjawat awam tertinggi?

Tetapi yang paling sukar diterima ialah pertahanan 'derma politik' yang digunakan sekarang. Ini merupakan satu afterthought. Alasan difikirkan hanya selepas jawapan asal telah disanggah dan apa yang didakwa terbukti benar. Daripada konspirasi asing kini menjadi konspirasi dalaman pula.

Ini belum lagi masuk kes 1MDB. Itu satu lagi isu berat dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab. Baca posting blog Inggeris saya mengenai perkara tersebut di sini. Itupun yang disentuh adalah perkara yang diketahui sahaja.  

Isu 1MDB sekarang sudah terkebelakang berbanding kes derma tetapi kesannya lebih besar. Malangnya semua penyiasatan tertangguh atau sengaja ditangguh. 

PAC telah dicantas, MACC sedang ditekan, Bank Negara senyap seribu bahasa, AG dah ditukar, malah ada pegawai atasan Polis pun digantikan.

Permainan ini lebih jelas lagi apabila sampai sekarang bekas CEO dan CEO 1MDB belum dapat disoal siasat. Bila agaknya mereka akan muncul?

Masalahnya ialah tiada siapa yang sanggup buka mulut untuk membuat pendedahan berani mati yang menimbulkan risiko kepada dirinya demi kepentingan rakyat. 

Semua senyap sahaja, atau mungkin menunggu masa. Saya pun tak tahu. Saya faham kerana nak tulis posting seperti ini pun saya fikir beberapa kali.

Situasi on the ground di kalangan rakyat nampak seperti kebanyakan orang tersangat marah, dan pihak yang pada awalnya cuba mempertahankan pula kini diam sahaja. Rasanya kemarahan sukar dibendung lagi.

Malangnya rakyat tiada jalan untuk bertindak kerana pilihan raya sekurang-kurangnya dua tahun lagi, bukannya esok seperti kata Ahmad Maslan. Nampaknya media sosial sahajalah menjadi wadah menunjukkan rasa tidak puas hati. 

Terdapat pelbagai pandangan yang bernas tentang isu semasa daripada tokoh yang lantang bersuara. Kita bernasib baik kerana mereka berani berkata.

Dari sudut agama, saya rasa pandangan Dr Maza paling relevan. Manakala dari segi soalan yang bijak dan patut dijawab, rujuk kepada soalan anak MB Johor kepada Perdana Menteri kita. Dari segi cukai, baca pandangan terkini Dr Mahathir.

Untuk kefahaman lanjut tentang isu 1MDB, sila rujuk pendedahan The Edge mengenainya. Manakala Rafizi Ramli dan Tony Pua adalah ahli politik yang paling berwibawa untuk mengupas isu kewangan, walaupun perlu ditapis terlebih dahulu. Semua sumber di atas adalah credible di mata saya.

Walau apa pun, saya tabik hormat kepada Tan Sri Muhyiddin kerana berani menyuarakan kebenaran walaupun kosnya ialah jawatan beliau. Mungkin apa yang diperlukan ialah satu lagi suara besar untuk melakukannya.

Bagi saya, situasi pemimpin tertinggi adalah untenable di mata rakyat. Kalau keadaan semasa dilihat dari sudut syarikat, beliau bukan sahaja mengalami 'defisit keyakinan' (kata beliau sendiri), tetapi lebih teruk lagi mempunyai nilai bersih yang negatif. Mirip sebuah syarikat PN17.

Tetapi hakikatnya satu soalan (dengan nada macam tak percaya) yang diajukan kepada DSN oleh TSM dalam video perbualan antara TSM dan Dato Mukhriz merumuskan segalanya..."Why did you put into your personal account?"

Bagi saya di situlah terletak kuncinya.

Credible = boleh dipercayai
Untenable = tidak boleh dipertahankan lagi

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

28 Julai, 2015

Keadaan Di China Tunjukkan Bahawa Kerajaan Tak Boleh Kawal Pasaran Dalam Jangka Panjang

Semalam Indeks Komposit Shanghai telah jatuh sebanyak 8.5 peratus, satu junaman yang agak membimbangkan. Tetapi jika kita membandingkan paras keuntungan dan harga saham di China, kejatuhan ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

Bulan lepas saya telah menulis tentang keadaan pasaran saham di China dalam posting Berwaspada Terhadap Pasaran China dan di blog peribadi saya, Irrational Exuberance Returns.

Selepas berlaku kejatuhan pertama beberapa minggu lepas, Kerajaan China telah cuba menstabilkan pasaran dan mengenakan langkah tertentu yang sebenarnya menyelindungi keadaan sebenar.

Namun semalam, pasaran jatuh kembali, dan nampak seperti unsur panik berlaku. Terdapat kemungkinan kerajaan akan kembali memasuki pasaran dan menstabilkan harga tetapi dalam jangka panjang ini tidak dapat dilakukan untuk tempoh yang terlalu lama.

Indeks Komposit Shanghai

Walau apa pun yang dilakukan, untung syarikat tetap untung syarikat dan dalam jangka panjang harga akan mencerminkan paras untung.

Amat penting bagi kita untuk belajar daripada pengajaran di China. Kita tahu bahawa saham tidak boleh berada lebih tinggi daripada paras yang munasabah terlalu lama dan begitu juga ia tidak boleh berada jauh di bawah paras puratanya untuk tempoh yang terlalu panjang.

Dalam keadaan euforia keterlaluan, lebih baik kita jauhkan diri daripada pasaran, dalam situasi terlalu pesimistik, itulah masanya kita mendekati pasaran.

Mengapa kita perlu bimbang terhadap China? Ia ekonomi yang jauh lebih besar dari Greece dan kejatuhan pasaran mungkin menjejaskan keyakinan dan secara tidak langsung menimbulkan kesan negatif kepada ekonomi dan juga pasaran saham lain di Asia termasuk Malaysia.

Di samping itu, China ialah salah satu rakan dagangan utama Malaysia dan juga pengguna komoditi terbesar, termasuk minyak dan kelapa sawit. Keadaan di China akan mempengaruhi harga kedua-dua komoditi tersebut.

Kemungkinan besar anda tidak mempunyai apa-apa pelaburan di China tetapi jangan lepaskan peluang untuk belajar daripada apa yang berlaku di sana.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

18 Julai, 2015

9 Cara Untuk Memanjat Tangga Kerjaya

Tidak ada cara yang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam dunia kerjaya melainkan menjadikan diri anda lebih berharga kepada majikan.

Apabila kemahiran anda mendapat permintaan yang tinggi, gaji anda sudah tentu meningkat. Berikut adalah beberapa cara untuk menjadikan diri anda lebih berharga.
  1. Membina kepakaran lebih tinggi daripada orang lain.
  2. Mempunyai kemahiran unik.
  3. Terus menambah baik keupayaan dengan mengikuti kursus atau bengkel.
  4. Melakukan lebih daripada yang diminta
  5. Membina jaringan yang luas (networking)
  6. Bijak menyelesaikan masalah
  7. Pandai bercakap di khalayak umum dan berkomunikasi
  8. Menyiapkan tugasan tepat pada masanya
  9. Jujur dan amanah
Dunia hari ini lebih berasaskan prestasi. Ganjaran anda sedikit sebanyak bergantung kepada berapa banyak yang anda sumbang kepada keuntungan syarikat.

Sebab utama pekerja yang baru mendapat ijazah dibayar gaji rendah ialah kerana belum ada kemahiran kerja lagi dan masih belum membuktikan diri. Sumbangan mereka kepada keuntungan syarikat juga kecil.
 
Pada beberapa tahun pertama kerjaya, jangan terlalu mengutamakan gaji tetapi sebaliknya lihat kemahiran apa yang boleh dibina daripada tugas anda.

Di samping itu, cuba bina jaringan sejak dari peringkat awal lagi kerana ramai orang yang mendapat kerja berasaskan jaringan dan recommendation, terutamanya jawatan peringkat atasan.

Jangan beri tumpuan pada gaji, sebaliknya fokus pada nilai yang dapat anda berikan, kerana inilah yang akan menetukan kejayaan anda dalam jangka panjang.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Diharapkan pembaca memandu dengan selamat sepanjang musim perayaan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.
 

09 Julai, 2015

Prestasi Dana Ekuiti Syariah Sehingga Separuh Pertama 2015

Kita alihkan tumpuan sebentar daripada segala drama politik tempatan dan masalah kewangan dan pasaran saham yang sedang berlaku di Greece dan China untuk meninjau prestasi unit amanah ekuiti patuh Syariah Malaysia sehingga 30 Jun 2015.

Selepas kenaikan ketara sepanjang tempoh 5 - 6 tahun lepas, kita sekarang memasuki fasa untuk jangka masa 3 bulan hingga setahun akan datang di mana kita akan melihat dana mana pula akan lebih menyerlah dalam pasaran yang mendatar atau menurun.

Berikut adalah penarafan 20 unit amanah ekuiti patuh syariah terbaik untuk tempoh antara 6 bulan hingga 10 tahun berasaskan data Morningstar sehingga 30 Jun 2015. (Klik untuk besarkan)

Prestasi 6 bulan

Prestasi 1 tahun

Prestasi 3 tahun

Prestasi 5 tahun

Prestasi 10 tahun

Satu perkara yang sukar diramalkan ialah dana mana yang akan mencatatkan prestasi kukuh dalam tempoh yang mendatang, lebih-lebih lagi kerana situasi yang dihadapi dalam masa terdekat mungkin berbeza daripada yang dialami sejak 1 - 10 tahun lepas.

Kita lihat di atas bahawa ada dana yang mencatatkan prestasi jauh lebih baik sejak 5 tahun lepas berbanding 10 tahun, mungkin kerana pertukaran pengurusan dana atau strategi, tetapi kita sebagai pelabur individu sukar meramalkan perkara sebegini.

Cara terbaik ialah melihat dana-dana yang telah mencatatkan prestasi mantap dalam tempoh 3 - 10 tahun lepas dan berada di dalam senarai antara yang teratas dalam tempoh ini.  Prestasi jangka panjang memberikan gambaran yang lebih tepat tentang pengurusan dana berbanding prestasi jangka pendek.

Berasaskan semua tempoh pelaburan di atas, seorang pelabur unit amanah boleh mencatatkan pulangan yang memuaskan dalam jangka panjang jika bijak memilih salah satu daripada dana yang kukuh.

Namun begitu, senarai di atas hanya menunjukkan 20 dana terbaik, dan jika tersalah pilih, ada potensi bagi pelabur menerima prestasi yang tidak setimpal dengan pulangan yang dicatatkan oleh dana-dana di atas. Seperti pelaburan lain, sedikit penyelidikan diperlukan untuk mengelakkan kesilapan.

Nota:  Bagi saya, jika anda ada dana untuk dilaburkan dan mempunyai jangka masa pelaburan antara 3 - 10 tahun, tempoh kelemahan pasaran ini ialah masa yang amat sesuai untuk beli.  Jika ada jumlah besar untuk dilaburkan, pecahkan kepada 5 - 10 pelaburan secara berkala untuk memastikan tidak membuat kesilapan dari segi timing.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.