24 Januari, 2011

Inflasi: Siapa Untung, Siapa Rugi?

Perlu bijak melihat syarikat mana yang dapat harungi inflasi

Kita sedia maklum bahawa harga bahan makanan dan komoditi sumber makanan telah naik secara mendadak kebelakangan, ini walaupun kadar inflasi rasmi kelihatan pada paras sederhana sahaja.  Selain daripada itu harga minyak juga telah naik kembali dan hampir mencecah US$100 setong manakala harga komoditi logam juga telah meningkat.

Kesannya sudah tentulah dirasai oleh golongan berpendapatan rendah terlebih dahulu kerana kuasa beli mereka kini lebih rendah. Walaupun di Malaysia belum terlalu teruk lagi, ada negara-negara lain di mana berlaku rusuhan disebabkan kenaikan harga makanan.

Apakah kesan inflasi terhadap saham?

Kesannya berbeza-beza mengikut produk keluaran dan juga input syarikat.  Bagi produk pengeluar makanan yang menggunakan input bahan mentah makanan, sudah tentulah mereka akan mendapati sukar untuk meningkatkan keuntungan, tetapi lazimnya mereka masih mencatatkan untung yang memuaskan..

Begitu juga dengan syarikat pengeluar sarung tangan getah. Harga bahan mentah telah naik, termasuk harga getah, maka margin mereka terjejas sedikit.  Tetapi tetap akan mencatatkan untung kerana margin mereka masih ada ruang untuk menyerap kenaikan input..

Syarikat yang lebih bermasalah ialah syarikat yang mengeluarkan produk siap berasaskan logam yang menggunakan bahan mentah logam.  Ini kerana mereka menjual kepada syarikat perusahaan dan sukar untuk mengawal harga barangan siap mereka.

Sementara itu, yang paling untung ialah syarikat pengeluar komoditi atau bahan makanan mentah yang harga produk mereka naik melambung.  Tetapi kita perlu ingat bahawa harga saham kebanyakan syarikat tersebut di Malaysia sudah pun naik agak tinggi.

Pemilik hartanah, sama ada syarikat atau individu juga untung sejak dua tahun lepas kerana kenaikan harga hartanah masing-masing.  Tetapi kita perlu berhati-hati kerana ada sektor hartanah, seperti bangunan pejabat, sudah mula menunjukkan tanda-tanda oversupply.

Bagi industri lain pula, syarikat yang dapat mengharungi inflasi ialah syarikat yang boleh menaikkan harga mereka seiring dengan kenaian harga input, tanpa menjejaskan permintaan.

Mengapa inflasi berlaku?

Inflasi semasa berlaku kerana:

1. Kenaikan harga komoditi, logam, minyak dan bahan makanan disebabkan oleh kenaikan permintaan sedangkan bekalan tidak naik secara seiring.  Pemulihan ekonomi dan permintaan daripada negara yang sedang pesat membangun mendorong permintaan yang tinggi.

2. Proses dasar wang dan fiskal mengembang yang diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia akibat krisis yang baru lepas. Dengan kadar faedah yang sangat rendah, penciptaan wang lebih tinggi dan terdapat lebih banyak wang dalam edaran. Peningkatan bekalan wang lazimnya menyebabkan tekanan inflasi.

Apakah langkah yang boleh diambil pihak berkuasa?

Langkah yang boleh diambil untuk mengekang inflasi ialah dengan menaikkan kadar faedah.  Ini sudah dilihat di China di mana kadar faedah dinaikkan beransur-ansur. Di Malaysia, kadar dasar semalaman (overnight policy rate atau OPR) juga dinaikakan 0.75% tahun lepas.

Sekiranya inflasi terus meningkat, kemungkinan OPR akan dinaikkan lagi pada tahun ini (sekarang 2.75%).  Ada  firma penyelidik meramalkan OPR akan dinaikkan tahun ini sebanyak 0.75%, kepada 3.5%.

Inflasi di Malaysia belum lagi di paras serius, maka Bank Negara mungkin lebih berhati-hati sekiranya mahu menaikkan kadar faedah agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Sebagai pelabur, kita perlu bersiap sedia menghadapi dua senario dan bertukar strategi jika senario berubah.
  1. Inflasi yang berlarutan sepanjang tahun atau 
  2. Kenaikan kadar faedah mengekang permintaan dan menghadkan inflasi, dan harga komoditi jatuh.
Dalam kedua-dua keadaan, syarikat berbeza akan meraih manfaatnya.

Tiada ulasan: