16 Oktober, 2015

Apakah Kriteria Paling Penting Dalam Penilaian Saham?

Pada pendapat saya, kriteria paling penting ialah untung dan pertumbuhan untung. Ini bermakna untung masa kini dan juga keupayaan meningkatkan untung pada masa depan.

Apabila menjalankan perniagaan sendiri dan melabur dalam sesuatu perniagaan, anda berniaga atau melabur kerana anda ingin meraih untung, yang diharapkan akan bertambah pada masa depan. Maka kriteria utama pelaburan saham seharusnya begitu.

Berapakah untung semasa syarikat berbanding harga semasanya dan adakah syarikat dijangka akan meningkatkan untungnya pada masa depan, iaitu lebih kurang 5 tahun akan datang? Inilah soalan utama yang patut dijawab dalam penyelidikan anda.

Sebagai pelabur kecil, angka untung yang patut diperhatikan ialah EPS atau pendapatan sesaham.  EPS ini boleh dibandingkan dengan harga saham menerusi P/E ratio iaitu Harga Saham/Pendapatan Sesaham.

Lazimnya seorang pelabur berasaskan nilai atau value investor akan mengintai syarikat kukuh dengan P/E yang rendah tetapi P/E yang rendah tidak berguna jika untung syarikat akan mendatar atau turun dalam tempoh mendatang.

Dalam keadaan untung yang menurun, harga saham lazimnya tidak naik sehinggalah tanda-tanda pemulihan untung telah dilihat.

Syarikat yang mengekalkan untung mereka dalam keadaan ekonomi kurang baik juga mampu mengekalkan harga sahamnya walaupun pasaran saham secara keseluruhan jatuh.

Berikut adalah dua contoh syarikat yang langsung tidak terjejas oleh kejatuhan pasaran semasa disebabkan untung yang kukuh, iaitu MFCB dan Ajiya..


Bursa Malaysia

Perlu diingat bahawa ada dua faktor di sini, untung dan pertumbuhan untung. Ini bermakna jika syarikat tersebut mencatatkan untung hebat tahun ini kerana faktor luar biasa (contohnya kejatuhan Ringgit atau faktor lain) dan harganya sudah naik tinggi, jangan pula terburu-buru membeli pada harga tinggi itu.

Pembelian patut dibuat sebelum itu. Cuba bayangkan jika senario sebaliknya berlaku, adakah syarikat akan menambahkan untung pada masa depan jika Ringgit kukuh kembali?

Situasi pelaburan yang selalu saya cari ialah syarikat yang telah mencatatkan untung mantap dalam tempah 5 -10 tahun lepas, tetapi mengalami masalah dan untung menjunam pada tahun ini, menyebabkan kejatuhan harga saham.

Harga sahamnya akan meningkat kembali dan memberi pulangan lumayan kepada pelabur jika syarikat ini dapat mengembalikan untung ke tahap purata dan seterusnya meningkatkan lagi untung apabila ekonomi mula berkembang pesat.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: