28 November, 2014

Tujuh Perkara Mudah Yang TIDAK Dilakukan Oleh Ramai Pelabur

Amalkan perkara berikut untuk tingkatkan prestasi pelaburan anda

Ben Carlson, CFA, seorang pengurus dana institusi di AS, dalam blognya A Wealth of Common Sense, menerangkan bahawa ada tujuh perkara yang lazimnya tidak dilakukan pelabur, sedangkan ia boleh meningkatkan prestasi pelaburan mereka.

Anda boleh membaca artikel penuhnya bertajuk, 7 Simple Things Most Investors Don't Do. Di bawah, saya meringkaskan, menterjemahkan dan menambah kepada pandangan beliau .

Dalam kesibukan pelabur mempelajari dan menggunakan pelbagai kaedah untuk membeli atau 'bermain' saham, beliau menyenaraikan perkara berikut yang tidak dilakukan oleh pelabur, sedangkan ia penting dalam proses pelaburan.

1.  Memantau pelaburan dari segi portfolio keseluruhan 
Anda perlu meninjau semua aset anda secara keseluruhan termasuk tunai, hartanah, saham, unit amanah dan sebagainya dan mengkaji tahap kepelbagaian aset, pulangan keseluruhan dan jumlah tunai yang anda pegang.

2.  Menentukan peruntukan aset anda 
Ini bermakna menentukan peratusan pegangan tunai, saham, unit amanah, hartanah dan aset lain seperti emas berasaskan tinjauan anda tentang ekonomi dan pulangan setiap aset pada masa depan. Kajian mendapati bahawa peruntukan aset, bukan pemilihan pelaburan, yang menentukan sebahagin besar daripada pulangan.

3.  Mengira pulangan pelaburan anda
Ramai yang tidak melakukannya tetapi ini penting dan patut dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun. Kebanyakan pelabur tersalah anggap atau kira, dan mengandaikan pulangan mereka lebih tinggi daripada prestasi sebenar.

4.  Menetapkan tempoh masa pelaburan apabila melabur
Ini akan membantu kita membuat keputusan yang lebih rasional. Adakah anda melabur untuk jangka pendek, jangka pertengahan atau jangka panjang?  Ramai pelabur melabur untuk jangka pendek tetapi tiba-tiba menjadi pelabur jangka panjang bila mereka mengalami kerugian.

5.  Menambah tabungan setiap tahun
Walaupun prestasi pelaburan yang kukuh adalah penting, cara paling baik untuk menambah kekayaan ialah dengan meningkatkan tabungan anda secara beransur-ansur. Tidak perlu ada kelayakan CFA untuk menyedari perkara ini.

6.  Fokus pada perkara yang boleh anda kawal
Pelabur sibuk memikirkan hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat tetapi pergerakan pasaran mustahil diketahui dengan tepat. Fokus kepada perkara yang boleh anda tentukan dengan tahap kebarangkalian yang lebih tinggi sahaja, seperti prestasi syarikat yang dilaburkan.

7.  Melengahkan kepuasan
Ini bermakna menggunakan lebih banyak daripada wang untuk melabur dan menabung pada peringkat awal, sambil mengurangkan perbelanjaan dalam barangan yang memberikan kepuasan kepada anda dengan serta-merta. Matlamatnya ialah mencapai kesenangan dan kejayaan dalam jangka panjang. 

Saya cadangkan anda melayari blog, A Wealth of Common Sense. Ada kandungan untuk beginner dan  untuk pelabur advanced.

Tiada ulasan: