14 April, 2015

i-VCAP Lancarkan MyETF-MSEAD Untuk Labur Dalam Saham Dividen Tinggi Asia Tenggara

ETF patuh syariah ketiga daripada i-VCAP bakal disenaraikan

Mereka yang berminat melabur dalam saham dividen tinggi kukuh di Asia Tenggara kini boleh melakukannya menerusi MyETF-MSEAD yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 7 Mei ini. Tempoh langganan awalnya ialah sehingga 22 April.

MyETF-MSEAD ialah sejenis Dana Dagangan Bursa atau Exchange Traded Fund (ETF) yang patuh Syariah. Konsep ETF adalah sama seperti dana unit amanah, tetapi  pengurus dana ETF tidak berdagang secara aktif.

MyETF-MSEAD melabur dalam saham dividen tinggi di Asia Tenggara dengan matlamat meniru prestasi Indeks Penanda Aras dalam semua keadaan. Maksudnya, pelabur akan meraih untung apabila indeks tersebut naik.

Dana ini boleh dijual beli di Bursa Malaysia sama seperti saham pada kos yang jauh lebih rendah daripada unit amanah.  Malah yuran pengurusan juga lebih rendah kerana diuruskan secara pasif.

Indeks Penanda Aras

Indeks penanda arasnya ialah Indeks MSCI SEA IMI Islamic High Dividen Yield 10/40 (Ïndeks Penanda Aras), yang terdiri daripada sehingga 30 syarikat patuh Syariah yang disenaraikan di negara Asia Tenggara dengan pulangan dividen sekurang-kurangnya 30% lebih tinggi daripada Indeks MSCI SEA IMI Islamic ("Indeks Induk").

Walaupun bahasanya nampak rumit, maksudnya ialah dana ini akan melabur dalam sehingga 30 saham yang membayar pulangan dividen tinggi di Asia Tenggara dan yang memenuhi kriterianya. Buat masa ini ia merangkumi 22 saham.

Untuk Siapa?

ETF ini sesuai untuk pelabur yang:
  1. Ingin melabur dalam saham dividen tinggi.
  2. Mahu mempelbagaikan pelaburan di pasaran serantau.
  3. Lebih suka menggunakan kaedah pelaburan pasif dengan kos rendah berbanding unit amanah.
  4. Mahu melabur dalam saham tetapi tiada masa membuat penyelidikan untuk memilih saham individu.
Kos Dana


Daripada maklumat yang diberikan, caj pengurusan adalah lebih kurang separuh lebih rendah daripada kos unit amanah biasa dan caj jual beli ialah kos broker yang sama seperti menjual beli saham, yang juga lebih rendah daripada caj jualan unit amanah.

Prestasi Pulangan Dana


Pulangan ini adalah pulangan terkompaun tahunan indeks, sebelum mengambil kira pembayaran dividen dan juga kos pengurusan di atas. Pulangan termasuk dividen mungkin lebih tinggi sedikit.  

10 Saham Utama


Mengenai Pelaburan Pasif

Berasaskan kajian akademik dan pemerhatian saya, pelaburan pasif seperti ETF akan mengatasi banyak dana unit amanh yang ditawarkan kepada pelabur yang menggunakan kaedah pelaburan aktif dan mengenakan caj jualan dan yuran pengurusan yang tinggi.

Tetapi ia tidak akan memberikan prestasi terbaik kerana memang ada segelintir dana unit amanah di pasaran yang mencatatkan pulangan lebih tinggi. Cuma masalahnya amat sukar untuk menentukan unit amanah mana yang akan memberikan prestasi cemerlang pada masa depan.

Kesimpulannya, kaedah pelaburan pasif membolehkan anda mengambil kesempatan daripada pulangan yang diberikan oleh saham-saham yang diwakili oleh indeks.

Kaedah Pelaburan Disyorkan

Pelabur yang berminat tidak perlu melanggan unit sebelum penyenaraian. Sebaliknya mereka boleh menunggu sehingga ETF ini disenaraikan sebelum membeli.

Memandangkan prestasi pelaburan bergantung kepada pergerakan indeks, dan indeks di kebanyakan negara Asia Tenggara agak tinggi, langkah melaburkan semua dana sekaligus (jika anda ada jumlah dana besar untuk dilaburkan) adalah berisiko tinggi.

Cara terbaik, yang disyorkan oleh mereka yang amat menyokong kaedah pelaburan pasif seperti John Bogle, Burton Malkiel dan juga Tony Robbins ialah dengan membuat pelaburan secara bulanan atau dollar cost averaging.

Dengan melabur jumlah yang sama setiap bulan tidak kira sama ada indeks naik atau turun, anda akan meraih pulangan purata yang memuaskan dalam jangka panjang, tanpa mengambil risiko tinggi.

Sebaliknya masa paling baik untuk melabur secara sekaligus ialah dalam keadaan gawat, selepas penurunan ketara indeks saham. Kaedah ini akan membolehkan anda mengambil kesempatan daripada pemulihan pasaran saham.

MyETF-MSEAD ialah ETF patuh syariah ketiga terbitan i-VCAP selepas MyETF MMID dan MyETF DJIA. Layari laman web MyETF untuk maklumat lanjut.

Bacaan lanjut dalam blog ini mengenai ETF dan Indeks Saham:

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.
 

Tiada ulasan: