30 Mei, 2011

Budaya Mengunjungi Perpustakaan

Banyak membaca tanpa perlu banyak berbelanja


Saya tahu sekarang ini ramai yang minat membaca jika dilihat daripada sambutan orang ramai terhadap pesta-pesta buku yang diadakan di sana-sini.


Selain daripada membeli buku, satu cara untuk membaca lebih  banyak buku tanpa terlalu banyak berbelanja ialah dengan meminjam buku di perpustakaan atau meluangkan masa untuk membaca di sana.

Sebagai penulis buku sudah tentulah saya mahu anda membeli buku saya, dan saya sendiri memang banyak membeli buku di kedai buku.  Ini kerana buku yang dimiliki boleh dirujuk dan dibaca kembali dengan mudah.

Namun jika anda memang minat membaca dan boleh membaca dengan pantas, kos membeli buku untuk memuaskan 'hobi' kita mungkin terlalu mahal, lebih-lebih lagi jika anda boleh membaca lebih daripada satu buku dalam seminggu.

Dalam pada itu, jika anda ada anak, kadangkala mereka boleh membaca buku cerita dengan pantas dan memang agak mahal untuk membeli buku setiap kali, dan masalahnya tak cukup tempat untuk simpan semua buku.

Perpustakaan ialah tempat yang baik untuk mencari bahan bacaan berguna.  Tambahan lagi, pilihan buku di perpustakaan lebih luas.  Di kedai buku mungkin hanya ada buku kontemporari dan yang senang dijual sedangkan di perpustaan buku kurang popular juga boleh ditemui, lantas meluaskan lagi pemikiran anda.

Satu lagi manfaat pergi ke perpustakaan ialah masa berguna yang diluangkan.  Kini saya cuba menukar masa yang dihabiskan mengunjungi kompleks beli-belah dengan kunjungan ke perpustakaan

Saya menjadi ahli kedua-dua Perpustakaan Negara dan juga Perpustakaan UM. Satu untuk bawa keluarga bersama dan satu lagi untuk mendapatkan artikel jurnal ilmiah yang boleh dimuat turun terus ke komputer.

Menjadi ahli Perpustakaan Negara sungguh mudah, daftar online dan datang tunjukkan Mykad selepas menerima pengesahan menerusi E-mail. Pinjaman buku boleh dibuat dengan Mykad. Tak perlu lagi buat kad tambahan (kecuali bagi kanak-kanak yang tiada Mykid).

Mungkin ramai di antara kita yang sudah 'terlupa' dengan manfaat perpustakaan sejak meninggalkan sekolah atau universiti, tetapi seperti yang kita sedia maklum, tabiat membaca terlalu banyak manfaatnya.

24 Mei, 2011

KPJ Healthcare Telah Naik Tinggi

Tetapi pertumbuhan lebih perlahan dijangka untuk masa depan

KPJ Healthcare, anggota Kumpulan Johor Corporation,  ialah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan yang memiliki 20 hospital di Malaysia dan 2 di Indonesia.  Antara hospitalnya termasuk Hospital Pakar Damansara, Hospital Pakar Damai, Hospital Ampang Puteri dan Hospital Tawakal.

Bagi pemegang saham KPJ Healthcare yang memegang saham ini untuk jangka panjang, sudah tentu mereka gembira dengan prestasi luar biasa saham dalam tempoh lima tahun lepas.


Dipetik daripada Bursastation

Saham ini telah naik berlipat kali ganda dalam temph lima tahun lepas sehingga ditutup pada harga RM4.20 semalam.  Saya ada menyentuh tentang KPJ Healthcare dalam buku saya Panduan Bijak Melabur.

Namun begitu prestasi KPJ Healthcare dilihat mula mendatar kebelakangan ini.  Pada suku pertama 2011, syarikat mencatatkan EPS 5.1 sen, lebih kurang sama dengan prestasi tahun lepas, walaupun hasil meningkat daripada 376 juta kepada 438 juta.

EPS syarikat untuk tempoh 5 tahun, selepas mengambil kira pecahan saham 2 untuk 1 pada tahun lepas, adalah seperti berikut:

2010  21.2 sen
2009  21.6 sen
2008  20.7 sen
2007 18.0 sen
2006 10.1 sen

Berasaskan EPS dua tahun lepas dan juga prestasi suku tahun semasa yang mendatar, KPJ diperdagangkan pada nisbah P/E  20 kali, yang agak tinggi.

Kita dapat lihat bahawa pertumbuhan  syarikat telah mula mendatar pada sekitar 2008 tetapi saham syarikat terus naik  kerana rerating, iaitu minat lebih tinggi daripada para fund manager kerana berjaya memasuki senarai syarikat dengan 100 modal saham terbesar.

Bagi saya, inilah saham yang dicari, iaitu saham tidak begitu dikenali yang berkembang sehingga mendapat perhatian ramai fund manager.

Namun begitu, pada paras ini, harganya agak mahal dan pertumbuhan pendapatannya agak mendatar. Walaupun jika harga naik lagi dalam tempoh terdekat, kadar kenaikan mungkin tidak sama seperti dulu.

Dalam keadaan tidak menentu semasa, ramai yang suka memegang KPJ sebagai defensive stock (seperti Apex Healthcare), namun kenaikan harga yang besar pada masa depan bergantung sama ada syarikat boleh melakukan sesuatu untuk meningkatkan keuntungan.

20 Mei, 2011

Ekonomi Berkembang 4.6% pada S1 2011

Pertumbuhan negara semakin perlahan tetapi dijangka mula stabil

Bank Negara Malaysia  mengumumkan bahawa ekonomi KDNK Malaysia berkembang pada kadar 4.6% pada suku pertama tahun 2011.

Berikut ialah pertumbuhan KDNK Malaysia sejak suku pertama 2010:

S1 2010 - 10.1
S2 2010 - 9.0
S3 2010 - 5.3
S4 2010 - 4.8
S5 2011 - 4.6

Tetapi pertumbuhan yang diumumkan ini ialah pertumbuhan tahunan, iaitu jika dibandingkan dengan suku pertama tahun 2010.  Sebaliknya jika dibandingkan dengan S4 2010 (quarter on quarter) ekonomi telah menyusut sebanyak 3.1%.

Berikut ialah graf daripada Buletin Ekonomi Suku Tahunan Bank Negara Malaysia, yang dipetik daripada laporan Maybank Investment Bank::



Menurut analisis firma broker, walaupun pertumbuhan semakin perlahan, mereka dapat melihat kestabilan pada separuh kedua tahun 2011, berasaskan pelaksanaan projek ETP dan harga komoditi.

Beberapa firma menetapkan sasaran pertumbuhan seluruh tahun pada kadar antara 5.5% sehingga 6.0%, seiring dengan ramalan bahawa separuh kedua 2011 dijangka lebih kukuh.

Tetapi ada faktor yang boleh menjejaskan senario ini:
  1. Situasi luar, termasuk keadaan hutang Amerika dan beberapa negara Eropah
  2. Inflasi yang semakin meningkat menaikkan kos input
  3. Kenaikan kadar faedah untuk mengawal inflasi meningkatkan kos kepada perniagaan dan pengguna.
Walaupun pertumbuhan pada separuh kedua dijangka sederhana, kita perlu prihatin tentang sebarang risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan pada masa depan, yang kebanyakannya di luar kawalan negara, dalam keputusan pelaburan kita.

15 Mei, 2011

IPO Tidak Semestinya Naik

Mclean Technologies Buktikan Saham IPO Boleh Turun Dengan Pantas

Baru-baru ini Mclean Technologies telah disenaraikan di Bursa Malaysia.  Syarikat  menyediakan perkhidmatan pembersihan produk teknologi tinggi dan pemasangan komponen dalam bilik bersih.

Syarikat ini telah disenaraikan pada Selasa lepas pada harga 52 sen.  Pada hari pertama harganya naik sehingga 71 sen tetapi kemudian jatuh dan ditutup pada 53.5 sen.

Pada hari ini, iaitu Khamis 12 Mei, syarikat ditutup pada harga 47 sen, sebanyak 5 sen di bawah harga IPO.  Perlu diingat bahawa Mclean Technologies dilebih langgan sebanyak 100 kali.

Malah, sebuah laporan penyelidikan daripada RHB menetapkan nilai saksama (fair value) Mclean pada 57 sen sesaham, berasaskan P/E 7.5 kali pendapatan tahun 2011.

Carta Mclean untuk 3 hari:

Dipetik daripada Bursa Station

Bagaimana saham IPO yang dilebih langgan 100 kali dan diletakkan pada nilai saksama 57 sen boleh jatuh harganya dalam masa tiga hari?

Selain itu, bagi ramai pelabur yang berebut-rebut untuk melanggan sahamnya, kalau tunggu saham disenaraikan, boleh dapat saham pada harga lebih murah dalam masa tiga hari sahaja!

IPO tidak menjamin apa-apa.  Anda juga boleh rugi jika membeli saham IPO. Di samping itu, syarikat belum ada rekod pencapaian sebagai syarikat tersenarai untuk membuat penilaian.  

Maka pergerakan saham bergantung semata-mata kepada sentimen pelabur. Mclean mungkin naik kembali atau tidak, hanya prestasi perniagaan pada tempoh yang mendatang akan menentukannya.

Berhati-Hati Apabila Menulis Resume

Pastikan bahasanya betul; minta bantuan jika tak pasti

Resume adalah dokumen penting yang bertujuan menarik perhatian pegawai syarikat yang akan memilih pekerja.  Beliau mungkin menerima banyak resume untuk diteliti.

Kemungkinan besar pengalaman dan kelayakan anda akan menjadi penentu tetapi bahasa yang tidak betul boleh menjejaskan peluang anda.

Memang bukan semua orang boleh menulis dengan sempurna.  Mungkin ada kesilapan di sini sana. Tetapi resume ini adalah dokumen penting.  Anda meminta orang lain mengambil anda berasaskannya.

Apa salahnya jika anda meminta kawan atau orang lain yang pandai menulis untuk menyemak dan membetulkan kesilapan pada resume?

Sebenarnya dari kaca mata saya, kalau resume anda penuh dengan kesalahan bahasa, ini mungkin menandakan anda tidak begitu kisah dan sikap sebegini akan dibawa ke tempat kerja.

Maka kesilapan bahasa dalam resume boleh menjejaskan peluang anda bukan kerana pembaca resume menganggap bahasa anda lemah (mungkin skop kerja tak memerlukan kepakaran bahasa yang tinggi) tetapi kerana mencerminkan sikap anda yang tidak teliti.

Malah cara anda menulis surat atau emel yang mengiringi resume juga tidak kurang penting kerana ia menunjukkan sikap dan kesungguhan anda.

Pada pendapat saya, berhati-hatilah apabila menulis resume, kerana ia boleh meningkatkan peluang anda mendapat kerja yang anda ingini, pada paras gaji yang dikehendaki.

09 Mei, 2011

P/E Rendah atau P/E Tinggi?

William O'Neil beri pandangan berbeza tentang P/E

Dalam buknya How to Make Money in Stocks, William O'Neil memberikan pandangan yang sedikit berbeza tentang Price Earnings Ratio atau Nisbah Harga Pendapatan.

Menurutnya ramai pelabur (termasuk saya!) yang berpendapat saham yang undervalued mempunyai tahap P/E yang rendah dan mengaitkan P/E tinggi sebagai overvalued.

Tetapi beliau berkata ada sebab sesebuah syarikat mempunyai P/E rendah. Kemungkinan besar P/E rendah disebabkan kualiti dan potensi pertumbuhannnya kurang baik dan sebab itulah ia diabaikan oleh pelabur.

Manakala saham P/E yang tinggi pula mungkin tinggi harganya kerana permintaan tinggi daripada pelabur, yang lebih yakin tentang potensi pertumbuhan syarikat.

Katanya, yang penting bukannya P/E semata-mata tetapi kadar pertumbuhan pendapatan syarikat.  Jika P/E semasa tinggi tetapi kadar keuntungan akan meningkat dengan ketara, maka saham tersebut tetap berpatutan.

Beliau memberi contoh beberapa saham di Amerika yang didagangkan pada P/E tinggi yang masih meningkat dengan ketara kerana potensi pertumbuhannya yang kukuh, seperti Cisco, Google, Amazon dan Apple.

Satu contoh yang baik di Malaysia ialah Digi.com

Dipetik daripada Bursastation


Pada 28 Januari 2011, apabila keputusan tahun penuh 2010 DiGi dilaporkan, sahamnya berada pada paras kira-kira RM25.50, iaitu  P/E lebih kurang 17, yang boleh dikatakan tinggi pada pendapat saya. 

Tetapi kita dapat lihat bahawa harga saham telah meningkat kepada lebih RM29.00 tempoh hari. Ini bermakna bahawa pelabur percaya bahawa syarikat ini amat berkualiti dan terus meningkatkan pendapatan.

Memang pandangan penulis ini perlu dipertimbangkan dengan serius dan kita tidak harus mengabaikan sesuatu saham semata-mata kerana P/E yang tinggi.

Nota: Tetapi ada juga saham dengan P/E tinggi yang jatuh harganya menyebabkan P/E turun ke paras yang lebih munasabah. Semuanya bergantung kepada sama ada paras P/E tersebut dapat disokong oleh pertumbuhan keuntungan.

05 Mei, 2011

Kenapa Tiada Cadangan Saham?

Suasana makroekonomi menyebabkan sukar untuk buat cadangan


Sejak dua tiga bulan ini, saya kurang membuat analisis tentang saham individu. Sebabnya ialah kebanyakan saham telah menaiki kenaiikan besar dalam tempoh dua tahun, sedangkan keadaan makroekonomi agak kurang pasti.

Dua saham terakhir yang saya tinjau, Federal Flour Mills dan CBIP ada naik walaupun pasaran tidak menentu. Masalahnya ialah dalam keadaan ini, jika keadaan makroekonomi terus kurang baik, termasuk kenaikan inflasi dan harga minyak, selain peningkatan kadar faedah oleh bank pusat, sukar untuk melihat 'bull market' dapat diteruskan.

Persoalannya ialah adalah pasaran akan mendatar atau menurun?  Ini satu lagi faktor penting yang tidak dapat kita ramalkan dnegan pasti.

Jika kita melabur dalam sesebuah syarikat dalam jangka panjang, kita perlu meninjau keupayaannya mencatat hasil, mengekalkan atau meningkatkan keuntungan dalam suasana semasa, selain menampung kenaikan kos.

Apabila kita mengkaji pasaran dalam masa sebulan lepas, kita dapati ia sukar untuk berganjak dan volumnya juga tidak seberapa tinggi.

 Dipetik daripada Bursastation

Jumlah dagangan semakin berkurangan, manakala graf indeks sudah mencecah purata bergerak 50 hari dan 100 hari, manakala purata bergerak 50 dan 100 hari kelihatan mula bersilang.
Amat sukat untuk menentukan hala tuju semasa.  Ada masa tertentu, seperti di tengah kegawatan dua tahun lepas, memang sesuai untuk membeli kebanyakan saham. Tetapi dalam keadaan semasa, pendekatan tunggu dan lihat rasanya lebih selamat.

Saya juga rasa beberapa bahagian tertentu sektor hartanah mula goyah, terutamanya dengan banyak pembangunan yang sudah siap dan akan siap.  Kadangkala saya terfikir berapa ramai orang yang mampu menyewa hartanah mewah atau ruang pejabat ini?

Walau apa pun, pastikan anda mempelbagaikan aset anda untuk memastikan bahawa jika berlaku kejatuhan sektor tertentu, ia dapat ditampung oleh kelas aset lain.