29 Mei, 2015

Jadikan Kes 1MDB Sebagai Iktibar Apabila Menggunakan Hutang Untuk Beli Aset

Kita lupakan seketika segala isu lain yang ditimbulkan dalam kes 1MDB dan cuba fokus pada isu kewangan semata-mata untuk melihat apakah pengajaran yang boleh kita manfaatkan dalam keputusan pelaburan kita.

Pertama sekali bagaimanakah sebuah syarikat yang didakwa mempunyai asset berjumlah RM51 billion dan liabiliti RM42 bilion (atau RM49 bilion berasaskan sumber berlainan) boleh menghadapi masalah?

Jawapannya ialah disebabkan struktur modal dan aliran tunainya. 

Lazimnya sesebuah syarikat dibiayai dengan dua sumber, iaitu modal saham dan modal hutang. Syarikat perlu mencari keseimbangan terbaik antara keduanya.

Apabila syarikat dibiayai dengan jumlah hutang yang besar, ini bermakna modal sahamnya adalah kecil secara perbandingan.

Kelebihan pembiayaan hutang ialah untung tidak perlu dikongsi dengan ramai pemegang saham. Di samping itu, jika untung besar diraih, maka pulangan atas modal juga sangat tinggi, kerana jumlah modal yang kecil digunakan.

Tetapi kelemahan pembiayaan hutang ialah kita tetap perlu membayar kos hutang, tidak kira sama ada syarikat untung atau tidak, sedangkan dengan pembiayaan saham, pemegang saham hanya akan dibayar jika syarikat mencatatkan untung.

Dalam kes 1MDB, kos pembiayaan adalah tinggi kerana tahap hutang adalah tinggi. Aset sebahagian besar adalah dalam bentuk aset tetap tetapi liabiliti dalam bentuk kos pembiayaan perlu dibayar dalam tempoh terdekat.

Inilah isunya, walaupun aset lebih banyak daripada liabiliti, aset tersebut tidak boleh dicairkan dengan pantas untuk menampung liabiliti. Pendek kata wujud ketidaksepadanan antara jenis aset dan jenis liabiliti.

Untuk memastikan kos pembiayaan dapat dibayar, syarikat perlu mempunyai sama ada:
  1. aliran tunai yang cukup, atau
  2. rancangan yang jelas untuk melupuskan pelaburan pada nilai sewajarnya untuk membayar balik nilai pokok dan juga kos hutang,
  3. keupayaan untuk mengambil atau menerbitkan hutang lain untuk membayar balik hutang yang lama.
Bagi 1MDB, mereka tidak mempunyai akses kepada aliran tunai dengan mudah kerana semua tunai dijana oleh syarikat di bawah pegangan mereka dan bukan oleh mereka sendiri melainkan pembayaran dividen dibuat kepadanya. 

Kemungkinan besar rancangan asal mereka ialah melupuskan pelaburan menerusi penyenaraian unit tenaga mereka, yang dinamakan Edra Energy.

Malangnya keadaan tidak mengizinkan maka sebab itulah kini mereka menghadapi masalah besar dengan hutang yang diambil.

Di samping itu, pilihan ketiga pula sukar dilaksanakan kerana setiap institusi yang sanggup berurusan dengan 1MDB kini terpalit dengan kesan negatif. Malah dengan situasi sekarang, tiada siapa yang mahu terlibat dengan 1MDB.

Pendek kata 1MDB menghadapi krisis aliran tunai, krisis kredibiliti dan krisis keyakinan.

Tetapi yang ingin saya ingatkan ialah situasi ini bukan sahaja boleh berlaku kepada 1MDB, tetapi juga pelabur biasa seperti kita.

Jika anda melabur menggunakan nisbah hutang yang tinggi, tidak kiralah melabur dalam hartanah, emas atau saham, potensi untung anda berlipat-kali ganda jika harga aset dan/atau pulangan daripada aset tersebut (jika ada) terus meningkat.

Tetapi masalah akan timbul jika nilai aset menyusut dan/atau pulangan daripada aset tersebut juga terjejas. Persoalan akan timbul sama ada anda boleh menampung kos pembiayaan atau margin call (bagi saham).

Mungkin bila harga aset sedang meningkat, penilaian yang dibuat oleh pelabur hanya mengunjurkan kenaikan sahaja tanpa mengambil kira situasi jika harga turun.

Apa yang perlu anda lakukan jika anda bercadang menggunakan tahap hutang yang tinggi untuk melabur dalam sebarang bentuk aset ialah membuat analisis senario tentang keadaan yang akan berlaku jika harga aset jatuh atau pulangan daripada aset tidak seperti dijangkakan.

Bolehkah anda menampung defisit tersebut dengan tunai anda sendiri? Adakah anda boleh melupuskan aset tersebut pada harga yang sesuai? Dengan membuat persiapan untuk situasi sebegini, anda melindungi diri anda daripada masalah besar jika ia benar-benar berlaku.

Seperti yang dilihat daripada kes 1MDB, pembiayaan hutang boleh memberikan pulangan amat besar, tetapi kalau tersilap langkah ia boleh membinasakan anda.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel

Tiada ulasan: