26 September, 2015

Melabur Dalam Dana Unit Amanah Juga Boleh Rugi

Baru-baru ini saya mula terdengar rungutan beberapa orang yang membeli dana unit amanah dan mengalami kerugian. Mereka agak terperanjat bahawa sesuatu dana unit amanah yang mencatatkan prestasi baik tahun demi tahun tiba-tiba boleh menjunam.

Rungutan ini mungkin timbul sebab:
  1. Tidak menimba sedikit ilmu tentang ciri sebenar dana unit amanah
  2. Tidak diberitahu potensi kerugian oleh ejen unit amanah/penasihat kewangan
  3. Kenaikan pasaran saham selama 5-6 tahun telah melalaikan ramai orang ramai tentang prestasi dana ekuiti unit amanah.
Pertama sekali terdapat pelbagai dana unit amanah, termasuk dana ekuiti, dana bon/sukuk, dana bercampur dan dana instrumen pasaran wang. Setiap dana ini mempunyai sub-kategori masing-masing, dan mempunyai ciri dan prestasi berbeza dalam keadaan pasaran berbeza.

Klik label Unit Amanah untuk maklumat dan ilmu lanjut tentang pelaburan unit amanah. Persoalannya ialah bagaimana kerugian boleh berlaku?
  1. Bagi dana ekuiti, bon dan bercampur, pelabur membeli dalam jumlah besar di kemuncak pasaran saham atau bon, dan kemudian pasaran jatuh menjunam.
  2. Membeli dana yang pengurusannya gagal mencatatkan prestasi yang baik.
  3. Kerap jual beli dalam jangka masa singkat menyebabkan yuran urus niaga yang tinggi mengatasi untung yang diperolehi.
Perlu diingat juga bahawa kos membeli unit amanah melalui ejen di Malaysia adalah tinggi berbanding negara seperti AS, justeru sebarang kerugian akan menjadi lebih teruk dalam jangka masa yang singkat.

Di bawah ialah prestasi beberapa unit amanah  terbaik dalam kategori ekuiti patuh syarikat untuk tempoh 9 bulan, 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun. Susunannya ialah mengikut prestasi 5 tahun. 

Kita dapat lihat bahawa untuk tempoh satu tahun, banyak yang rugi dan ini merupakan senarai di peringkat atas sahaja. Pulangan dana berprestasi sederhana dan lemah lebih rendah lagi. Bagaimanapun pulangan dalam jangka panjang tetap utuh.

 my.morningstar.com

Apa yang perlu kita sedar ialah risiko kerugian lebih tinggi apabila kita melabur semua modal kita sekaligus. Jika timiing kita salah, kita mungkin rugi untuk jangka masa pendek hingga sederhana.

Tetapi jika timing kita tepat, iaitu beli di kemuncak kegawatan, dan pasaran kembali pulih, kita berpotensi mencapai untung yang lumayan.

Sebaliknya masalah ini tidak dialami oleh mereka yang melabur jumlah kecil tetapi secara bulanan. Kaedah ini dinamakan Dollar Cost Averaging. Pulangan mereka lebih stabil, walaupun tidak setinggi jika membeli secara sekaligus tetapi dengan timing yang tepat.

Secara peribadi, jika saya ada jumlah besar untuk dilaburkan, saya akan bahagikan kepada 5 - 10 dan melabur setiap bulan atau dua bulan sekali untuk mengelakkan risiko timing,

Apa pun, anda perlu sedar bahawa pelaburan dalam unit amanah boleh menghasilkan pulangan terkompaun yang memuaskan, tetapi ada masanya nilai dana akan turun, bergantung kepada keadaan pasaran.

Sebab itulah, sedikit ilmu diperlukan sebelum membuat pelaburan dalam apa jua instrumen pelaburan untuk mengelakkan kekesalan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di  razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: