06 Januari, 2011

MBM Resources Nampak Kukuh

Harga saham berpatutan dengan paras untung tinggi

Walaupun pasaran saham telah naik dengan ketara kebelakangan ini, satu saham yang masih kurang mendapat perhatian pelabur ialah MBM Resources.

MBM Resources ialah sebuah syarikat dalam kumpulan Med-Bumikar Mara Sdn Bhd, yang mempunyai pegangan atau penglibatan dalam sektor automotif menerusi kepentingan dalam Perodua dan pengedarnya, serta merupakan pengedar jenama Daihatsu, Hino dan juga Volvo menerusi Federal Auto Holdings. Syarikat juga terlibat dalam pengeluaran roda keluli dan juga pembuatan badan trak, van dan treler.

Walaupun syarikat ini kelihatan amat kukuh, harga sahamnya RM3.33 pada penutup semalam, diperdagangkan pada P/E prospektif yang rendah atau earnings yield/pulangan pendapatan (E/P) yang tinggi.

Berikut adalah prestasi pendapatan sesaham syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas dalam (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
 31.3  38.6 45.7  46.5  28.2

Syarikat mempunyai rekod keuntungan kukuh walaupun dalam keadaan ekonomi yang meleset, seperti yang dilihat pada siri keuntungan yang dicatatkanya

Bagi 2010, untuk tiga suku pertama syarikat telah mencatatkan Pendapatan Sesaham 46.6 sen, dengan Aset Ketara Bersih (NTA) RM4.08.

Sekiranya syarikat mencatatkan EPS seluruh tahun sebanyak 55 sen (anggaran konservatif), Nisbah P/E jangkaan ialah RM3.33/0.55 = 6 manakala E/P prospektif ialah kira-kira 17%. Ini merupakan nisbah dan pulangan yang amat menarik.

Carta Saham untuk tempoh 5 tahun lepas:

Dipetik daripada Bursastation

Berikut ialah prestasi MBM Resources berbanding FBM KCLI (Merah):

Dipetik daripada Bursastation

Kita dapat lihat bahawa prestasinya jauh di belakang FBM KLCI sedangkan keuntungannya dijangka melonjak pada 2010.

Satu faktor penting yang mempengaruhi pendapatannya ialah pergerakan USD/Yen kepada RM di mana kekuatan USD/Yen akan mengurangkan keuntungan manakala kelemahan USD/Yen akan menyebabkan keuntungan meningkat kerana barangan input syarikat didenominasi dalam dolar AS/Yen.

Selain itu, Frost and Sullivan baru-baru ini menerbitkan satu laporan baru-baru ini bahawa jualan kereta dijangka meningkat 4% dan mencapai angka rekod sebanyak 623,000.

Kebanyakan saham yang saya tinjau biasanya di luar radar syarikat institusi tetapi MBM Resources juga mempunyai pelabur institusi yang besar termasuk Amanah Saham PNB, Tabung Haji dan ValueCap.

Cuma satu perkara yang menghairankan ialah mengapa saham ini tidak mendapat sambutan sedangkan prestasinya mantap. Jika sebabnya ialah mungkin pelabur umum terlepas pandang, inilah peluang baik untuk membeli saham yang agak undervalued.

Satu analisis baik tentang MBM Resources boleh didapati di laman blog Malaysia-Finance bertajuk Value Momentum Investing and Early X'mas Present.

Tiada ulasan: