24 Jun, 2015

Berhati-Hati Apabila Menggunakan Nilai Aset Bersih Sebagai Kriteria Mencari Syarikat Undervalued

Walaupun paras untung sentiasa menjadi penentu akhir apabila menilai sesuatu saham, salah satu daripada kriteria sampingan yang saya gunakan dan pernah digunakan oleh beberapa pelabur tersohor yang menjadi anak murid Benjamin Graham ialah mengintai saham dengan harga yang lebih rendah daripada Nilai Aset Bersih (Net Asset Value).

Pada hakikatnya sesebuah perniagaan yang berdaya maju sepatutnya diperdagangkan pada harga lebih tinggi daripada nilai semua aset ditolak semua liabilitinya kerana perniagaan tersebut ada nilai yang dinamakan goodwill atau muhibah. 

Ini kerana jika anda menubuhkan sebuah perniagaan baru dan membeli aset yang sama seperti syarikat yang sedia ada, anda masih belum boleh meraih untung kerana belum ada pelanggan dan tidak pasti sama ada anda boleh menjalankan perniagaan dengan jayanya dan anda juga tidak mempunyai jenama produk atau perkhidmatan seperti syarikat yang sedia ada.

Sebab itulah sepatutnya, sesebuah perniagaan mempunyai nilai lebih tinggi daripada nilai aset bersihnya sebagai sebuah going concern, iaitu operasi perniagaan berterusan.

Tetapi sejak pasaran saham jatuh sedikit lebih kurang setahun lepas, semakin banyak syarikat yang diperdagangkan di bawah nilai aset bersih. Dalam watchlish saya sahaja ada lebih 20, jadi bagi seluruh pasaran, pasti ada banyak lagi.

shareinvestor.com.my (klik untuk besarkan)

Tetapi ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian apabila membeli syarikat yang mempunyai harga lebih rendah daripada NAB (P/NAV < 1).
  1. Harganya jatuh sebab untung semakin merosot.
  2. Syarikat dilanda kontroversi atau isu berkaitan pengurusan (seperti Icon).
  3. Prospek masa depan hambar atau tidak cerah.
  4. Syarikat mengalami kerugian dan belum nampak prospek kembali pulih.
Elakkan syarikat yang mempunyai ciri-ciri di atas melainkan anda tahu masalah boleh atau akan diselesaikan dengan cara yang memuaskan.

Apabila membeli saham seperti ini, perkara paling penting yang perlu dipastikan ialah syarikat mampu meningkatkan untung pada masa depan, Jika tidak pada tahun semasa, sekurang-kurangnya pada tahun depan.

Lazimnya, keupayaan meningkatkan untung ialah faktor utama yang boleh memacu kenaikan harga saham. Di samping itu, jika syarikat tersebut mempunyai tahap hutang rendah atau langsung tiada hutang.

Walau apa pun, perlu diingat kaedah pelaburan ini ialah kaedah pelaburan untuk jangka panjang kerana mungkin memerlukan sedikit masa sebelum nilai syarikat dapat direalisasikan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: