23 Mei, 2015

Nak Labur IPO? Baca Sendiri Prospektus! Meninjau IPO Dolphin

Bayangkan anda nak melabur sehingga seratus ribu ringgit untuk beli saham IPO. Atau anda mungkin nak pinjam jumlah itu untuk melanggan IPO tersebut. Tidakkah anda mahu tahu serba sedikit tentang syarikat? Atau anda selesa bergantung kepada laporan atau cadangan penganalisis atau laporan akhbar?

Saham IPO ialah seperti semua saham lain di pasaran, maka ia perlu dinilai sama seperti saham yang sudah tersenarai. Masalahnya ialah ia tiada track record sebagai saham tersenarai, jadi apa yang boleh kita gunakan untuk menilai hanyalah prospektus yang diterbitkan.

Prospektus mungkin mencecah beratus-ratus muka surat, tetapi jangan bimbang, anda hanya perlu membaca dengan teliti beberapa muka surat penting dan scan muka surat lain untuk maklumat berkenaan. Masa setengah jam hingga satu jam pun cukup, dan lebih teliti lebih baik.

Semua prospektus boleh didapati di Bursa Malaysia di bawah bahagian Company Anouncements/Prospectus. Klik sini untuk mendapatkannya.

Latar Belakang Syarikat

Sekurang-kurangnya ambil tahulah apa yang syarikat tersebut keluarkan, walaupun hasrat anda nak flip (menjual saham sejurus selepas disenaraikan) saham tersebut. Manalah tahu kalau harga tak naik sekurang-kurangnya anda ada back-up plan berasaskan nilai syarikat.

Latar belakang syarikat boleh didapati di muka surat awal prospektus.

Dolphin ialah sebuah syarikat pengeluar mesin pengilangan minyak sawit, industri yang tidak begitu glamor dan kurang mendapat perhatian lebih-lebih lagi kerana industri minyak sawit itu sendiri sedang mengalami tekanan akibat penurunan harga minyak sawit.

Bagaimanapun, syarikat tetap berjaya meningkatkan untung pada tahun 2014 dalam suasana industri yang mencabar.

Penyata Kewangan Proforma

Bahagian ini memaparkan Penyata Untung Rugi dan Lembaran Imbangan. Perkara paling penting untuk ditinjau ialah trend dan margin keuntungan bagi penyata untung rugi. Manakala bagi lembaran imbangan, antara lain lihat pada modal kerja (asset semasa tolak liabiliti semasa), paras hutang jangka panjang dan kedudukan tunai syarikat.

Matlamat anda (jika anda tahu membaca akaun) ialah untuk melihat sama ada kedudukan kewangan syarikat adakah kukuh.

Ringkasan Kewangan

Di sinilah maklumat asas mengenai valuation atau penilaian boleh didapati kerana di sini nilai per share atau sesaham digunakan. Ini penting kerana per share information adalah paling relevan bagi pelabur kecil.


Angka yang perlu diperhatikan di atas ialah adjusted EPS (pendapatan sesaham). Pada harga penyenaraian RM0.68 sen, PE ratio semasa (0.68/0.0546) bagi saham ini ialah lebih kurang 12. Ini bermakna saham ini ditawarkan pada nilai yang lebih murah daripada Malakoff yang dijual pada PE kira-kira 18.

Tawaran dibuat pada harga lebih murah kerana ia syarikat kecil, tiada nama dan pelabur mungkin tidak begitu yakin tentang kestabilan dan kebolehpercayaan untungnya.

Tetapi kita juga perlu bandingkan dengan syarikat lain dalam industri yang sama.  Berasaskan kajian saya, syarikat CBIP dalam industri yang sama dengan track record lebih lama dan nama lebih besar boleh dibeli pada PE 11.5 sekarang ini.

Maklumat Penting Mengenai IPO

Di sini maklumat mengenai proses penyenaraian dan bilangan saham yang diterbitkan boleh didapati.


Satu lagi data penting ialah net asset value atau nilai aset bersih syarikat, pada RM0.36 sesaham berbanding harga tawaran RM0.68 sen sesaham.

Bagaimana Hasil IPO Digunakan

Kita juga ingin tahu bagaimana duit daripada IPO ini digunakan. Kadangkala IPO digunakan semata-mata untuk membeli saham daripada pemegang saham utama. Dalam kes ini ia digunakan di dalam syarikat. Cadangan penggunaannya juga nampak munasabah.


Maklumat Lain

Selain itu, ada pelbagai maklumat lain tentang syarikat dan anda boleh scan seluruh dokumen dan beri lebih perhatian kepada fakta yang anda rasa penting, contohnya siapakah pemilik saham utama dan pengarah syarikat dan latar bekalang mereka.

Di samping itu, jika ada laporan penyelidikan mengenai industri, anda boleh luangkan sedikit masa untuk membaca jika kelapangan. Dalam prospektus Dolphin, ada satu laporan industri yang amat berguna yang ditulis oleh Protege Associates. Maklumat tersebut berfaedah jika anda ingin memahami industri sawit dan mempunyai saham syarikat lain dalam industri.

Selain Daripada Prospektus

Selain daripada data dalam prospektus, terdapat beberapa faktor makro di luar syarikat yang akan mempengaruhi pergerakan harga saham, dan kepentingan maklumat ini adalah bergantung sama ada anda seorang flipper atau pelabur jangka panjang.

Keadaan Industri dan Ekonomi
Keadaan industri dan ekonomi akan mempengaruhi prestasi syarikat dan kita tidak boleh lari daripada menilai industri dan ekonomi apabila menilai syarikat.  Bagi saya, potensi Dolphin ialah dalam jangka panjang, untuk pegangan 3 tahun seiring dengan pemulihan harga dan industri minyak sawit.

Laporan Penyelidikan
Anda juga boleh mencari laporan penyelidikan dan target price bagi saham IPO menerusi Internet. Lazimnya bagi IPO besar seperti Malakoff, banyak maklumat yang boleh didapati, tetapi bagi IPO kecil seperti Dolphin, tak ramai yang follow.

Sentimen Pasaran Semasa
Bagi flippers pula, sentimen pasaran saham apabila saham disenaraikan adalah perkara paling utama untuk menentukan sama ada anda boleh menjual saham pada keuntungan. Satu lagi indikator ialah tahap lebih langganan terhadap saham. Namun begitu, kita hanya boleh mengetahui tahap lebih langganan selepas permohonan telah ditutup, maka yang boleh kita nilai hanyalah ialah sentimen pasaran semasa.

Kadangkala syarikat yang bagus pun terjejas akibat sentimen pasaran.yang kurang baik. Jadi spekulator yang mahukan quick profit perlu mengambil kira perkara ini, terutamanya jika anda berhutang untuk membeli saham (sesuatu yang tidak saya syorkan)

Pandangan Peribadi

Bagi saya pada harga tawaran, nilai Dolphin boleh dianggap 'fair' bagi pelaburan antara 3 - 5 tahun. Cuma untuk syarikat lebih kecil, saya lebih suka PE 10 dan ke bawah sebelum beli, dengan potensi pertumbuhan untung pada tahun akan datang.

Pendek kata saya rasa nilainya saksama dan saya mungkin pertimbangkan beli di pasaran terbuka jika harganya sesuai dan selepas melihat keputusan untuk beberapa suku tahun akan datang. Atau dalam bahasa mudah, saya hanya beli jika rasa undervalued. Jika tidak, banyak saham lain yang ada di pasaran.

Bagi flippers pula, saya tak boleh nak cakap memandangkan sentimen pasaran semasa. Seperti kata orang putih, "Anything can happen".

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Tuan,
Apakah perbezaan di antara Gross EPS, Net EPS dan Adjusted EPS .

Adakah jika harga syarikat tersenarai dgn Harga semasa yang lebih tinggi dari Harga NTA menandakan syarikat itu adalah overvalued?

Unknown berkata...

1. Gross EPS dikira berasaskan untung kasar, net EPS berasaskan untung bersih dan adjusted EPS dikira selepas mengambil kira saham yang disenaraikan. Untuk penilaian kita guna adjusted EPS.

2. Tidak. Jika lebih rendah, ia salah satu kriteria undervaluation tetapi jika lebih tinggi ia bukan tanda overvaluation. Ini kerana bagi sebuah perniagaan yang berdaya maju, harga sepatutnya lebih tinggi daripada NTA, kerana nilai syarikat sebagai sebuah perniagaan sememangnya lebih tinggi daripada nilai asset bersih dalam perniagaan. Salah satu tanda overvaluation ialah P/E ratio yang tinggi tetapi keuntungan mendatar atau semakin rendah dijangkakan pada tahun semasa atau masa depan. Perhatian bahawa ada banyak faktor dan kriteria yang perlu digunakan dalam penilaian saham, kita tidak boleh membuat penilaian berasaskan satu faktor sahaja.