17 Mac, 2011

Mengapa Anda Perlu Segera Menabung

Lebih cepat anda kumpul wang, lebih cepat pulangan digandakan

Ramai orang yang melengahkan pelan untuk menabung (atau melabur) dengan alasan bahawa keadaan kewangan mereka belum mengizinkan.  Tetapi hakikatnya ialah lebih lewat anda berlengah, lebih banyak yang anda rugi, walaupun anda mungkin tidak nampak kerugian ini.

Saya berikan satu contoh mudah:

Katakan Encik Ahmad mula menabung sejurus selepas mendapat kerja pada usia 24 tahun. Beliau hidup di bawah kemampuan sebenarnya dan berusaha sedaya-upaya dan menabung segala pendapatan tambahan yang diperolehi daripada sumber lain. 

Hidup Encik Ahmad tidak mewah, tetapi amat selesa. Walaupun dia telah berkahwin dan mendapat anak, amalannya untuk menabung secara automatik sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji diteruskan juga. Dalam tempoh 21 tahun, dia berjaya mengumpul RM500,000.

Encik Zahir, rakan sekuliah Encik Ahmad pula tidak begitu. Walaupun pendapatannya lebih kurang sama seperti Encik Ahmad, dia mendapati sukar untuk menabung. Ramai orang ingat Encik Zahir lebih kaya sebab keretanya lebih besar, rumahnya lebih mewah, termasuk perabot dan perhiasan di dalamnya, semua alat yang dimilikinya lebih canggih.

Malah majlis perkahwinannya juga memang 'ada kelas', diadakan di hotel mewah. Selepas berkahwin, isterinya pun diberikan sebuah kereta.  Namun begitu, masalah Encik Zahir ialah dalam tempoh 21 tahun, beliau hanya berjaya menabung RM200,000.

Tiba-tiba Encik Ahmad membuat keputusan bahawa dia nak 'enjoy' wangnya sikit selepas penat bekerja.  Untuk tempoh 5 tahun seterusnya, dia hentikan tabungan buat sementara, sebaliknya semasa cuti dia bawa isteri pergi haji, kemudian apabila berkesempatan, dia pergi membawa keluarga melawat negara-negara lain.  Semua ini menggunakan pendapatan sedia ada tanpa mengusik satu sen pun wang tabungan.

Encik Zahir pula sedar bahawa usia semakin lanjut sedangkan tabungan hanya ada RM200,000.  Jadi dia menambah tabungan dengan membuat keputusan menyimpan RM1,000 sebulan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Andaikan kedua-duanya menabung dalam Tabung Haji yang memberi dividen kira-kira 5% setahun.

Usia
En. Zahir (RM)
En Ahmad (RM)
45
200,000
500,000
46
222,300
525,000
47
245,715
551,250
48
270,301
578,812
49
296,115
607,753
50
323,222
638,141

Dalam tempoh 5 tahun antara usia 45 - 50 tahun:
  • En. Zahir telah mengumpulkan RM123,222, iaitu RM60,000 simpanan + RM63,222 dividen
  • Encik Ahmad telah mengumpulkan RM138,141, menerusi dividen tanpa membuat sebarang simpanan!

Contoh ini jelas menunjukkan mengapa anda perlu menyegerakan membuat tabungan atau pelaburan, kerana untuk mencapai kebebasan kewangan, lebih pantas anda membina momentum daripada pulangan, lebih cepat wang anda boleh digandakan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya rasa teragak agak untuk jawab post you ni. Tapi rasa perlu juga jawab sebab ada perkara penting nak beri tau. Terima kasih kerana post ni.Bagus menabung tapi ada suatu cara yang jauh lebih cepat dari menabung.

Saya ingin bincang tentang cerita ni bukan nak kutuk.

1. Kiraan begini adalah pemikiran orang makan gaji. Orang kaya fikir pulangan 100% setahun. Cerita ni bagus pada 5% setahun pulangan tapi tak cukup bagus.

2. Contoh jumlah duit Ahmad tu tak realistik. Mungkin dia hanya contoh. Sebab nya begini. Untuk dapatkan 500000 pada umur 45 pada pulangan 5% setahun, Ahmad perlu melabur 15000 pada umur 24 tahun dan terus tambah 15000 setiap tahun dan dapat dividen 5%. Maksudnya Ahmad melabur 1250 setiap bulan pada umur 24. Pada kadar tabungan 10%, ini bermakna Ahmad dapat gaji 12500 sebulan. Ini adalah gaji vice president pada tahun 1991 dulu. Tak mungkin orang berumur 24 dapat jawatan ni kecuali kalau dia bekerja dengan syarikat ayah dia. Ok mungkin nombor ini hanya satu contoh.

Saya tahu ini tak realistik sebab saya sekarang berumur 45. Pada umur 24, gaji engineer hanya 1900 sebulan dalam syarikat terkenal pada tahun 1991. Jadi hanya boleh menabung 2280 setahun. Kesian, sikit sangat la.

3. Pulangan pelaburan 5% adalah terlalu kecil. Saya tertarik bila robert kiyosaki tulis dalam buku "savers are losers". Orang yang menabung adalah rugi. Sebab kadar inflasi adalah tinggi. Pada tahun 2009, budget deficit kerajaan malaysia berada pada 12% (mengikut satu report yang saya baca). Dan saya percaya ini betul sebab pada tahun 2008 kerajaan malaysia print duit baru sebanyak RM 70 000 000 000 (mengikut apa yang disebut menteri kewangan).

Ok saya faham dan setuju menabung awal lebih baik dari menabung lambat. Tapi point saya ialah orang yang menabung rugi, orang yang melabur untung. Ramai orang keliru dengan dua istilah ni dan mereka kata dua perkataan ni makna sama.


4. Mengikut tulisan warren buffet punya bekas menantu, pulangan pelaburan mestilah sekurang-kurang nya 25 % sebab inflasi kerajaan mencecah hingga 15% dan bagi balance 10% tu baru lah untung. Ok la itu pendapat dia. Saya rasa itu satu sebab penting mengapa warren buffet jadi kaya.

harap jangan marah dengan komen saya.

Unknown berkata...

Salam Tuan,

Ada beberapa perkara yang Tuan katakan memang betul. Sebab itulah saya tulis buku bertajuk Panduan Bijak Melabur dan Panduan Pelaburan Unit Amanah, bukannya Panduan Bijak Menabung!

Tapi daripada tulisan Tuan, masih banyak yang tuan perlu pelajari.

Pertama sekali tabungan tiada risiko dan pelaburan ada risiko. Orang menabung bukannya rugi, tetapi tidak akan rugi. Tetapi orang yang melabur boleh rugi, tetapi berpotensi untung besar.

Memang betul kita patut melabur. Tetapi melabur bukan untuk semua orang. Mungkin Tuan belum kenal dengan orang-orang yang rugi main saham. Saya kenal orang-orang seperti ini. Bukan semua orang boleh untung dengan melabur. PASTI ada yang rugi.

Jadi terpulang kepada toleransi risiko masing-masing untuk melabur atau menabung.

Kedua, Warren Buffet pun tak hasilkan pulangan terkompaun 25% setahun. Saya pun ada buku MAry Buffet. Sebenarnya pulangan Warren Buffet ialah kira-kira 21 - 23% bergantung kepada waktu pengiraan dibuat.

Kedua ini adalah pulangan antara yang terbaik di dunia. Peter Lynch dalam kariernya memberikan pulangan 29% terkompaun. Itu yang PALING baik pernah dicatatkan oleh fund manager.

Tetapi kebanyakna fund manager yang baik boleh hasilkan 16% sahaja. Itu yang bagus. Yang tak bagus berikan pulangan lebih rendah daripada simpanan atau merugikan pelabur.

Kedua inflasi sekarang bukan 15%. Kadar jangka panjang untuk tempoh 10 tahun lepas ialah lebih kurang 3% dan mungkin lebih sedikit ke 4% jika harga barangan kawalan tidak dikawal. Seumur hidup saya mungkin hanya sekali dalam tahun 80an inflasi cecah lebih 10%.

Kita ingat melabur pasti lebih baik daripada tabungan? Bagaimana kalau kita rugi dan selain itu terpaksa menghadapi kesan inflasi? Dah tentu lebih teruk daripada tabungan bukan?

Saya galakkan semua orang melabur dalam buku saya. Tetapi kita perlu realistik dan bagi sesetengah orang yang boleh jana wang dengan cara lain dan tidak mahu risiko, tabungan adalah lebih baik.

Tuan, sebenarnya banyak lagi yang Tuan perlu pelajari.