30 September, 2015

Meninjau dan Menantikan Tanda Kestabilan

Ekonomi global sedang menghadapi suasana ketidakpastian yang ketara. Kesannya dapat dilihat daripada kejatuhan harga komoditi dan juga pertumbuhan ekonomi global yang kurang baik.

Sebagai negara pengeluar komoditi, Malaysia turut mengalami kesan yang agak besar disebabkan oleh faktor global dan tempatan. Dalam situasi semasa yang agak runcing, bilakah ekonomi akan stabil?

Pendapat pakar berbeza-beza, ada yang kata keadaan akan menjadi jauh lebih buruk di peringkat global dan tempatan sebelum pulih, manakala yang lain pula menganggap keadaan akan bertambah baik menjelang akhir tahun.

Ramai pelabur sedang menunggu masa sesuai untuk melabur kembali dan hanya akan masuk semula ke pasaran apabila pemulihan jelas dilihat dan bukannya mengambil risiko pada waktu ini.

Amat sukar untuk menentukan bila ekonomi akan pulih dan hampir mustahil untuk meramalkan pasaran. Tetapi bagi yang sedang menunggu, mereka boleh meninjau dan memerhatikan faktor-faktor berikut:

Harga Minyak 

www.oil-price.net

Apabila harga minyak telah stabil pada harga di sekitar RM50 - RM60, barulah pemulihan boleh berlaku dengan kukuh. Harga minyak amat penting bagi Malaysia kerana banyak syarikat tempatan terlibat dalam industri minyak dan gas dan sektor berkaitannya.

Di samping itu, hasil kerajaan juga bergantung kepada minyak selain sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kedudukan mata wang negara. Walaupun, usaha dilakukan unutk mempelbagaikan ekonomi, negara masih bergantung kepada minyak.

Kadar faedah Amerika Syarikat

www.tradingeconomics.com

Baru-baru ini Rizab Persekutuan AS (Fed) telah melengahkan kenaikan kadar faedah. Ini hanya akan memanjangkan ketidakpastian. Apabila Fed benar-benar menaikkan kadar faedah, maka kesan awalnya pasti dirasai. Seteruk mana kita tidak tahu, kerana membabitkan pasaran global.

Jika dilihat dalam graf, selepas sekian lama berada di paras di bawah normal, kenaikan pasti mencetus ketidakpastian. Selepas  ketidakstabilan ini berlalu barulah kita boleh mula melihat pemulihan berlaku.

Situasi Politik Malaysia

Keadaan ini adalah yang paling sukar diduga kerana pilihan raya Umno telah dilengahkan dan pilihan raya umum kemungkinan besar diadakan hanya dalam tempoh dua tahun lagi. Ketidakpastian selama dua tahun adalah satu tempoh yang agak lama.

Kemerosotan Mata Wang

Yahoo Finance

Sebenarnya keadaan mata wang hanya mencerminkan situasi lain yang wujud dan kejatuhan mata wang Malaysia menunjukkan bahawa harga minyak jatuh, keadaan ekonomi global dan situasi politik tempatan kurang positif dan pelabur asing menjual pelaburan mereka di Malaysia untuk keluar dari pasaran.

Sebenarnya sebahagian besar pasaran negara sedang membangun jatuh, termasuk Australia, tetapi mata wang kita antara yang paling teruk merosot kerana kebimbangan pelabur terhadap situasi politik.

Keadaan Ekonomi China

china-trade-research.hktdc.com

China ialah rakan dagangan Malaysia yang besar, dan keadaan ekonomi Malaysia sedikit sebanyak bergantung kepada ekonomi China. Apabila China kembali pesat membangun maka Malaysia pun akan kembali menikmati manfaatnya.

Kesimpulannya

Nampak seperti situasi akan berlarutan untuk tempoh yang agak berpanjangan tetapi begitulah rasanya dalam apabila keadaan ekonomi kurang baik. Pemulihan akan berlaku tanpa diduga, iaitu apabila semua orang masih dalam mood pemikiran negatif.

Saya juga rasa keadaan akan memerlukan masa untuk pulih. Tetapi seorang value investor mesti bersiap sedia untuk masuk dalam kegawatan ini, walaupun terdapat potensi penurunan lanjut dalam tempoh terdekat,

Matlamatnya ialah untuk memastikan portfolio beliau berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan.

Persoalannya bolehkah pasaran pulih dengan barisan kepimpinan yang sama?

Memang boleh selagi pasaran global dan harga minyak mula stabil dan pelabur asing kembali. Pelabur asing akan kembali mereka boleh buat duit, tidak kira situasi politik semasa.

Cuma sukar dipastikan sama ada keyakinan dan pemulihan penuh akan dapat dicapai sebelum pilihan raya yang akan datang.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: