17 Mei, 2015

Perihal Dividen III: Menjawab Beberapa Persoalan Penting Mengenai Dividen

  1. Dividen yang diberikan dalam RM dan dividen yang diberi dalam peratus, ada perbezaan ke dalam kedua-dua nilai yang diberi?
  2. Kalau dalam peratus, adakah ia dikira dari harga semasa (pasaran) atau nilai share?
  3. Bagaimana pula dengan interim dividend, single tier dan lain-lain?
  4. Boleh terangkan sikit apa maksud Dividen Payout Rate?

1. Mengenai dividen dalam bentuk sen dan peratus
  • Pengumuman dividen biasanya dibuat dalam sen, iaitu xx sen sesaham.
  • Kekeliruan mungkin berlaku jika pengumuman dibuat dalam bentuk peratus.
  • Jika diumumkan dalam bentuk peratus, perlu tukarkan kepada sen untuk menyenangkan pengiraan dividen yield atau pulangan dividen yang ditunjukkan dalam No. 4 di bawah.
  • Apabila diumumkan dalam peratus, ia dikira berasaskan nilai par.
  • Contoh, jika dividen 8% diumumkan dan nilai par saham ialah 50 sen, maka dividen yang dibayar ialah 4 sen. (0.08 x 50 sen).

2. Mengenai Interim Dividend, Single Tier Dividend
  • Interim dividen ialah dividen yang dibayar selain daripada dividen akhir. Semua dividen interim dan juga dividen akhir perlu dicampurkan untuk menentukan jumlah dividen sesaham yang dibayar oleh sesebuah syarikat.
  • Single tier dividend ialah dividen yang sudah dikenakan cukai di peringkat korporat dan cukai tidak lagi dipotong di peringkat pemegang saham. Ia diperkenalkan pada 2008 dan tempoh peralihan ialah 2008 - 2013. Sekarang ini semua dividen adalah single tier.

3.  Mengenai Dividen Payout Rate/Ratio
  • Bermaksud peratus untung yang dibayar dalam bentuk dividen. Formulanya ialah: Dividen Sesaham / Pendapatan Sesaham.
  • Jika Dividen sesaham ialah 5 sen dan Pendapatan sesaham (EPS) ialah 10 sen. Maka Dividend Payout Rate ialah 5 / 10 = 50%.
  • Kesimpulannya ialah Dividen Payour Rate mengira berapa banyak daripada untung yang digunakan untuk membayar dividen.

4. Tambahan: Mengenai Dividen Yield
  • Dividen yield atau pulangan dividen ialah jumlah dividen yang dibayar berbanding harga semasa.
  • Dividen yield adalah berbeza daripada dividend rate atau peratus dividen yang dibincangkan dalam soalan satu di atas, yang dikira atas nilai par.
  • Dividend yield dikira seperti berikut: Jumlah dividen sesaham syarikat dalam setahun (sen) / harga saham semasa.
  • Andaikan Syarikat XXX  bayar dividen =  40 sen. Harga XXX pada penutup hari perniagaan ialah RM8.00. Div yield = 0.4/8.00 = 0.05 = 5.00%.
  • Jika anda sudah memiliki saham tersebut dividen yield ialah: Jumlah dividen sesaham syarikat dalam setahun (sen) / Harga belian anda.
  • Andaikan telah beli saham XXX pada harga RM7.00 sebelum ini, dividen yield bagi anda ialah 0.4/7.00 = 5.71%.
Untuk membaca posting lain mengenai dividen, sila klik Dividen.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Tuan, minta maaf kerana menyoal soalan paling senang. Harap tuan dapat jawab soalan saya. Jika harga salam yang disenarai di bursa malaysia, contohnya nestle adalah 71.30, dan saya ingin membeli 100 unit (1 lot). Adakah pengiraan saya betul : RM71.30 darab 100 unit = RM 7,130.00? Andaikan caj jualan adalah 0%, adakah saya cuma perlu bayar RM 7,130.00?

Terima kasih tuan.

Unknown berkata...

Waalaikumsalam

Betul tu...RM7130 + caj jualan.