28 Julai, 2015

Keadaan Di China Tunjukkan Bahawa Kerajaan Tak Boleh Kawal Pasaran Dalam Jangka Panjang

Semalam Indeks Komposit Shanghai telah jatuh sebanyak 8.5 peratus, satu junaman yang agak membimbangkan. Tetapi jika kita membandingkan paras keuntungan dan harga saham di China, kejatuhan ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

Bulan lepas saya telah menulis tentang keadaan pasaran saham di China dalam posting Berwaspada Terhadap Pasaran China dan di blog peribadi saya, Irrational Exuberance Returns.

Selepas berlaku kejatuhan pertama beberapa minggu lepas, Kerajaan China telah cuba menstabilkan pasaran dan mengenakan langkah tertentu yang sebenarnya menyelindungi keadaan sebenar.

Namun semalam, pasaran jatuh kembali, dan nampak seperti unsur panik berlaku. Terdapat kemungkinan kerajaan akan kembali memasuki pasaran dan menstabilkan harga tetapi dalam jangka panjang ini tidak dapat dilakukan untuk tempoh yang terlalu lama.

Indeks Komposit Shanghai

Walau apa pun yang dilakukan, untung syarikat tetap untung syarikat dan dalam jangka panjang harga akan mencerminkan paras untung.

Amat penting bagi kita untuk belajar daripada pengajaran di China. Kita tahu bahawa saham tidak boleh berada lebih tinggi daripada paras yang munasabah terlalu lama dan begitu juga ia tidak boleh berada jauh di bawah paras puratanya untuk tempoh yang terlalu panjang.

Dalam keadaan euforia keterlaluan, lebih baik kita jauhkan diri daripada pasaran, dalam situasi terlalu pesimistik, itulah masanya kita mendekati pasaran.

Mengapa kita perlu bimbang terhadap China? Ia ekonomi yang jauh lebih besar dari Greece dan kejatuhan pasaran mungkin menjejaskan keyakinan dan secara tidak langsung menimbulkan kesan negatif kepada ekonomi dan juga pasaran saham lain di Asia termasuk Malaysia.

Di samping itu, China ialah salah satu rakan dagangan utama Malaysia dan juga pengguna komoditi terbesar, termasuk minyak dan kelapa sawit. Keadaan di China akan mempengaruhi harga kedua-dua komoditi tersebut.

Kemungkinan besar anda tidak mempunyai apa-apa pelaburan di China tetapi jangan lepaskan peluang untuk belajar daripada apa yang berlaku di sana.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: