25 April, 2015

Mengumpul Aset Secukupnya Untuk Menjana Pendapatan Pada Usia Emas Tanpa Bekerja

Baru-baru ini orang ramai sibuk membantah cadangan KWSP untuk menaikkan had umur pengeluaran kepada 60 tahun. Bagi saya sama ada  pengeluaran dibuat pada 55 atau 60 tidak penting, tetapi yang memerlukan lebih perhatian ialah konsep orang ramai tentang wang 'persaraan' tersebut.

Kebanyakan orang menganggap wang simpanan persaraan ialah wang yang akan kita gunakan secara beransur-ansur untuk menyara hidup kita pada usia emas, terutamanya apabila kita tidak lagi bekerja, sehinggalah wang tersebut tiada lagi. 

Bagi sesetengah orang, wang simpanan habis dalam masa hanya beberapa tahun, manakala bagi yang lain ia kekal untuk tempoh yang lebih lama. 

Mujurlah  masyarakat di sini masih menghormati ibu bapa dan sanggup menanggung mereka pada usia emas. Memang ini tanggungjawab yang perlu kita tunaikan terhadap mereka.

Tetapi cara yang lebih selamat dan memberikan ketenangan fikiran pada usia emas ialah mengumpulkan jumlah aset yang cukup besar supaya hasil daripada aset tersebut, selepas membayar zakat, dapat menampung kehidupan harian kita tanpa perlu kita mengurangkan walau sedikit pun jumlah pokoknya.

Inilah konsep yang dinamakan financial security (keselamatan kewangan) dan juga financial freedom (kebebasan kewangan). Keselamatan kewangan diperolehi apabila aset anda menjana cukup pendapatan untuk menyara kehidupan asas anda, termasuk keperluan makan minum. 

Kebebasan kewangan pula dicapai jika aset anda boleh menjana cukup pendapatan untuk menyara hidup dan juga memenuhi keinginan anda seperti mengembara dan melakukan pelbagai aktiviti lain yang menggembirakan anda pada usia emas.

Perlu ditekankan bahawa definisi tersebut langsung tidak menyentuh sama ada anda bekerja atau tidak. Jika anda mahu anda masih boleh terus bekerja, jika tidak anda boleh goyang kaki. 

Kita lihat contoh berikut:

Anda memiliki aset bernilai RM3 juta yang sebahagiannya disimpan dalam Tabung Haji dan sebahagiannya dilaburkan dalam unit amanah. Andaikan secara purata anda menerima pulangan dalam bentuk agihan pendapatan dan bonus kira-kira 5% setahun, selepas menolak zakat (ini merupakan andaian konservatif). Manakala belanja sara hidup anda ialah RM120,000 setahun.

Pulangan Pelaburan:    RM150,000
- Belanja Sara Hidup:  (RM120,000)
Baki Pendapatan          RM30,000 

Walaupun anda tidak bekerja, nilai aset atau harta anda kini meningkat kepada RM3,030,000. Anda telah berjaya menampung belanja sara hidup anda, sambil menambah nilai aset anda.

Perkara yang perlu anda lakukan ialah anggarkan jumlah yang anda perlukan untuk menanggung kehidupan anda selama setahun pada masa depan, dan kemudian tentukan nilai yang anda perlukan untuk menghasilkan pendapatan tersebut, pada kadar pulangan yang munasabah.

Saya syorkan guna pulangan 5%, yang merupakan pulangan purata yang diberikan oleh Tabung Haji. Jika anda tidak menabung dalam Tabung Haji, pulangan 5% juga tidak sukar diperolehi daripada pelaburan saham, unit amanah atau hartanah

Mungkin anda tidak perlu RM120,000 untuk menampung kehidupan anda. Jika belanja sara hidup anda hanya RM60,000, anda perlu mengumpulkan RM1.5 juta sahaja dari segi aset yang menjana pendapatan untuk menampung kehidupan anda tanpa perlu bekerja

Nilai yang perlu dikumpulkan mungkin nampak agak besar, tetapi apa salahnya menetapkan sasaran yang tinggi. Kunci kejayaan mencapai kebebasan kewangan ialah:
  1. Bermula seawal mungkin.
  2. Menabung secara konsisten
  3. Melabur dengan bijak
  4. Meningkatkan pendapatan beransur-ansur
  5. Mengawal perbelanjaan secara berpatutan.
Disiplin dan konsistensi akan membolehkan anda mencapai matlamat anda dengan lebih pantas.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: