14 November, 2014

Antara Trailing PE, Rolling PE dan Forward PE

Mengenali dan menilai tiga jenis nisbah harga pendapatan untuk ketelitian

Kebanyakan pelabur mengenali atau pernah mendengar tentang nisbah harga pendapatan atau price earnings (PE) ratio, yang merupakan salah satu ukuran penting untuk menilai sesuatu saham.

Nisbah harga pendapatan boleh digambarkan dengan cara berikut: Pada harga saham semasa, berapa tahun anda akan pulang modal berasaskan keuntungan atau pendapatan sesaham yang dicatatkan.

Sebagai contoh, jika harga saham XYZ ialah RM3 dan pendapatan sesaham ialah 20 sen maka Nisbah PE ialah 15. (RM3.00 / RM0.20).

Berikut adalah pendapatan sesaham (EPS) XYZ bagi tahun 2013 dan 2014.
S bermaksud Suku Tahun.

S113 6 sen; S213 4 sen; S313 5 sen; S413 5 sen; EPS 2013 20 sen
S114 3 sen; S214 5 sen;  S314 4 sen;

Tetapi sekarang, persoalannya ialah pendapatan sesaham mana yang patut digunakan? Adakah tahun lepas, tahun semasa atau masa depan? Jawapannya ialah anda boleh menggunakan ketiga-tiganya sekali.

Trailling PE
Trailing PE atau PE pada tahun kewangan sebelumnya mengira PE berasaskan pendapatan sesaham pada tahun kewangan yang sebelumnya. Angka ini adalah angka yang sudah diumumkan dan bukannya anggaran dan inilah PE yang anda lihat dalam platform dagangan saham atau dalam kebanyakan data dan analisis tentang saham. Trailing PE bagi XYZ ialah 15, seperti pengiraan di atas.

Rolling PE
Rolling PE atau PE bergerak ialah ialah PE bagi empat suku terakhir syarikat.  Berasaskan contoh di atas, kita ambil EPS Suku Keempat 2013 dan juga tiga suku tahun bagi 2014, iaitu bersamaan 17 sen. Maka Rolling PE ialah 18.3. Menerusi kiraan ini, kita dapat lihat prestasi merosot sedikit dan PE semakin meningkat.

Forward PE
Forward PE atau PE Hadapan ialah PE yang diunjurkan bagi tahun kewangan 2014. Berasaskan contoh di atas, kita hanya mempunyai keputusan untuk tiga suku tahun pertama.  Suku keempat perlu kita anggarkan berasaskan budi bicara kita sendiri. Dalam contoh di atas, andaikan kita meramalkan EPS suku keempat ialah 4 sen, maka EPS bagi seluruh tahun ialah 16 sen. Justeru, Forward PE yang kita unjurkan ialah 18.8.

Manfaat Analisis
Jika kita menggunakan Trailing PE sahaja, kita tidak mengambil kira situasi semasa syarikat. Kita mungkin menganggap sesuatu syarikat undervalued kerana PE rendah tanpa menyedari bahawa prestasi keuntungannya sedang merosot untuk tahun semasa atau tahun depan.

Kesimpulannya ialah pelaburan saham dan prestasi syarikat perniagaan bersifat dinamik dan situasi sentiasa berubah. Kita bukan sahaja perlu meninjau prestasi masa lalu, tetapi melihat data terkini untuk memastikan kita membuat keputusan jual beli yang paling tepat.

Nota:
Saya suka beli syarikat yang kukuh dengan PE rendah dan EPS yang sedang meningkat. 

Tiada ulasan: