02 Jun, 2015

Lapan Kunci Kekuatan Kewangan

Knight Kiplinger ialah ketua pengarang majalah Kiplinger's Personal Finance, sebuah majalah kewangan terkenal di Amerika. Beliau telah mendedahkan lapan kunci kekuatan kewangan berasaskan berpuluh tahun pengalaman memberikan nasihat dalam bidang kewangan peribadi.

Saya senarai dan ringkaskan serta memberikan pandangan sendiri tentang 8 kunci kekuatan kewangan tersebut yang amat berguna demi menggalakkan orang ramai kembali kepada perkara asas apabila menguruskan kewangan masing-masing.

1. Melabur dalam diri sendiri
Aset paling berharga ialah kuasa beli anda. Kemerosotan pasaran saham atau pasaran lain tidak akan menjejaskan aset ini. Justeru pendidikan dan pembangunan diri berterusan akan meningkatkan keupayaan anda meraih pendapatan. Hakikat bahawa ini diletakkan di No.1 menunjukkan betapa pentingnya anda sentiasa menambah ilmu.

2. Lindungi diri sendiri dan orang tersayang
Sebelum membeli sebarang aset kewangan,pastikan anda mendapatkan perlindungan daripada risiko paling besar - penyakit serius, hilang upaya dan kematian awal. Selain itu, pada pandangan saya jangan lupa melindungi rumah daripada kebakaran. Tetapi satu perkara menarik ialah tiada langsung cadangan untuk mengambil perlindungan yang dikaitkan dengan pelaburan. Jadi kalau boleh, ambil takaful standalone tanpa dikaitkan dengan sebarang pelaburan.

3.  Ambil pinjaman secara berhati-hati.
Gunakan hutang hanya untuk membeli sesuatu yang mempunyai nilai berkekalan, seperti rumah dan pendidikan. Kereta mungkin boleh diterima, Bayar tunai untuk segala barangan lain seperti pakaian, pelancongan, hiburan dan perabot. Saya amat setuju dengan cadangan ini.

4.  Bayar diri sendiri dulu
Jika anda sentiasa tiada wang untuk melabur (atau menabung) selepas anda telah membayar semua bil, cuba kaedah bayar diri sendiri terlebih dahulu, iaitu menabung secara automatik dulu dan kemudian anggap wang lebihan sebagai pendapatan boleh guna anda. Bagi saya inilah tabiat paling berkesan untuk meningkatkan nilai harta anda.

5. Jangan ambil risiko terlalu besar untuk capai pulangan tinggi
Kadangkala tindakan ini membuahkan hasil, tetapi dalam jangka panjang, banyak kerugian akan dialami. Jauhkan diri daripada saham yang mempunyai tahap volatiliti tinggi, IPO, pembelian saham menggunakan margin (hutang) dan perdagangan (niaga hadapan) komoditi. Gunakan kaedah purata kos Ringgit untuk melabur secara bulanan dalam apa jua pasaran. Bersabar apabila menghadapi kejatuhan pasaran yang berlaku sekali sekala. Saya pada amnya setuju dengan nasihat ini, walaupun saya pasti ada ramai yang kurang senang dengan satu dua cadangan di atas.

6. Pelbagaikan pelaburan
Mempelbagaikan saham dan pelaburan secara umumnya dianggap 'boring', tetapi semua orang tahu bahawa setiap aset akan ada masanya hangat dan ada masanya kurang hangat. Pelbagaikan saham dan aset berasaskan kesanggupan anda menanggung risiko (risk tolerance).

7. Hidup sederhana hari ini untuk masa depan yang lebih selesa
Melengahkan nikmat dan kepuasan memang sesuatu yang sukar dilakukan, tetapi inilah satu-satunya cara untuk membiayai matlamat jangka panjang anda. Walaupun cadangan ini sukar diterima, saya setuju bahawa kehidupan yang sederhana untuk menambah tabungan dan pelaburan adalah sesuatu yang amat berkesan untuk membina harta untuk masa depan.

8. Beri Sumbangan Demi Kesejahteraan Masyarakat
Apabila anda berkongsi kekayaan, masa dan bakat anda untuk kebajikan, anda mencipta ekonomi yang lebih kukuh dan dunia yang lebih selamat. Berikan sumbangan untuk tujuan yang paling dekat di hati anda. Ini tiada kena-mengena dengan menambah kekayaan, tetapi lebih kepada meningkatkan kesejahteraan. Namun tanpa 7 perkara di atas, tidak banyak sumber yang dapat kita sumbang.

Nota: Cadangan No.5 adalah berkaitan dengan pelaburan tetapi tidak relevan bagi perniagaan. Ini kerana apabila membuka dan menjalankan perniagaan, kita tidak boleh lari dari risiko dan mungkin terpaksa menumpukan segala sumber kita kepada perniagaan tersebut sahaja.  Klik pautan untuk baca artikel asal Eight Keys to Financial Security.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: