Perkembangan teknologi semakin rancak, dengan pelbagai produk canggih dan baru dikeluarkan termasuklah iPod dan iPad terbaru, komputer tablet, laptop, netbook dan TV LED. Malah sekarang TV LCD dan TV Plasma sudah boleh dianggap sebagai teknologi lama.
Telefon juga semakin canggih, dengan pelbagai telefon pintar dikeluarkan, termasuklah Blackberry, iPhone dan Samsung Galaxy dan Nokia dan segala jenama lain di pasaran. Semuanya hebat belaka dengan segala macam ciri.
Namun begitu, terdapat satu soalan yang perlu ditanya apabila kita mahu membeli produk baru. Perlukah produk ini? Jika produk lama kita sudah rosak, keputusan membeli menjadi lebih mudah, tetapi jika produk lama masih ok, buat apa nak tukar?
Jika anda memang kaya, dan memang ada banyak duit, artikel ini tidak relevan kerana anda boleh membeli segala produk di atas bila-bila anda suka. Tetapi bagi kebanyakan kita, sumber kewangan adalah terhad dan perlu diperuntukkan dengan sewajarnya.
Jadi persoalan yang ditanya ialah adakah dengan membeli produk di atas apabila baru keluar, pada harga yang mahal akan membahagiakan kita?
Salah satu daripada cara untuk menguruskan kewangan dengan baik ialah dengan menggunakan barang yang sudah sedia ada di dalam rumah anda dengan sepenuhnya, sehinggalah ia mula menimbulkan masalah. Lebih lama barang digunakan lebih rendah kos bulanannya kepada anda.
Contohnya, jika anda membeli TV pada harga RM3,000 dan kemudian menggunakannya selama lima tahun sebelum membeli model baru, kos bulanan anda ialah RM60 sebulan. Tetapi jika anda menggunakannya untuk 10 tahun kos bulanannya ialah hanya RM30 sebulan.
Sekarang ini ramai yang tertarik dengan skim ansuran mudah, sama ada daripada syarikat pengeluar atau syarikat kad kredit. Skim seperti ini memberikan ilusi bahawa anda mampu membeli produk sedangkan anda sebenarnya tak mampu.
Selain itu, melainkan ansuran yang diberi adalah ansuran tanpa faedah, harga barangan yang diperolehi menerusi kaedah ansuran sudah tentunya lebih mahal. Namun begitu pengiklanan dan peragaan menarik membuatkan kita terasa seperti benar-benar memerlukan produk itu
Pada pendapat saya, sebelum membeli sesuatu produk baru kita perlu tanya beberapa soalan.
- Adakah produk lama sudah tak boleh digunakan?
- Adakah produk baru memberi ciri tambahan yang boleh menambah pendapatan, kegembiraan atau keseronokan?
- Adakah kosnya sesuai dengan manfaat diberikan?
- Betul-betul perlu ke produk ini, atau adakah saya akan bosan dengannya selepas beberapa bulan?
Nota: Di rumah saya ada penyaman udara yang berusia lebih 20 tahun, TV berusia hampir 15 tahun dan peti sejuk yang berusia lebih 10 tahun. Masih berfungsi dengan baik lagi. Apabila saya tengok bola, keseronokannya sama sahaja seperti TV LCD besar di rumah sedara saya.
Kalau pasukan kita kalah, kesedihannya juga sama, tak kiralah TV apa yang ditonton. Asalkan gambarnya masih jelas dan terang. Dan paling menarik sekali, bila TV rosak, saya rasa boleh beli TV LCD 42 inci pada harga RM1,500 sahaja, sedangkan dulu kosnya begitu mahal.
1 ulasan:
Pada pendapat saya nilai sebuah TV itu bergantung kepada tempoh 'warranty'nya. Kebiasaan warranty yang paling lama adalah 2 tahun.
-Mr.X-
Catat Ulasan