09 Mei, 2011

P/E Rendah atau P/E Tinggi?

William O'Neil beri pandangan berbeza tentang P/E

Dalam buknya How to Make Money in Stocks, William O'Neil memberikan pandangan yang sedikit berbeza tentang Price Earnings Ratio atau Nisbah Harga Pendapatan.

Menurutnya ramai pelabur (termasuk saya!) yang berpendapat saham yang undervalued mempunyai tahap P/E yang rendah dan mengaitkan P/E tinggi sebagai overvalued.

Tetapi beliau berkata ada sebab sesebuah syarikat mempunyai P/E rendah. Kemungkinan besar P/E rendah disebabkan kualiti dan potensi pertumbuhannnya kurang baik dan sebab itulah ia diabaikan oleh pelabur.

Manakala saham P/E yang tinggi pula mungkin tinggi harganya kerana permintaan tinggi daripada pelabur, yang lebih yakin tentang potensi pertumbuhan syarikat.

Katanya, yang penting bukannya P/E semata-mata tetapi kadar pertumbuhan pendapatan syarikat.  Jika P/E semasa tinggi tetapi kadar keuntungan akan meningkat dengan ketara, maka saham tersebut tetap berpatutan.

Beliau memberi contoh beberapa saham di Amerika yang didagangkan pada P/E tinggi yang masih meningkat dengan ketara kerana potensi pertumbuhannya yang kukuh, seperti Cisco, Google, Amazon dan Apple.

Satu contoh yang baik di Malaysia ialah Digi.com

Dipetik daripada Bursastation


Pada 28 Januari 2011, apabila keputusan tahun penuh 2010 DiGi dilaporkan, sahamnya berada pada paras kira-kira RM25.50, iaitu  P/E lebih kurang 17, yang boleh dikatakan tinggi pada pendapat saya. 

Tetapi kita dapat lihat bahawa harga saham telah meningkat kepada lebih RM29.00 tempoh hari. Ini bermakna bahawa pelabur percaya bahawa syarikat ini amat berkualiti dan terus meningkatkan pendapatan.

Memang pandangan penulis ini perlu dipertimbangkan dengan serius dan kita tidak harus mengabaikan sesuatu saham semata-mata kerana P/E yang tinggi.

Nota: Tetapi ada juga saham dengan P/E tinggi yang jatuh harganya menyebabkan P/E turun ke paras yang lebih munasabah. Semuanya bergantung kepada sama ada paras P/E tersebut dapat disokong oleh pertumbuhan keuntungan.

Tiada ulasan: