Memang ada kesan ekonomi, tetapi setakat mana sukar diketahui
Pada mulanya saya ingin membuat analisis saham atau unit amanah hari ini tetapi memandangkan situasi semasa yang melanda beberapa negara, dan tempiasnya yang pasti dirasai di Malaysia, ada baiknya kita meninjau keadaan dari segi makro
Pertama sekali situasi yang dihadapi oleh Jepun amat dasyat dan menyedihkan sekali berasaskan gambar dan video yang dipaparkan di laman berita dunia. Sudah pasti ekonomi Jepun akan terjejas, terutamanya kerugian fizikal besar yang dialami. Malah kesannya belum selesai kerana masih ada risiko berlaku pencemaran nuklear.
Namun begitu perkara yang perlu dipertimbangkan ialah Jepun perlu membina semula ekonomi. Lazimnya pembinaan semula ini merupakan positif kepada kegiatan ekonomi, tetapi tahap hutang awam di Jepun adalah amat tinggi dan persoalannya ialah adakah pembinaan semula ini akan meningkatkan tahap hutang ke paras yang jauh lebih tinggi atau bolehkah sumber lain digunakan/
Kemelut kedua ialah pergolakan di Timur Tengah yang ternyata amat membimbangkan kerana rantau ini ialah rantau pengeluar minyak dan jika berlaku pergolakan di sana, maka sudah tentunya harga minyak akan naik.
Bencana di Jepun telah mengalihkan tumpuan daripada Timur Tengah tetapi Kerajaan Gadaffi telah berjaya menawan semula beberapa bandar yang dikawal oleh pemberontak dan ini menunjukkan bahawa krisis tidak akna berakhir dengan pantas.
Satu lagi perkembangan membimbangkan ialah pemberontakan golongan majoriti Syiah di Bahrain dan akibatnya, tentera Arab Saudi telah dibawa masuk untuk mengawal kemudahan kerajaan dan campur tangan ini berpotensi membawa persengketaan yang lebih besar.
Apabila kita mengambil kira negara-negara lain yang bergolak seperti Yemen dan Oman yang belum ada jalan penyelesian, nampaknya pergolakan ini akan berlarutan untuk tempoh tertentu dan tidak akan selesai dengan segera.
Apakah implikasinya kepada kita? Pertama sekali kesan terhadap ekonomi dunia sudah tentu dirasai pada suku pertama ini terutamanya kerana kenaikan harga minyak. Banyak syarikat yang akan terjejas keuntungannya kerana kenaikan komoditi, kecuali syarikat itu ada kaitan dengan pengeluaran komoditi.
Di samping itu, pasaran saham di kebanyakan negara baru sahaja mengalami 'bull' market selama hampir dua tahun, satu jangka masa yang lama, justeru risiko kepada pasaran adalah agak tinggi. Lagipun syarikat di Malaysia pasti menghadapi kesukaran menandingi kenaikan untung yang dicatatkan tahun lepas.
Sebenarnya, walaupun dengan segala bencana yang berlaku, hala tuju pasaran adalah tidak begitu jelas. Ada sesetengah pakar yang berpendapat situasi akan reda dan pasaran akan naik dalam tempoh terdekat, sedangkan ada beberapa pakar lain pula menganggap saham akan mengalami penurunan ketara.
Pada pendapat saya, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku kerana situasi amat tidak pasti. Kita perlu merangka portfolio pada kedudukan lebih kurang 50:50. Kita tidak boleh keluar daripada pasaran sepenuhnya kerana jika keadaan reda dengan pantas dan saham naik, kita akan rugi.
Sebaliknya kedudukan 80 - 100% dalam pasaran juga amat berisiko tinggi, terutamanya jika kejatuhan besar atau crash berlaku. Kedudukan pelaburan 50% akan membolehkan kita mengambil kesempatan jika pasaran jatuh dengan menambah peruntukan saham pada harga rendah. Sebaliknya jika saham stabil dan kemudian naik, kita juga tidak terlepas peluang dan boleh menambah peratus saham dalam portfolio sambil saham naik kembali.
Pendek kata, jangan terlalu taksub kepada pandangan seorang atau dua pakar, pastikan anda bersiap sedia untuk kedua-dua senario, iaitu kenaikan atau penurunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan