20 Januari, 2011

Berhijrah kepada Kewangan Patuh Syariah

Bahagian 2: Melabur dan Buat Duit Menerusi Instrumen Pelaburan Halal


(Klik sini untuk Bahagian 1: Mengamalkan Hidup Tanpa Riba dan Gharar)

Selain daripada menggunakan produk perlindungan dan pinjaman patuh Syariah kita juga kini boleh membuat simpanan dan melabur dengan pelbagai produk patuh Syariah di pasaran

1.  Akaun Simpanan Konvensional kepada Akaun Pelaburan Islam

Ini tidak susah dilakukan. Jika ada akaun simpanan di Bank Konvensional, tukar sahaja kepada akaun Pelaburan Islam. Perubahan ini jauh lebih mudah berbanding bertukar kepada pinjaman dan pembiayaan Islam.  Hampir semua bank kini menawarkan perkhidmatan perbankan Islam, malah sekarang ini banyak bank yang membuka cawangan khusus untuk perbankan Islam.

2.  Pelaburan Terlindung Kerajaan kepada Pelaburan Terlindung Islam

Ini adalah satu perkara yang menimbulkan kontroversi. Apa yang saya maksudkan bagi pelaburan terlindung Kerajaan ialah skim pelaburan khas untuk Bumiputera PNB yang sebenarnya tidak mematuhi kriteria Syariah tetapi telah dihalalkan atas nama kepentingan umum. Mungkin satu masa dulu saya rasa ok dan saya juga melabur sama tetapi buat masa ini pilihan patuh syariah adalah luas (termasuklah Tabung Haji yang pulangannya sudah dibayar zakat). Pada pendapat beberapa tokoh agama terkenal, dan saya setuju dengan pandangan ini, alasan 'kepentingan umum' tidak boleh diterima pakai pada masa kini, dengan pelbagai pilihan yang ada.

3.  Pelaburan Saham Patuh Syariah

Sekarang ini begitu banyak kemudahan dan peluang bagi pelabur untuk melabur dalam saham patuh syariah, dan dibantu pula dengan penanda aras dalam bentuk pelbagai indeks patuh syariah di Malaysia dan di luar negara. Hampir kebanyakan destinasi pelaburan utama ada indeks patuh syariah, termasuklah AS dan China. Ini memudahkan pelabur individu dan juga dana unit amanah patuh syariah untuk membuat pelaburan.

Begitulah pesatnya perkembangan kewangan Islam sehingga institusi tersohor seperti FTSE dan S&P masing-masing sibuk mengeluarkan indeks patuh syariah. Selain itu hampir setiap syarikat unit amanah mempunyai portfolio dana patuh syariah sendiri.  Malah jurang prestasi antara dana patuh syariah dan dana konvensional juga saya lihat semakin kecil

Sayangnya masih terdapat ramai orang yang tidak begitu mengutamakan penggunaan kewangan Islam dalam kehidupan seharian.  Banyak amalan Islam lain dititikberatkan, doa itu dan doa ini tetapi bila ditanya tentang perbankan Islam, mereka kata untung dalam perbankan Islam itu sama sahaja seperti faedah dan memberi banyak alasan lain tanpa memahami isu sebenar (baca buku dan layari laman web Ustaz Zaharuddin untuk mendapat penjelasan terperinci).

Sudah tiba masanya untuk berpindah sepenuhnya kepada  kewangan Islam.  Tiada lagi alasan. Malah seruan ini ditujukan kepada diri saya sendiri kerana saya pun masih perlu melakukan beberapa perkara untuk membersihkan sepenuhnya kewangan saya daripada riba dan segala tempiasnya.

3 ulasan:

MOHD ALI berkata...

Salam,

InsyaAllah saya pun menuju ke arah itu (patuh syariah).

Adakah CPO itu patuh syariah?
Saya bercadang untuk menghadiri bengkel CPO dalam masa terdekat ini.

Sekian.

Unknown berkata...

Salam,

Majlis Syariah SC menetapkan bahawa CPO Futures adalah patuh syariah.

Mungkin ada satu dua pendapat lain yang mengatakan kontrak perlu dipegang sehingga settlement baru boleh dan tak boleh dijual beli selepas urus niaga pertama sehinggalah settlement dan settlement mesti dibuat dengan produk fizikal (iaitu deliver CPO secara fizikal)

Tapi saya lebih cenderung untuk setuju dengan pandangan SC.

MOHD ALI berkata...

Salam,

Terima kasih atas jawapan saudara.

Kalau begitu saya lebih yakin untuk menghadiri ke bengkel CPO.

Apakah faktor yang menyebabkan indeks FBM KLCI jatuh merundum hari ini?

Agak2 sampai bila, ia merundum?

Wsalam.