06 Oktober, 2015

Kesan Kadar Faedah Fed AS Terhadap Pasaran

Anda mungkin pernah pernah terdengar tentang QE (Quantitative Easing) atau Pengembangan Kuantitatif, dan juga membaca tentang penantian pelabur pada masa ini tentang bila Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menaikkan kadar faedah,

Ramai yang tertanya-tanya mengapa sibuk sangat dengan keputusan Fed yang jauh di Amerika dan apakah kesannya terhadap pasaran di Malaysia?

Sebenarnya dasar kadar faedah di Amerika Syarikat bukan sahaja mempunyai kesan di sana, tetapi di seluruh dunia, memandangkan Amerika Syarikat masih lagi sebuah superpower ekonomi dunia.

Disebabkan krisis ekonomi pada 2008, Fed telah menurunkan kadar faedah ke paras hampir sifar. dan melaksankan proses pembelian bon. Tujuannya ialah untuk merangsang ekonomi. Pada kadar faedah rendah, kos pembiayaan adalah rendah dan ini menggalakkan aktiviti perniagaan, perbelanjaan modal dan pelaburan.

Namun kadar rendah untuk terlalu lama boleh menyebabkan ketakseimbangan, di mana pinjaman murah yang diambil digunakan untuk aktiviti berisiko tinggi dan tidak produktif.

Sebaliknya apabila ekonomi atau kenaikan ketara pasaran berlaku, kadar faedah patut dinaikkan sebagai langkah 'cool down'.

Beberapa penganalisis dan pelabur (termasuk Carl Icahn) menganggap Fed sepatutnya telah menaikkan kadar faedah pada awal tahun ini daripada membiarkan ketidakseimbangan berlaku sehingga tersepit dengan keadaan semasa di mana ekonomi global kurang baik sedangkan mereka terpaksa menaikkan kadar faedah.

Manakala penganalisis dan pelabur lain pula berpendapat dalam keadaan ekonomi global sekarang, Fed patut membiarkan kadar faedah di tahap semasa untuk terus merangsang ekonomi.

Cuba lihat kesan kadar faedah rendah dalam dua graf di bawah:

Pergerakan Kadar Faedah AS
www.tradingeconomics.com

Indeks S&P 500
Yahoo Finance

Anda boleh melihat dengan jelas bahawa kadar faedah sifar dalam tempoh antara 2009 hingga 2015 telah mencetus kenaikan harga saham yang tertinggi dalam sejarah.

Bukan itu sahaja, kesan kadar faedah rendah ini telah merangsang kenaikan harga hartanah di pasaran negara-negara sedang membangun dan juga aliran masuk wang asing ke dalam pasaran sahamnya .

Sebab itulah ramai pelabur agak bimbang dengan sebarang bentuk kenaikan kadar faedah, dan penurunan indeks tempoh hari mencerminkan ramalan bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah akhirnya.

Sebagai pelabur, kita harap Fed membuat keputusan pantas untuk mengakhiri ketidakpastian, iaitu sama ada mengekalkan kadar untuk tempoh tertentu atau menaikkannya.

Ini kerana walaupun kenaikan kadar berlaku dan pasaran terjejas buat sementara, sekurang-kurangnya unsur ketidakpastian lenyap dan ketakseimbangan ekonomi boleh diperbetulkan dan pelabur menyesuaikan diri kepada keadaan baru.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: