Banyak yang nampak tak kena dengan transaksi tersebut dan selepas maklumat tambahan mula diperolehi, apa yang nampak tak kena memang sah tak kena.
Tetapi apabila menilai sesuatu, kita perlukan 'sense of balance'. Saya menulis artikel ini pertamanya kerana kritikan yang diberikan terhadap transaksi ini mungkin telah sampai ke tahap keterlaluan.
Kedua, dan lebih penting lagi, sekarang ada banyak pihak mengajak anda mengeluarkan semua wang simpanan dalam TH, atau hanya menyimpan wang yang cukup untuk layak menunaikan haji.
Ada pihak lain pula cuba mengambil kesempatan dan meminta anda memindahkan wang anda ke situ dan ke sini, yang dari kaca mata saya, agak meragukan, apabila diambil kira faktor risk reward.
Terlebih dahulu, kita lihat dulu mengapa transaksi ini menimbulkan syak wasangka:
- 1MDB dapat tanah pada harga sangat murah, dan jual pada harga mahal.
- Sekurang-kurangnya 4 pegawai atasan TH turut ada peranan dalam 1MDB.
- TH mungkin boleh mendapatkan harga lebih murah kerana 1MDB terdeask dan bayaran dibuat secara tunai.
- Pengerusi mulanya menafikan dan kemudian CEO mengiakan. Nampak seperti Pengerusi tak tahu apa-apa tentang perkara ini.
Hakikatnya, isu ini tetap merupakan isu 1MDB yang terus menghantui negara dan tindakan TH melibatkan diri untuk membeli tanah tersebut kurang bijak kerana masalah 1MDB masih hangat dan juga kerana pegawai atasannya turut memainkan peranan dalam 1MDB.
Bagaimanapun, tuduhan bahawa TH akan rugi dan menyelewengkan wang rakyat adalah tuduhan yang amat berat dan mungkin tidak wajar. Ini kerana tanah tersebut ialah 'prime land' dan ada kemungkinan TH boleh meraih untung yang memuaskan dengan membangunkan tanah tersebut.
Jika tiada pembangunan dilakukan pun, tanah boleh dijual semula dan kalau pun rugi, kerugian tersebut tidak mungkin menjejaskan untung keseluruhan TH.
Malah, keuntungan kecil mungkin dicapai jika dilihat daripada cadangan untuk menjual semula tanah tersebut oleh Lembaga TH selepas menghadapi tekanan hebat akibat kontroversi ini.
Untuk memberikan gambaran lebih objektif, saya tanya diri sendiri, jika TH telah membeli tanah ini daripada pihak lain selain daripada 1MDB pada harga yang sama, adakah ia akan menimbulkan kemusykilan? Jawapannya ialah kemungkinan besar tidak.
Jadi objek utama kemarahan rakyat sepatutnya 1MDB. TH terkena tempias kerana tindakan kurang bijak para pegawai kanan yang tidak peka dengan sentimen pendeposit, tak kiralah sama ada sentimen tersebut wajar atau tidak.
Pada asasnya saya tiada simpati terhadap pihak-pihak atasan walaupun kritikan sudah mencapai tahap melampau, kerana mereka terbuai dalam dunia sendiri, memikirkan 'win-win solution' untuk dua entiti yang mereka wakili, tanpa mengambil kira sentimen pelanggan mereka, iaitu pendeposit TH.
Mereka telah membuat kesilapan, tidak semestinya dari segi kewangan, tetapi dari segi tanggungjawab sebagai pemegang amanah wang pendeposit yang tidak peka terhadap sentimen pelanggan.
Kita sebagai penyimpan perlu menyuarakan rasa tidak puas hati, dan dengan adanya media sosial, pihak pengurusan nampak seperti tiada pilihan kecuali untuk menerima hakikat bahawa pendeposit sangat marah.
Tetapi soalan yang saya tanya, mengapa terlalu cepat nak keluarkan wang dari TH? Macam mana anda tahu TH akan rugi dalam transaksi ini? Bagaimana jika mereka boleh meraih untung? Bagaimana pula jika mereka boleh meraih untung lumayan jika pembangunan diteruskan? (Tetapi ini tidak mungkin berlaku disebabkan kontroversi ini)
Bagaimana dengan pelbagai pelaburan lain yang mereka buat selama ini yang memberikan pulangan memuaskan ? Lupakan sahaja semua itu?
Kesimpulannya ialah isu ini tetap isu 1MDB. Di situlah kita patut melenting. Terlalu banyak perkara yang tak kena di situ. Bagi TH, saya harap pihak pengurusan tertinggi mengambil langkah menambah baik keputusan membuat pelaburan dan mengambil kira sentimen di peringkat akar umbi.
Mengenai duit simpanan saya dan isteri? Tetap di TH buat masa ini. Jika anda masih mahu mengeluarkan wang dari TH, pastikan dimasukkan dalam simpanan lain yang mempunyai profil risiko yang sama, kerana ia wang simpanan, bukannya wang pelaburan anda.
Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.
Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.
PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan