Banyak membaca tanpa perlu banyak berbelanja
Saya tahu sekarang ini ramai yang minat membaca jika dilihat daripada sambutan orang ramai terhadap pesta-pesta buku yang diadakan di sana-sini.
Selain daripada membeli buku, satu cara untuk membaca lebih banyak buku tanpa terlalu banyak berbelanja ialah dengan meminjam buku di perpustakaan atau meluangkan masa untuk membaca di sana.
Sebagai penulis buku sudah tentulah saya mahu anda membeli buku saya, dan saya sendiri memang banyak membeli buku di kedai buku. Ini kerana buku yang dimiliki boleh dirujuk dan dibaca kembali dengan mudah.
Namun jika anda memang minat membaca dan boleh membaca dengan pantas, kos membeli buku untuk memuaskan 'hobi' kita mungkin terlalu mahal, lebih-lebih lagi jika anda boleh membaca lebih daripada satu buku dalam seminggu.
Dalam pada itu, jika anda ada anak, kadangkala mereka boleh membaca buku cerita dengan pantas dan memang agak mahal untuk membeli buku setiap kali, dan masalahnya tak cukup tempat untuk simpan semua buku.
Perpustakaan ialah tempat yang baik untuk mencari bahan bacaan berguna. Tambahan lagi, pilihan buku di perpustakaan lebih luas. Di kedai buku mungkin hanya ada buku kontemporari dan yang senang dijual sedangkan di perpustaan buku kurang popular juga boleh ditemui, lantas meluaskan lagi pemikiran anda.
Satu lagi manfaat pergi ke perpustakaan ialah masa berguna yang diluangkan. Kini saya cuba menukar masa yang dihabiskan mengunjungi kompleks beli-belah dengan kunjungan ke perpustakaan
Saya menjadi ahli kedua-dua Perpustakaan Negara dan juga Perpustakaan UM. Satu untuk bawa keluarga bersama dan satu lagi untuk mendapatkan artikel jurnal ilmiah yang boleh dimuat turun terus ke komputer.
Menjadi ahli Perpustakaan Negara sungguh mudah, daftar online dan datang tunjukkan Mykad selepas menerima pengesahan menerusi E-mail. Pinjaman buku boleh dibuat dengan Mykad. Tak perlu lagi buat kad tambahan (kecuali bagi kanak-kanak yang tiada Mykid).
Mungkin ramai di antara kita yang sudah 'terlupa' dengan manfaat perpustakaan sejak meninggalkan sekolah atau universiti, tetapi seperti yang kita sedia maklum, tabiat membaca terlalu banyak manfaatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan